Thursday, November 29, 2012

Khairunnisa rangkul anugerah ANC


AYAH Khairunnisa, Johari Othman (kiri) dan isterinya, Noreha
Hashim meraikan kejayaan anak mereka di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Walaupun tidak boleh bergerak dan terpaksa menggunakan kerusi roda di Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana di sini namun Khairunnisa Johari masih mampu menggenggam segulung ijazah sama seperti pelajar lain.
Lebih membanggakan, Khairunnisa, 24, yang menghidap penyakit tulang rapuh sejak dilahirkan berjaya merangkul Anugerah Naib Canselor (ANC) pada sidang kesembilan Majlis Konvokesyen UiTM ke-77 di Dewan Agung Tuanku Canselor universiti itu di sini semalam.
Anak kedua daripada empat beradik yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Pengajian Maklumat dengan Purata Nilai Gred Kumulatif 3.63 berkata, anugerah berprestij itu menjadi impiannya sejak menyambung pengajian peringkat diploma di UiTM.
"Berkat doa keluarga, bantuan rakan-rakan dan pensyarah yang banyak membantu saya menempuh kehidupan mencabar sepanjang dua tahun pengajian peringkat ijazah di universiti, saya akhirnya berjaya merangkul anugerah ini," katanya.
Khairunnisa yang berasal dari Sungai Petani, Kedah memberitahu, bijak membahagi masa dan tidak suka melengahkan sesuatu tugasan adalah kunci kejayaannya.
Selain itu, katanya, kemudahan yang disediakan UiTM banyak membantunya di universiti.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: