Situasi awal tampak tenang beransur gamat sebelum bertukar sengit. Sesi ‘pergaduhan’ di antara dua remaja lelaki yang permulaannya masing-masing menghulurkan penumbuk bertukar kepada sepakan padu ke wajah lawan.
Tanpa sempat menaikkan tangan bagi menepis serangan berkenaan, tubuh si musuh terdorong ke belakang dan tersandar pada tali. Darah mula mengalir akibat ‘hadiah’ tanpa dijangka singgah tepat di hidung mancung pihak lawan ‘berjersi’ merah.
Si biru maju ke hadapan meneruskan asakan, kakinya laju menghayunkan sepakan ke bahagian rusuk manakala lututnya bersedia menerjah ke perut musuh. Enggan mengaku kalah, si merah melupakan kesakitan dan mara berdepan musuhnya berbekalkan skil yang dipelajari.
Apabila pertarungan di kalangan amatur mula terlupa peraturan pertandingan, pengadil berada di gelanggang mendekati dua remaja berkenaan mengingatkan kembali realiti pertarungan.
Tepat satu minit 30 saat, loceng berbunyi menandakan pusingan pertama berakhir.
Kedua-dua peninju melangkah ke penjuru masing-masing mengambil nafas panjang, meneguk sedikit air dan meregangkan otot badan sebelum melalui dua pusingan lagi untuk menentukan pemenang bagi kategori berkenaan.
Menariknya, setiap kali berakhirnya pertarungan, kedua-dua peninju akan berpelukan dan tersenyum menandakan kekasaran berlaku di atas pentas sekadar pertandingan bukan serangan bersifat peribadi.
Selaras dengan prinsip yang ditekankan dalam seni pertahanan diri kelahiran negara gajah putih, Muay Thai, iaitu ‘atas lawan, bawah musuh’, kini berjaya menarik perhatian rakyat Malaysia.
Seramai 18 peserta lelaki berusia lingkungan 15 hingga 20 tahun tidak melepaskan peluang menyertai program pemilihan terbuka peninju Muay Thai bawah 21 tahun bagi mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KL) sebelum bertemu wakil dari Putrajaya dan Labuan, sebagai atlet Sukan Malaysia (Sukma) 2013, bakal diadakan di ibu kota.
Bertempat di Dewan Tinju, Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), pemilihan yang dianjurkan Persatuan Tomoi KL berjaya menarik penyertaan lima kelab Muay Thai sekitar ibu kota termasuk Kelab Tomoi Kuda Merah, Dragon Muay Thai, Ultimate Malaysian Fighter, Kelab Tomoi Sri Payung dan Kelab Harimau Putih.
Setiausaha Persatuan Tomoi KL, Mohd Zaki Yamat berkata pemilihan berkenaan dibahagi kepada tujuh kategori peninju mengikut berat badan iaitu 45 kilogram (kg), 48kg, 51kg, 54kg, 57kg, 60kg dan 63kg.
“Setakat ini kita menerima sebanyak 18 penyertaan tanpa mengira bangsa, kebanyakan mereka adalah amatur dan masih ‘hijau’ dalam lapangan ini.
“Berikutan itu, kita mewajibkan mereka memakai pelapik kaki dan juga pelindung kepala (protective headgear) untuk mengelakkan sebarang kecederaan. Bagi format perlawanan pula, kita menggunakan sistem pemarkahan berdasarkan mata yang dinilai mengikut serangan peninju sama ada penumbuk, lutut mahupun sepakan.
“Terdapat tiga pusingan dan setiap pusingan, peninju diberi masa satu minit 30 saat, berbeza dengan perlawanan profesional iaitu tiga minit,” katanya ketika ditemui.
Menurut Mohd Zaki, perlawanan amatur ini juga tidak membenarkan peninju menyerang menggunakan siku yang menjadi kemestian dalam pertarungan Muay Thai.
Dua peninju terbaik bagi setiap kategori akan dipilih mewakili Kuala Lumpur.
Kemudian, anak muda berkenaan akan bertembung dengan wakil dari dua Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan, sebelum yang terbaik antara mereka dipilih mewakili Wilayah Persekutuan ke Sukma 2013.
Peninju paling muda, Mohd Syafiq Iqram Mohd Harun, 15, berkata dia mula menyertai Muay Thai sejak awal tahun lalu gara-gara pengaruh daripada televisyen, juga atas faktor teman yang turut aktif dalam sukan lasak ini.
“Sebelum menyertai Kelab Tomoi Kuda Merah, terlebih dulu saya bersama Kelab Fly Cobra. Ibu bapa tidak mempunyai masalah apabila saya meluahkan minat untuk menyertai Muay Thai, tetapi untuk menyaksikan saya ‘bergaduh’, mereka masih belum memiliki keberanian berkenaan.
“Setiap hujung minggu, saya dan empat lagi rakan akan ke sini (Dewan Tinju, Pulapol) menaiki teksi dengan bayaran sebanyak RM18 pergi balik. Bermula jam empat petang hingga tujuh malam, baru kami pulang ke rumah.
“Sukan ini sememangnya lasak dan ganas, namun di sebalik itu terselit kelebihan tersendiri termasuk membuatkan saya lebih berdisiplin, menghormati orang lebih tua dan mampu menjaga diri sendiri tanpa membimbangkan ibu bapa,” katanya yang pernah tercedera gara-gara Muay Thai.
Bagi pemuda kelahiran Kelantan, Nik Muhammad Ariff Nik Mat Kahar, 18, menyaksikan perlawanan Muay Thai di depan mata pada awal bangku persekolahan membuatkannya jatuh hati.
Menariknya, ayah serta abang remaja ini memberi galakan penuh untuk dirinya bergelar peninju sekali gus membenarkan berguru dengan warga Thailand.
Mengagumi peninju tersohor Thailand, Buakaw Banchamek, anak muda yang pernah mewakili negara di peringkat antarabangsa ini mengakui pernah tewas dalam pertarungan.
Namun kekalahan itu tidak membuatkan dirinya berasa rendah diri, sebaliknya meningkatkan usaha dan latihan empat jam sehari bagi memperbaiki kelincahan serta kemahiran diri.
Berbeza bagi Muhammad Affandi Bakri, 16, yang terpegun dengan kehebatan peninju tempatan Amirul Ariffin mempamerkan serangan jitu, selain menggunakan YouTube sebagai saluran maklumat mengenai skil Muay Thai.
Atas ajakan teman sebaya, Muhamad Redzuan Maizan, dia bertekad menyertai sukan Muay Thai dan lebih mengujakan, idolanya, Amirul atau dikenali dengan gelaran Ban Mero menjadi tenaga pengajar.
“Kali pertama berada di dalam gelanggang, pasti membuatkan kecut perut apatah tidak dapat menjangka serangan pihak lawan. Namun, selepas beberapa saat, ketakutan itu hilang, sebaliknya berusaha memenangi perlawanan mengikut peraturan ditetapkan.
“Disebabkan Muay Thai, saya tidak menghisap rokok dan masa lapang sentiasa berada di Dewan Tinju. Bertinju memerlukan stamina yang tinggi, seandainya saya menghisap rokok, ia bakal mengganggu prestasi ketika perlawanan.
“Selain itu, saya juga sering ke Taman Tasik Titiwangsa untuk berjoging sama ada sendirian mahupun bersama teman, dalam usaha mengekalkan stamina diri,” katanya.
PROFIL 1:
Nama: Mohd Syafiq Iqram Mohd Harun
Umur: 15 tahun
Asal: Kuala Lumpur
Kategori: 45 kilogram
Kelab: Kelab Tomoi Kuda Merah
PROFIL 2:
Nama: Nik Muhammad Ariff Nik Mat Kahar
Umur: 18 tahun
Asal: Kelantan
Kategori: 54 kilogram
Kelab: Kelab Tomoi Kuda Merah
PROFIL 3:
Nama: Muhammad Affandi Bakri
Umur: 16 tahun
Asal: Kuala Lumpur
Kategori: 54 kilogram
Kelab: Kelab Tomoi Kuda Merah
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: