|
SEPANJANG 23 tahun, golongan pengkarya muzik iaitu komposer dan penulis lirik telah memperolehi pendapatan tambahan menerusi royalti apabila tertubuhnya Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP).
Ditubuhkan pada tahun 1989, MACP telah memainkan peranannya sebagai Badan Pengutip Royalti (CMO) yang sangat aktif dan sehingga kini sudah mempunyai seramai 3,000 ahli di seluruh Malaysia.
Sepanjang penubuhan MACP sebagai salah satu CMO yang berdaftar dan diberikan lesen untuk mengutip royalti, ternyata ia telah banyak membantu golongan pengkarya muzik yang biasanya bergantung harap kepada pendapatan menerusi penciptaan lagu dengan pengagihan royalti yang dilakukan pada setiap tahun.
Bagaimanapun, kini sudah timbul dilema apabila MACP tidak dibenarkan untuk mengutip royalti daripada stesen radio, televisyen, pusat karaoke, hotel dan restoran sejak September lalu setelah tidak lagi diberikan lesen oleh kerajaan seperti tahun-tahun sebelumnya.
Ia terjadi ekoran timbulnya cadangan untuk mewujudkan hanya satu badan pengutip royalti dan secara automatik, MACP tidak diberi hak untuk mengutip royalti seperti kebiasaan.
Selain MACP, terdapat tiga lagi CMO yang berdaftar iaitu Prism Berhad, Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dan Pelaku Persembahan Muzik (PPM).
Memandangkan tiada lagi lesen kebenaran yang diberikan kepada MACP untuk mengutip royalti, ternyata ia telah memberi impak kepada jumlah perolehan mereka. Ini kerana sudah tiga bulan kutipan royalti tidak lagi boleh dilakukan.
Tiga orang komposer terkenal tanah air iaitu Aidit Alfian, Hudzaifei Hazmi (Jipie) dan Dr. Syed Ahmad Faizal Syed Fadzil Al-Attas (Pacai) meluahkan kebimbangan mereka terhadap kemelut yang melanda sekarang.
Mereka sependapat bahawa sekiranya MACP tidak lagi dibenarkan mengutip royalti, sudah tentu pelaku tidak akan dapat lagi menikmati hak yang pernah diperoleh mereka sebelum ini.
Aidit menyatakan sejak menjadi ahli MACP pada tahun 1990, dia melihat CMO tersebut telah menjalankan tanggungjawab dengan baik dan sangat berpuas hati dengan jumlah royalti yang diterimanya pada saban tahun.
Ujarnya, dia merasakan cadangan tentang penubuhan satu badan CMO masih belum sesuai lagi untuk dipraktikkan terutamanya daripada sudut kepakaran pihak yang akan diberikan tanggungjawab untuk mengutip royalti nanti.
“Selama ini saya sudah selesa dengan MACP dan berpuas hati dengan kadar royalti yang diterima pada setiap tahun. Lagipun mereka sudah menjalankan tanggungjawab dengan baik dan kurang mendapat rungutan daripada ahli.
“Selain itu saya melihat pembahagian royalti yang dilakukan juga sangat telus, malah mereka memiliki juruaudit yang dilantik untuk memantau perjalanan urusan yang membabitkan royalti,” ujarnya yang sebelum ini begitu sinonim dengan penyanyi Elyana.
Menurut Aidit, dia berterima kasih dengan keprihatinan kerajaan yang ingin membantu golongan pengkarya muzik sepertinya, namun beranggapan masih ada cara lain yang boleh dilakukan berbanding mempraktikkan cadangan untuk menubuhkan satu badan CMO di negara ini.
Jelasnya, salah satu cara yang boleh dilakukan ialah dengan memberi penerangan dan kesedaran kepada masyarakat tentang hak-hak dan harta intelek yang masih kurang lagi difahami.
“Misalnya, kalau ada pihak yang menganjurkan konsert atau majlis makan malam dan lagu saya dinyanyikan pada majlis tersebut, mereka harus membayar sejumlah royalti kepada saya menerusi MACP kerana lagu itu adalah hak intelek saya dan bayaran bukan diberikan kepada penyanyi sahaja.
“Selain itu apa sahaja lagu yang disiarkan di premis awam seperti pusat karaoke, restoran dan hotel, maka royalti harus dibayar kerana keuntungan yang akan mereka perolehi dengan menyiarkan lagu sebagai satu tarikan untuk orang awam datang ke premis mereka,” jelasnya.
Menurutnya lagi, sehingga kini ramai yang tidak tahu mengenai perkara ini dan disebabkan itu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) perlu memberi penerangan lebih mendalam mengenai hak intelek.
Pada masa yang sama, Aidit juga memohon supaya pihak MyIPO dapat memberikan lesen kepada MACP dengan segera agar mereka dapat menjalankan tanggungjawab seperti biasa.
“Selagi MACP tidak diberikan lesen untuk mengutip royalti, pasti ia akan memberikan kerugian yang agak besar kepada golongan pengkarya seperti kami kerana jumlah royalti yang akan diterima semakin berkurangan.
“Lagipun masih ada lagi segelintir yang begitu mengharapkan royalti ini seperti balu kepada Allahyarham Loloq iaitu Hariah Yaacob yang bergantung sepenuhnya kepada royalti arwah suaminya untuk menyara kehidupan ketiga-tiga anaknya,” ujar Aidit.
Diiktiraf antarabangsa
Bagi Jipie, dia masih menaruh keyakinan yang tinggi terhadap peranan yang dijalankan oleh MACP.
Menurut Jipie, MACP juga merupakan sebuah CMO yang diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila bernaung dengan International Confederation of Societies of Authors and Composers (CISAC) bersama-sama dengan 52 CMO di seluruh dunia.
Ujarnya, pengiktirafan antarabangsa itu sebenarnya sangat penting kerana ia akan memudahkan usaha untuk menjalinkan sebarang kerjasama dengan CMO di luar negara.
“Misalnya, ada lagu yang saya hasilkan turut diputarkan di stesen radio luar negara seperti Singapura, Thailand dan Hong Kong. Jadi, pihak CMO di negara-negara tersebut boleh mengutip royalti lagu saya itu yang akan disalurkan menerusi MACP.
“Begitu juga dengan lagu antarabangsa yang diputarkan di Malaysia, pihak MACP akan turut mengutip royalti dan kemudiannya menyerahkannya kepada CMO yang berkaitan di luar negara,” jelasnya.
Menurutnya, sekiranya diwujudkan sebuah sahaja CMO, pastinya agak sukar untuk mendapat pengiktirafan memandangkan kepercayaan CMO di luar negara terhadap kredibiliti badan yang baru ditubuhkan itu.
Komposer yang juga merupakan vokalis kumpulan Pesawat itu mengambil contoh seperti yang berlaku di Indonesia apabila sebuah CMO baharu diwujudkan, tetapi sehingga kini tidak dapat bernaung di bawah CISAC.
“Apa yang dibimbangkan sekiranya MCAP tidak dapat lagi menjalankan peranannya sebagai CMO di Malaysia, sudah tentu ia akan mendatangkan kerugian kepada ramai pihak terutamanya pengkarya seperti kami," ujarnya.
Pandangan ahli
Sementara itu, seorang lagi komposer yang cukup terkenal, Pacai menyatakan, dia tidak menolak seratus peratus terhadap cadangan penubuhan sebuah CMO sahaja di negara ini.
Bagaimanapun, dia berpendapat bahawa sebarang pembaharuan yang ingin dilakukan seharusnya mendapatkan pandangan semua ahli yang berdaftar dengan CMO di negara ini.
“Sebelum melakukan sesuatu pembaharuan, pihak yang berkuasa seharusnya mendengar terlebih dulu pandangan setiap ahli dan setiap keputusan yang dibuat perlulah mengikut suara majoriti.
“Sebenarnya saya tidak ada masalah terhadap pembaharuan yang ingin dilakukan, asal ia mendatangkan kebaikan kepada semua pihak dan tidak berlaku penindasan, tetapi ia tidak perlu dilakukan secara terburu-buru,” jelasnya.
Ditanya mengenai peranan yang dimainkan oleh MACP sepanjang 18 tahun menjadi ahli MACP, komposer itu melihat badan tersebut bukan sahaja bertindak sebagai pengutip royalti, malah turut menjaga kebajikan para ahli dengan pelbagai kemudahan yang disediakan.
“Antaranya, mereka turut menyalurkan wang khairat kematian kepada ahli yang meninggal dunia, sumbangan kepada ahli yang sakit serta pinjaman wang kepada ahli tanpa sebarang faedah,” ujarnya.
Menurut Pacai, berdasarkan kepada peranan dan tanggungjawab besar yang telah dilakukan oleh MACP, sudah sewajarnya mereka terus diberikan kebenaran untuk menjadi CMO di negara ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: