'Kahwin 5' Shy8, Anzalna & Marsha kongsi pengalaman
Shy8, Anzalna & Marsha kongsi pengalaman dalam Filem Kahwin 5.
'Kahwin 5' Shy8, Anzalna & Marsha kongsi pengalaman
Bersama pengarah dan pelakon yang membintangi filem Kahwin 5.
Selepas kejayaan filem pecah panggung, Hantu Kapcai pada Oktober lalu, Showbiz Productions meneruskan percubaan menghasilkan filem komedi berjudul Kahwin 5, yang bakal ditayangkan      di sekitar 70 pawagam seluruh tanah air, mulai 27 Disember depan.

Mengambil inisiatif daripada kejayaan Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang mengetengahkan isu poligami dalam filem popularnya, Madu 3, kini Showbiz pula bakal tampil dengan satu pembaharuan yang turut memaparkan isu poligami melalui Kahwin 5.

Lebih menarik, gabungan pelakon yang dipilih seperti Shy8 (Hantu Kak Limah Balik Rumah), Fizz Fairuz (Hantu Kapcai), Soffi Jikan (KL Gangster) serta barisan pelakon wanita seperti Dian P Ramlee, Anzalna Nasir, Marsha Milan Londoh, Adrea Abdullah serta Norish Karman pastinya mampu membuat penonton tak kering gusi menonton filem komedi ini.

Pengarahnya, Nizam Zakaria berkata, filem Kahwin 5 ini mengisahkan tentang seorang usahawan berjaya yang dikenali sebagai Dr K (Shy8).

Walaupun sudah mempunyai empat isteri yang berbeza latar belakang, Dr K turut mempunyai skandal iaitu bersama Farra (Anzalna Nasir).

Pastinya pengalaman melakonkan filem komedi ini memberi seribu makna buat pelakon yang terlibat memandangkan kisah seperti ini agak jarang diketengahkan.

Ikuti pengalaman tiga pelakon utama, Shy8, Anzalna dan Marsha Milan Londoh mengenai filem ini.

Aura Usop wilcha

Memegang watak utama sebagai Dr K, Shy8 akui walaupun filem tersebut mengetengahkan genre komedi, namun ia masih memiliki cabaran yang tersendiri.

Menurutnya, gelaran Usop Wilcha (watak dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah) sudah terlalu sebati dan dia perlu keluar daripada karakter itu untuk menghidupkan peranannya sebagai Dr K dalam filem ini.

"Sebelum memulakan penggambaran, saya cuba memperbaiki lakonan supaya tidak terbawa-bawa dengan karakter Usop Wilcha, dan saya akui ia bukanlah mudah kerana bukan sahaja penonton, malah saya sendiri telah terbiasa dengan karakter tersebut.

"Selain itu, menerusi filem ini saya perlu membawa beberapa watak berlainan iaitu karakter imaginasi jahat dan baik, yang memerlukan emosi yang berbeza.

"Walaupun ia sesuatu yang memenatkan, namun saya cuba lakukan yang terbaik untuk hasil yang memuaskan," katanya.

Shy8 atau nama sebenarnya Syed Mohammed Asri Syed Osman Jamalulail, 47, memberitahu pada awalnya dia agak terkejut dengan tawaran melakonkan watak utama dalam filem ini.

"Ini adalah kali pertama saya diberi kepercayaan untuk menerajui filem dengan memegang watak utama.

"Mana tidaknya, dengan usia sekarang, saya tidak sangka mereka masih memerlukan khidmat saya.

"Mungkin filem ini adalah merupakan satu eksperimen baru untuk mengembalikan trend, di mana hero berusia membintangi filem.

"Bagi saya, jika dilihat dalam industri lakonan antarabangsa, fenomena seperti ini sudah menjadi kebiasaan dan ia tidak mustahil untuk diikuti," katanya.

Tambahnya, memandangkan ini adalah percubaan pertamanya membawa watak utama, dia tidak mahu terlalu mengharapkan respons yang luar biasa daripada penonton.

"Saya tidak mahu terlalu berharap karakter Dr K yang saya bawa dalam filem ini sekali lagi menjadi satu fenomena seperti yang berlaku kepada Usop Wilcha.

"Lagi pun saya tidak layak untuk bercakap mengenai kehebatan saya. Semuanya terserah kepada penonton dan yang paling penting, saya telah lakukan sebaik mungkin untuk menghiburkan mereka," jelasnya.

Anzalna pandai menggoda
Tertarik dengan skrip dan barisan pelakon yang terlibat, pelakon jelita, Anzalna Nasir tidak mengambil masa yang lama untuk menerima tawaran berlakon dalam filem Kahwin 5.

Setelah kejayaan memegang watak penggoda dalam drama bersiri, Adam dan Hawa, Anzalna sekali lagi diberi kepercayaan memegang watak yang sama menerusi filem tersebut.

Katanya, walaupun sudah agak jemu memegang watak seperti itu, namun setelah meneliti skrip dan jalan cerita, ia memiliki keistimewaan yang tersendiri.

"Pada awal saya membaca skrip, saya akui ia adalah sebuah karya yang memiliki kelebihan dan kelainan tersendiri sehingga membuatkan saya tertarik untuk terlibat sama menjayakan filem ini.

"Menerusi filem ini, saya memegang watak sebagai Farra, seorang gadis berasal dari keluarga yang susah dan memiliki muslihat tersendiri untuk memikat Dr K," katanya.

Sementara itu, Anzalna akui sudah tiba masa untuk dirinya mempelbagaikan watak dalam lakonan kerana dia tidak mahu penonton bosan dengan penampilannya yang sering memegang watak penggoda.

"Saya rasa sudah tiba masanya untuk saya mencuba watak lain, selain menjadi seorang penggoda. Lagi pun penonton akan jemu sekiranya saya hanya melakonkan watak seperti itu.

"Sebagai seorang pelakon, saya mahu mencuba pelbagai watak untuk menjadi lebih versatil," ujarnya.

Anzalna juga memberitahu, kritikan yang diberi penonton terhadap lakonannya menerusi drama bersiri, Adam dan Hawa, diambilnya dari sudut positif.

"Kritikan itu telah membuktikan peranan saya sebagai penggoda dalam drama itu menjadi dan ia sesuatu yang membanggakan.

"Namun saya kecewa, ada di kalangan penonton berfikiran cetek yang menyamakan watak itu dengan karakter sebenar saya. Saya akui ia sedikit sebanyak beri kesan terhadap keyakinan saya untuk terus melakonkan watak seperti itu," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Anzalna bakal memulakan penggambaran pada 7 Disember ini menerusi drama terbaru 13 episod berjudul, Maskara, bergandingan dengan barisan pelakon popular seperti Lisa Surihani dan Nasha Aziz.

Guna dialek Sabah
Berperanan sebagai Mimi, isteri keempat Dr K, pelakon dan pengacara, Marsha Milan Londoh akui ia bukanlah cabaran besar buat dirinya.

Katanya, dalam watak itu, dia perlu menggunakan dialek Sabah dan ia memberi kelebihan buat dirinya yang merupakan anak jati negeri di bawah bayu itu.

"Dalam watak ini saya seorang yang manja dan sering menjadi isteri kesayangan Dr K. Satu kelebihan buat saya apabila untuk watak ini, saya perlu menggunakan dialek Sabah.

"Mujurlah saya orang Sabah, oleh itu saya cuba beri dialek yang biasa digunakan supaya penonton mudah memahami karakter saya," katanya.

Sama seperti Anzalna, Marsha turut tidak mahu terus dibayangi dengan karakter yang sama.

"Kalau boleh, selepas ini saya tidak mahu melakonkan watak perempuan gedik sahaja kerana saya bimbang penonton akan mempertikaikan kebolehan lakonan saya.

"Saya tidak mahu bakat dan kebolehan saya terbatas dengan hanya watak-watak seperti itu.

"Mungkin jika diberi peluang, saya mahu berusaha untuk meningkatkan kualiti dalam apa juga kerja yang diceburi. Saya tidak pernah berputus asa untuk meyakinkan masyarakat terhadap bakat yang dimiliki," katanya.

Sementara itu, pengacara program Propaganza di Astro Ria itu turut memberitahu dirinya kini sedang sibuk menyiapkan album penuh keduanya yang dijangka akan keluar pada awal tahun 2013.

"Walaupun karier lakonan lebih menyebelahi saya, namun itu tidak bermakna saya akan berhenti daripada bidang nyanyian kerana pada awalnya, saya lahir dalam industri hiburan sebagai seorang penyanyi.

"Saya amat berharap perancangan album ini akan berjalan dengan baik dan kalau boleh selepas ini, saya mahu seimbangkan karier nyanyian dan lakonan dengan baik," katanya.