Sunday, November 25, 2012
Elyzia, si manis 17
PERAHU Kertas pernah menjadi antara novel terlaris. Nukilan Dewi Lestari yang dihasilkan dalam masa 55 hari itu kini diangkat menjadi sebuah filem. Sutradara Hanung Bramantyo menggalas tugasan sebagai pengemudi filem yang dinantikan pembaca novel Dewi.
Mula ditayangkan di Indonesia pada lebaran lalu, filem ini berlabuh di TGV, KLCC bermula 29 November ini. Sebuah filem yang sarat falsafah hidup, alurnya membawa penonton mengalir dan membuai perasaan dalam perhubungan hero dan heroin yang dinamakan Keenan dan Kugy.
Bertemu salah seorang pembawa karakter penting filem ini, Elyzia Mulachela datang bertemu mata dengan media Malaysia. Si pengemudi watak Luhde ini rupa-rupanya baru berumur 17 tahun dan masih bersekolah. Pembawaan dirinya dalam Luhde yang agak meyakinkan membuatkan dirinya tampak matang.
"Saya berasal dari Lombok dan kini tinggal di Jakarta. Awalnya saya merupakan seorang penyanyi dan mempunyai sebuah single bertajuk Cinta Yang Tak Mungkin. Lagu ini masuk ke dalam album runut bunyi filem Perahu Kertas," ujar si manis itu.
Tuah ayam nampak di kaki, tuah Elyzia yang mesra disapa Cipy ini muncul pada lagunya. Bukan setakat lagunya diambil masuk ke dalam filem yang membariskan Reza Rahadian, Adipati Dolken dan Maudy Ayunda itu, Elyzia sendiri ditawarkan watak Luhde oleh Hanung.
"Tiada masalah besar dalam melakonkan watak Luhde. Cuma Luhde itu orang Bali. Saya harus belajar bahasa Bali, loghat Bali, terus kedewasaannya juga saya harus pelajari. Terus yang harus belajar adalah cara sembahyang orang Hindu. Padahal, saya Islam keturunan Arab," tutur Elyzia.
Melihatkan lakonannya yang masih banyak perlu diperbaiki, Elyzia mengaku tertekan melihat lakonannya sendiri. Dia selaku pembaca novel Dewi Lestari maklum bahawa segolongan besar penonton datang ke panggung dengan jangkaan tersendiri.
"Setelah melihatkan respons penonton Indonesia, saya lega," tambahnya yang meletakkan nyanyian sebagai karier utama.
Diusik tentang adegan cium Luhde dan Keenan dalam filem itu, Elyzia ketawa manis sebelum menjawab.
"Kalau ada adegan seks, memang saya akan tolak. Itu hanya teknik penggambaran yang menampakkan saya dan Adipati yang membawakan watak Keenan berciuman pada malam tahun baru. Sebetulnya babak itu bukan adegan melakukan hubungan seks tetapi simbolik antara Luhde dan Keenan rasmi berpacaran," terangnya tentang keintiman Luhde dan Keenan di pertengahan cerita.
Tambah Elyzia, karakter Luhde dan dirinya hanya ada beberapa persamaan.
"Misalnya Luhde seorang yang nampak saja macam seorang pendiam tetapi hakikatnya dia seorang yang cerewet. Samalah seperti saya", kata gadis ini.
Perahu Kertas mengisahkan pasang surut hubungan dua remaja, iaitu Kugy (Maudy Ayunda) dan Keenan (Adipati Dolken). Dua remaja ini bersahabat baik sehingga masing-masing sebenarnya memendam perasaan antara satu sama lain. Namun dalam masa sama mereka mencari haluan hidup dan obses mengejar cita-cita.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: