Saturday, November 24, 2012

Pandangan tajam anak seni sejati

EMAN dan Wan Hanafi sama-sama merupakan pelakon bertaraf seniman dunia perfileman, namun masing-masing mempunyai karakter yang berbeza.


Eman Manan dan Wan Hanafi Su merupakan dua nama yang cukup kuat dalam industri perfileman tempatan. Sudah pasti filem yang menampilkan dua figura bertaraf seniman negara ini cukup untuk memberi pandangan awal bahawa naskhahnya bukan calang-calang.
Pengalaman bertahun lamanya dalam bidang lakonan, membuatkan dua figura ini semakin lali melihat arus seni tanah air yang saban hari bertukar mengikut peredaran zaman.
Sementelah, wajah-wajah baharu yang bersilih ganti mewarnai bidang lakonan tempatan.
Bagaimanapun, jika ingin dibandingkan dengan pelakon dari zaman kegemilangan Eman dan Hanafi Su sendiri, tidak dinafikan kebanyakan mereka memang terkenal dengan bakat yang ada pada diri membuatkan diri dikenali dan diterima sehingga kini.
Mendekati Eman dan Wan Hanafi di set penggambaran filem terbaharu lakonan mereka di Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini, sememangnya mereka berdua mempunyai karakter yang sangat berbeza.
Wan Hanafi sangat peramah manakala Eman pula agak serius ketika memberikan jawapan kepada soalan-soalan yang diajukan.
Walaupun kini dilihat banyak filem yang semakin rancak ditayangkan di pawagam namun ada yang dilihat kurang berkualiti memandangkan terlalu mengetengahkan nilai komersial bagi menarik penonton hadir ke panggung.
Adakah itu membuatkan industri perfileman kita masih lagi di tahap tidak memuaskan dan belum cukup untuk bersaing dengan negara jiran seperti Thailand contohnya yang mana industri mereka telah berjaya memecah masuk pasaran antarabangsa? Eman dan Wan Hanafi membicarakan tentang perkara itu.
Nilai komersial perlu dalam filem - Wan Hanafi Su
"Nilai komersial itu sangat diperlukan sebenarnya dalam sesebuah filem. Namun ia akan menjadi lebih mantap jika punya lakonan yang kuat, watak yang dipercayai dan kelebihan yang outstanding, maka orang akan ingat juga filem tersebut walaupun ia kurang menonjolkan nilai komersial," jelas Wan Hanafi yang tidak lokek berkongsi maklumat sepanjang sesi temu ramah berlangsung.
Walaupun memiliki bakat yang luar biasa, namun namanya tidak begitu popular setanding dengan bakat yang ditonjolkan lelaki berusia 62 tahun ini.
Menjawab persoalan berkaitan isu tersebut, bukan senang mahu merubah sesuatu apabila masyarakat sudah biasa disajikan dengan nilai komersial.
"Bukan semua filem memerlukan aktor yang kacak atau aktres yang cantik dan seksi. Apakah kita hanya perlukan hero yang kacak sahaja? Ada juga hero yang kurang kacaknya mampu berlakon lebih baik dari yang kacak tadi," jawabnya ringkas.
Tambahnya, sebagai seorang pelakon, memilih adalah keperluan, namun bukanlah terlalu memilih kerana yang paling penting bagi empunya diri ialah penggarap filem itu sendiri kerana kelak ia akan memudahkan perbincangan dua hala.
"Seseorang aktor mahupun aktres itu perlu tahu informasi tentang watak yang ditawarkan kepadanya.
"Pemilihan pengarah juga akan menyenangkan proses perbincangan kelak. Walaupun saya memang minat filem seni, namun, sebagai pelakon, saya masih lagi akan menerima jika ditawarkan berlakon dalam filem komersial," tutur anak kelahiran Terengganu ini.
Bijak menilai
Bagi pelakon senior ini, dia lebih menggemari filem yang berunsur seni dan diambil sebagai contoh yang terbaharu, Bunohan yang kurang diterima oleh masyarakat namun telah berjaya menempah kejayaan di persada antarabangsa.
"Memang filem-filem seperti ini yang kita harus perbanyakkan kerana kita perlu mengajar audiens untuk ke panggung dua tiga kali oleh sebab filem seperti ini memerlukan penghayatan yang lebih.

LIMA tenaga lakonan penting filem Laga (dari kiri), Eman Manan, Tyas Mirasih, Syazwan Zulkifly, Zaidi Omar dan Wan Hanafi.


"Ini boleh dikategorikan sebagai masalah kurang apresiasi yang masih belum dapat diselesaikan di kalangan penonton tempatan kita. Saya akui, masyarakat masih memerlukan masa untuk menerima filem-filem berseni seperti ini.
"Namun saya percaya penonton kini semakin bijak menilai antara kualiti dan nilai komersial semata-mata. Sejak kebelakangan ini, saya dapat rasakan penilaian penonton Malaysia sudah bertukar," bicara Wan Hanafi.
Dia membuat kesimpulan bahawa pokok pangkalnya, semuanya berbalik kepada kru produksi dan bagaimana cara pengarah itu sendiri bekerja.
Pelakon perlu ilmu, bukan bakat semata-mata - Eman Manan
Lain pula pendapat Eman yang telah meraih pelbagai anugerah sepanjang bergelumang dalam industri lakonan.
Bakat lakonannya tidak dapat dinafikan lagi oleh sesiapa yang pernah bekerjasama dengannya.
Menjawab melalui pengalaman yang ditimbanya, tutur pemilik nama sebenar, Abd. Manan Embong ini, pelakon bukan hanya perlu bersandarkan pada rupa dan bakat namun ilmu juga penting bagi seseorang individu yang ingin menggelarkan diri sebagai seorang penggiat seni.
"Saya dari dahulu merasakan bidang lakonan bukan bidang bakat semata-mata tapi perlu punya ilmu serta kini telah wujud banyak institusi yang mengajar ilmu yang betul tentang lakonan. Perkembangan yang sihat berlaku dalam industri lakonan kini.
"Ramai generasi baharu yang muncul yang mana perempuannya cantik dan begitu juga lelaki.
"Memang tidak dinafikan filem memerlukan imej yang menarik untuk memberi kepuasan kepada penonton sendiri," tegasnya serius tentang perkembangan yang berlaku dalam industri lakonan.
Tambahnya: "Walaupun percambahan generasi baharu amat memberansangkan, namun apa yang kurang dalam industri perfileman merupakan penggarap yang mampu menghasilkan karya. Maka oleh sebab itu, ia dianggap sebagai sesuatu yang merugikan pada industri."
Industri paling lembab
Walaupun kini industri perfileman di Malaysia dilihat semakin rancak perkembangannya, namun ujar Eman, ia masih lagi merupakan antara industri yang paling lembap jika ingin dibandingkan dengan industri perfileman di negara lain.
"Oleh sebab itu, ia tidak dapat meyakinkan para pelabur untuk meletakkan pelaburan dalam bidang ini. Bidang ini juga merupakan bidang yang penting untuk kita dikenali dunia. Sampai bila kita hanya ingin melihat karya luar sahaja yang mendominasi negara kita.
"Sebagai contoh, tidak perlu kita bezakan industri kita dengan Hollywood, hanya ambil yang negara jiran seperti Thailand. Karya mereka sememangnya telah sampai dan sering diiktiraf hingga ke tahap antarabangsa," jelasnya aktor yang sentiasa serius terhadap apa yang dituturnya.
Apabila ditanya tentang tawaran yang diterimanya kali ini untuk filem Laga, ujar Eman, selain kariernya sebagai seorang pelakon, dia juga amat menyukai karya arahan Ismail Yaacob ini.
Menerusi filem ini, selain Wan Hanafi, Eman turut bergandingan dengan nama-nama besar yang lain seperti Nasir Bilal Khan, Rosyam Nor serta pelakon yang sedang meningkat naik, Syazwan Zulkifly.
Selain itu, filem ini juga bakal menampilkan aktres Indonesia, Tyas Mirasih yang pertama kali dibawa untuk berlakon di Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: