Thursday, November 29, 2012

Populariti tiba lewat



AKTRES Nadiya Nisaa mula berlakon sejak berusia 18 tahun. Waktu itu, Nadiya merupakan pelajar penyiaran di Universiti Teknologi Mara.
Selepas keluar dari universiti dengan segulung ijazah pada tahun 2008, cukup sukar untuknya mendapatkan pekerjaan tetap.
Nadiya atau nama sebenarnya Nadiyatul Nisaa Kamaruddin sempat bekerja secara bebas di stesen televisyen dan beberapa buah produksi selama setahun sebelum membuat keputusan untuk terus fokus dalam bidang lakonan.
Kini, pada usia 27 tahun selepas bergelar isteri kepada Saiful Razman selama dua tahun dan menjadi ibu kepada Omar, setahun tiga bulan, populariti hadir dalam hidupnya.
"Ya, saya akui populariti hadir agak lewat buat saya. Ada orang kata jika berkahwin, populariti semakin berkurangan tetapi terbalik untuk saya.
"Saya diterima selepas saya berkahwin dan mempunyai anak. Mungkin sudah tuah dan rezeki saya. Ada orang masa untuk dikenali lambat dan ada yang cepat. Cuma perlu bersabar dan ikhlas dalam melakukan kerja," kata Nadiya.
Bakat Nadiya mula meraih perhatian apabila dia membawa watak gadis kurang upaya bernama Manis dalam filem Cun. Selepas itu dia memegang watak gadis liar dan berkongsi babak atas katil bersama aktor Bront Palarae dalam filem Jiwa Taiko.
Terbaharu, Nadiya berjaya memukau khalayak dengan wataknya sebagai Ain Hawani kekasih Adam Mukhriz yang dipegang Aaron Aziz dalam drama bersiri popular Adam dan Hawa.
"Sebenarnya ramai orang yang masih tidak tahu nama saya. Contohnya selepas saya keluar dengan filem Cun, orang panggil saya Manis, sekarang selepas drama Adam dan Hawa, orang ramai panggil saya Ain.
"Bagi saya apabila peminat memanggil nama watak saya, itu satu petanda yang baik. Bermakna mereka benar-benar ingat watak saya. Saya tidak kisah jika watak yang saya bawa lebih popular daripada diri saya yang sebenar," ucapnya jujur.
Tambahnya, dia tidak pernah menjangka menjadi popular seperti hari ini, berbeza pada awal kemunculannya sebagai aktres. Menghargai perhatian yang diberi, cuma akuinya, dia masih belajar menerima perhatian dalam dunia glamor.
"Memang saya terasa tempias populariti drama Adam dan Hawa. Buktinya, pengikut saya semakin ramai di Twitter dan Facebook. Perkara paling mengejutkan, saya mempunyai kelab peminat.
"Tidak sangka langsung saya akan mempunyai peminat yang cukup menghargai bakat seni saya. Terharu bila saya fikirkan usaha mereka untuk bersatu semata-mata untuk menyokong saya seorang.
"Mulanya saya agak kekok dan terkejut dengan perhatian peminat. Contohnya ketika saya keluar bersama rakan akan ada peminat minta bergambar atau tandatangan tidak mengira waktu, sedangkan ada masanya saya juga inginkan privasi. Saya manusia biasa, masih cuba belajar menerima dan sesuaikan diri dengan semua perhatian itu," tuturnya.

IBU kepada seorang anak ini percaya rezeki akan sentiasa ada jika seseorang berusaha keras.


Kualiti dan populariti
Meskipun segala pergerakannya menjadi perhatian, itu tidak bermakna anak kedua daripada lima adik-beradik itu harus berubah menjadi orang lain.
"Setakat ini populariti dan perhatian yang diberikan tidak menjadi masalah. Saya masih menjadi diri saya sendiri, sama sebelum saya dikenali ramai.
"Kalau ada masa, saya masih melepak dengan rakan-rakan teater. Saya masih menerima tawaran untuk berlakon dalam filem indie. Pada bulan Mac tahun hadapan saya akan terlibat dalam sebuah filem indie berjudul Bikin Filem," luahnya yang mengidam watak memberi inspirasi kepada penonton.
Semakin popular memberi ruang untuknya memilih skrip yang benar-benar berkualiti dan menarik minatnya. Bagaimanapun tegas Nadiya, dia tidak pernah memilih skrip sebaliknya bertuah kerana ditawarkan skrip yang menarik sejak berlakon.
"Kalau ikutkan sejak saya tidak dikenali lagi, saya telah diberi skrip dan watak yang berbeza-beza. Kiranya saya bertuah tidak membawakan watak yang sama sahaja.
"Saya tidak mahu menjadi seorang yang memilih cuma saya elakkan melakonkan watak yang sama berulang kali dalam tempoh masa yang dekat.
"Contohnya selepas filem Cun, ada juga dapat tawaran gadis kurang upaya, tetapi disebabkan tempoh waktunya terlalu dekat nanti penonton bosan melihat watak yang sama dalam set yang berbeza. Biarlah sesuatu watak itu dilakonkan secara eksklusif untuk sebuah filem atau drama sahaja," ujarnya panjang lebar.
Jadual padat
Buat masa ini, Nadiya sedang sibuk di set penggambaran drama 26 episod berjudul Cinta Jangan Pergi lakonannya bersama aktor Remy Ishak dan Tiz Zaqyah sehingga penghujung Disember ini di bawah arahan Kabir Bhatia.
Selepas itu, aktres yang selesa bergaya dengan gaun paras lutut itu akan terlibat dengan sebuah filem juga arahan Kabir Bhatia pada awal tahun hadapan.
"Jadual saya penuh sampai tahun hadapan. Memang sangat sibuk dan penat. Bayangkan ketika penggambaran drama Adam dan Hawa selama lima bulan, saya tidak mempunyai pembantu rumah.
"Saya terpaksa bangun awal pagi untuk siapkan anak dan buat kerja rumah sebelum ke lokasi penggambaran. Alhamdulillah, sekarang sudah ada pembantu rumah. Jadi, masa saya lebih bersama dengan anak, balik rumah tidak pening kerja rumah tidak siap," katanya dalam tawa.
Bukan itu sahaja, jika dahulu Nadiya menguruskan dirinya sendiri, kini dia dibantu oleh kakaknya yang pernah bekerja dalam majalah fesyen sebagai perunding imej peribadinya.
"Jujur, saya tidak tahu langsung tentang fesyen. Jadi, apabila kakak jadi perunding imej peribadi, banyak perkara yang saya belajar. Contohnya tentang fesyen dan warna yang sesuai dengan warna kulit saya.
"Sebelum ini, saya lebih suka warna gelap serta pakai seluar jean dan kemeja-T, tetapi apabila kakak meminta saya pakai gaun polos paras lutut, saya rasa selesa.
"Rupanya warna lembut juga sesuai dengan saya. Sekarang, deria fesyen saya semakin baik dengan bantuan kakak kerana sudah lumrah untuk orang ramai melihat hanya yang cantik-cantik sahaja," beritahunya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: