Tuesday, November 27, 2012

Teraju lonjak prestasiekonomi bumiputera



TUJUH tahun lalu, Maranocorp Industries (M) Sdn. Bhd. atau lebih dikenali sebagai Marano ditubuhkan dengan cita-cita menjadi sebuah syarikat pengeluar barangan kulit terkemuka.
Namun, memulakan sebuah syarikat dan mengekalkan perniagaan yang dijalankan adalah dua perkara yang berbeza.
Pengarah Urusan Marano, Jasri Jamaluddin mengakui, pada satu ketika syarikat tersebut pernah berada dalam situasi yang sangat sukar untuk berkembang lantaran kekangan kewangan.
Akibat daripada faktor itu, kualiti produk Marano gagal ditingkatkan sehingga menyebabkan pasarannya agak terhad.
“Peruntukan dan modal yang disediakan oleh institusi-institusi kewangan kebanyakannya untuk syarikat besar serta terkemuka. Ia sekali gus menutup peluang syarikat kecil untuk berkembang maju,” cerita Jasri mengenai jalan-jalan payah yang pernah dilalui Marano beberapa tahun lalu.
Kini beliau boleh menghela nafas lega selepas menyertai Program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras) yang diinisiatifkan oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).
“Pada mulanya saya juga kurang jelas dengan Teraju itu sendiri apatah lagi program-program di bawahnya. Saya kemudian mengambil keputusan mengkaji dengan lebih mendalam mengenai unit strategik di bawah Jabatan Perdana Menteri itu.
“Kini saya bersyukur kerana urusan perniagaan menjadi semakin mudah selepas Marano menyertai Teras di bawah Teraju.
“Unit Teraju membantu Marano mendapatkan bantuan dana dan akses kepada agensi-agensi kewangan bagi meningkatkan prestasi perniagaan,” katanya.
Bantuan kewangan itu membolehkan Marano meningkatkan kualiti produk kulit di kilangnya di Maran, Pahang. Bahkan, rentetan itulah, Marano berjaya mengembangkan pasarannya sehingga menjadi antara pembekal utama kasut uniform kulit kepada kakitangan kerajaan.
Mungkin dalam kalangan kita masih ramai yang tertanya apakah sebenarnya Teraju dan bagaimana ia boleh menjadi pemangkin ekonomi bumiputera bagi membantu syarikat-syarikat seperti Marano.

HUSNI memberi ucapan pada sebuah majlis Teraju untuk Koridor Utara di Pulau Pinang Mac lalu.


Dicetuskan pada 2 Februari 2011 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Teraju diwujudkan bagi menerajui, memacu dan menyelaras agenda bumiputera sebagai sebahagian Pelan Transformasi Negara.
Faedah syarikat Teras
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Husni Salleh, Teraju yang berada di bawah Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) menjadi pemudah cara untuk syarikat-syarikat kecil dan sederhana melonjak bersaing secara sihat dengan syarikat gergasi.
Teraju mempunyai matlamat untuk memastikan bumiputera pada tahun 2020 dapat diwakili secara seimbang dalam pekerjaan berpendapatan tinggi, pemilikan syarikat besar dan sektor-sektor pertumbuhan tinggi ekonomi.
Ujar Husni, dalam usaha melonjakkan ekonomi syarikat bumiputera, Teraju menginisiatifkan pelbagai program antaranya Teras, Dana Mudah Cara, Skim Jejak Jaya Bumiputera, Pembiayaan Ekuiti, Prosper Teras, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, Teraju@Koridor dan Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) contohnya dalam bisnes minyak, gas dan kelapa sawit.
“Teras telah dilancarkan pada 20 Julai 2012. Syarikat bumiputera yang terpilih berasaskan merit akan dibantu untuk mencapai peningkatan dalam perniagaan masing-masing.
“Di bawah program Teraju, sebanyak 1,100 syarikat bumiputera akan dibantu untuk dikembangkan perniagaan masing-masing di peringkat serantau,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Menara Surian, Mutiara Damansara, Selangor baru-baru ini.
Untuk tujuan mengembangkan modal syarikat bumiputera, kata Husni, bantuan dana sebanyak RM500 juta dikhususkan kepada syarikat Teras melalui Dana Teras di SME Bank.
Melalui dana itu, syarikat boleh menjalankan projek masing-masing sekali gus meningkatkan kadar pertumbuhan syarikat.

KRU Malaysia tiga selebriti bersaudara (dari kiri) Edry, Norman dan Yusri tersenarai antara 10 syarikat teratas berdasarkan pertumbuhan untuk program Teras.


Ketika ini sebanyak 250 syarikat telah dikenal pasti untuk menerima dana tersebut bagi keperluan perniagaan masing-masing merangkumi pelbagai bidang perniagaan.
Selain itu, ujar Husni, Teraju juga sentiasa mengorak langkah dalam memastikan syarikat-syarikat bumiputera kecil dan bersaiz mikro terus berkembang.
Antara langkah yang diambil termasuk menggalakkan penggabungan syarikat-syarikat mikro. Melalui penggabungan itu, mereka kelak akan mempunyai modal yang lebih besar sekali gus berkeupayaan membida projek-projek yang lebih tinggi profilnya.
Bukan itu sahaja, penggabungan syarikat-syarikat tersebut membolehkan mereka bersaing di dalam dan luar negara.
“Persaingan memerlukan sumber yang besar dan kebanyakan yang menang adalah syarikat besar. Selain itu, kita mudah membantu syarikat-syarikat ini mencari pelaburan baharu termasuk di luar negara.
“Jika kita lihat, Asia Tenggara sahaja mempunyai 600 juta orang penduduk berbanding Malaysia yang mempunyai rakyat sebanyak 28 juta. Justeru, syarikat berkenaan tidak dapat meningkat dengan berkesan jika hanya bertumpu dalam negara. Kita kena cari pendekatan membawa syarikat ini melabur di luar,” kata Husni.
Optimis
Selain Marano, beberapa syarikat lain turut berjaya meningkatkan prestasi syarikat mereka termasuk ke luar negara antaranya Hadid Engineering (M) Sdn. Bhd. (Hadid).
Dengan suntikan Teraju melalui program Teras, Hadid semakin optimis untuk terus mengembangkan perniagaan yang diusahakan sejak tahun 2000.
Syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan dalam industri minyak dan gas itu kini dalam perancangan mengembangkan perniagaan ke peringkat global seperti Asia Barat menerusi laluan yang dibuka oleh syarikat gergasi tempatan, Petronas.
“Sokongan agensi seperti Teraju dan syarikat berkaitan kerajaan banyak membuka peluang kepada kami untuk menjalankan projek-projek yang lebih berskala besar.
“Teraju memainkan peranan besar sebagai entiti pemudah cara dan orang tengah kepada organisasi besar. Daripada tidak berpeluang langsung, kini kami juga mampu membida projek-projek bernilai tinggi berdasarkan kebolehan dan kepakaran kami,” kata Pengarah Urusan Hadid, Sohpian Ariffin.
Sebuah lagi syarikat yang mendapat faedah daripada program Teras ialah pembekal sistem penghawa dingin, Alam Dingin Air Conditioning Engineering Sdn. Bhd. (Alam Dingin).
Menurut Pengarah Urusan Alam Dingin, Mohamad Azan Sulaiman, sejak Alam Dingin menjadi ahli Teras pada awal tahun ini, beliau melihat banyak peluang terbuka luas untuk Alam Dingin mengukir nama di podium yang lebih berprestij.
“Sebagai ahli Teras, kami memperoleh banyak faedah. Teraju memang tidak akan memberikan kami sebarang projek, namun memberi peluang untuk kami bertemu dengan syarikat-syarikat yang berpotensi untuk membekalkan projek seperti Mass Rapid Transit
Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.) dan pihak kementerian.
“Teraju juga bergerak aktif dengan mengadakan perjumpaan dengan ahli dan persatuan-persatuan yang relevan seperti persatuan kontraktor Melayu negeri. Ia membolehkan kami meluaskan rangkaian perniagaan dan sekiranya ada rezeki, melakukan projek usaha sama dengan ahli-ahli Teras yang lain.
“Dengan khidmat nasihat Teraju, kami juga berpeluang mendapat pinjaman pada kadar faedah rendah daripada SME Bank,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: