Saturday, November 10, 2012

Kejohanan Sudoku Malaysia


BARISAN wakil penaja yang turut membantu menjayakan Pertandingan Sudoku Malaysia.


NOMBOR. Siapa sangka entiti yang mewakili ukuran ini diolah dan dijadikan satu permainan yang menarik menggunakan pemikiran yang bijak dan tangkas.
Sudoku yang bermaksud nombor bersendirian ialah permainan pengendalian nombor berdasarkan logik yang memberi kepuasan kepada si pemain lebih-lebih lagi apabila berjaya menyelesaikan permainan itu.
Rakyat Malaysia kini berpeluang mencabar tahap kemampuan minda dengan menyertai Pertandingan Sudoku Malaysia.
Pertandingan kali ketiga anjuran Persatuan Sudoku Masyarakat Malaysia itu akan berlangsung selama dua hari bermula pada 1 Disember ini.
Menurut setiausaha persatuan itu, Lee Yee Dian, pertandingan itu nanti akan menggunakan Sudoku asli yang dihasilkan oleh tangan manusia dan bukannya robot.
“Kami mengguna pakai Sudoku yang dibekalkan oleh Nikoli Co. Ltd. yang diterajui seorang warga Jepun iaitu Maki Kaji, pelopor utama permainan menguji minda ini.
“Bagi peminat-peminat Sudoku, saya yakin mereka pasti dapat membezakan antara Sudoku yang dicipta melalui perisian komputer dengan kebijaksaaan otak manusia melalui corak permainan yang terbentuk,” katanya.
Fenomena antarabangsa
Sudoku mula mendapat tempat di Jepun sejak tahun 1986 dan seterusnya menjadi fenomena antarabangsa pada tahun 2005. Permainan itu boleh diselesaikan oleh semua peringkat umur bermula dari pelajar sekolah rendah sehingga warga emas.
Sehubungan itu, untuk menjadikan permainan lebih bersifat realistik, pertandingan yang bakal diadakan nanti dibahagikan kepada empat kategori.
Hari pertama akan dibuka untuk pelajar berumur 18 tahun ke atas dan warga emas berusia 55 tahun ke atas. Hari kedua dikhaskan untuk kategori terbuka dan kategori 1Sudoku iaitu penambahan olahan Sudoku yang mencabar.

PESERTA yang menyelesaikan Sudoku dalam masa terpantas juga akan dicatatkan dalam pertandingan. - Gambar hiasan


Setiap kategori akan memilih 10 pemain terpantas menyelesaikan Sudoku untuk berentap di peringkat akhir.
Melalui penajaan bersama oleh pembekal barangan elektrik Midea dan pusat beli belah Giant, pemenang utama bakal menerima barangan elektrik dan baucar pembelian masing-masing bernilai RM1,000.
Pemenang tempat kedua pula akan membawa pulang hadiah yang sama bernilai RM500 dan seterusnya tempat ketiga bernilai RM250.
Istimewanya, pemenang tempat keempat sehingga ke-10 turut diberikan hadiah barangan elektrik yang bernilai RM250. Hamper akan diberi kepada peserta termuda dan tertua dalam pertandingan itu.
Sebanyak 18 hamper ditawarkan kepada peserta melalui cabutan bertuah.
Dia juga memberitahu, penjualan buku Sudoku turut diadakan pada hari tersebut.
“Orang ramai yang berminat untuk mencuba permainan Sudoku boleh mengunjungi gerai buku yang akan dibuka.
“Buku-buku Sudoku itu diterbangkan khas daripada pembekal yang sama,” katanya pada sidang media di Summit USJ, Subang Jaya baru-baru ini.
Pertandingan akan diadakan di Summit USJ dengan kadar perdaftaran sebanyak RM10 untuk setiap kategori.
Untuk maklumat lanjut mengenai pertandingan ini, pembaca boleh melayari laman web www.mysudokusociety.com/ our-events atau sebarang soalan boleh diajukan ke mysudokusociety@gmail.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: