Ugut tikam bapa
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret, semalam.
KUALA TERENGGANU – Bengang kehendaknya untuk mendapatkan RM350 tidak diendahkan ayah, seorang anak tergamak mengugut menikam bapanya di Kampung Bukit Berangan, Tepoh, di sini, Julai lalu.

Bagaimanapun, tindakan melampau tertuduh berusia 18 tahun dari Kampung Seberang Tepoh, di sini, akhirnya terbalas apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret, semalam, kerana melakukan ugutan jenayah.

Tertuduh yang juga penganggur mengaku bersalah dengan sengaja melakukan ugutan jenayah terhadap bapanya, Mohd Nor Awang, 58, di sebuah rumah di Kampung Bukit Berangan, Tepoh, pada 13 Julai lalu, kira-kira jam 9 malam.

Dia mengaku bersalah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 506 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan selepas mengambil kira faktor usia tertuduh yang dikategorikan sebagai pesalah muda.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, mangsa didatangi tertuduh yang meminta RM350, dipercayai untuk membaiki motosikalnya yang rosak.

Bagaimanapun, mangsa tidak mengendahkannya menyebabkan tertuduh naik angin, lalu mengambil sebilah pisau sebelum mengugut menikam mangsa sekiranya enggan memberikan wang diminta.