JELITA...Elyzia lebih selesa dengan panggilan Cipy.
Apatah lagi, Mario dalam kenyataannya kepada wartawan di negara itu, awal Januari lalu memaklumkan dia tidak mampu menyembunyikan perasaan suka terhadap Elyzia. Malah, pemuda berusia 30 tahun ini turut mengakui Elyzia yang mesra dengan panggilan Cipy itu menepati kriteria wanita idamannya.
Bersua dengan Elyzia selepas pratonton filem Perahu Kertas (Bahagian 1) lakonannya di TGV KLCC, baru-baru ini merungkai gosip percintaan itu. Agak terkejut, tatkala dia diajukan persoalan hubungan cintanya dengan Mario, gadis kelahiran Lombok, Indonesia yang berusia 17 tahun ini kelihatan agak malu.
Malah, akuinya hubungan baik dengan Mario sebenarnya umpama abang dan adik.
“Justeru, pada saya hubungan dengan Mario itu biasa-biasa saja. Rakan sesama artis dan kami pun dalam perancangan untuk bekerjasama menyanyi secara duet.
Saya juga fikir Mario pun tidak terlalu serius kerana dia tahu hubungan kami seperti apa,” katanya mengakui Mario yang dikenali adalah lelaki yang sangat baik.
Terus mengungkap kisah cintanya dengan Mario, gadis bertubuh kecil ini memaklumkan hubungan baik antara dia dengan jejaka itu dijalin atas paksi menyokong karier muzik masing-masing.
Ujarnya, disebabkan itu juga dia hadir ke majlis pelancaran single Mario, Beda sebagai memberi semangat kepadanya.
Berbicara lanjut berhubung karier lakonannya, Elyzia berkata, semuanya bermula secara kebetulan.
Ujarnya, dia lebih dulu terbabit dengan nyanyian sebelum berlakon. Justeru, peluang membintangi Perahu Kertas yang diadaptasi daripada novel terlaris Indonesia karya Dee itu dianggap sebagai pengalaman baru.
“Saya sanggup menerima watak Ludhe dalam Perahu Kertas ini kerana mahu menimba pengalaman. Apatah lagi, saya juga pernah membaca novelnya dan ia karya yang cukup bagus. Ditambah pula, watak Ludhe itu betul-betul kena dengan jiwa dan personaliti diri saya. Jadi, saya selesa untuk membintanginya.
“Apapun, ketika dipanggil untuk uji bakat, saya memang tidak tahu siapa pengarahnya serta watak yang akan diterima. Namun, apabila karakter Ludhe disahkan menjadi milik saya, ia umpama rezeki yang dihajati. Impian saya untuk menjadi pelakon dimakbulkan Tuhan dan sudah pasti harus membuat yang terbaik.
“Tak dinafikan juga, ketika membaca novel Perahu Kertas itu saya memang sentiasa membayangkan karakter Ludhe. Justeru, apabila akhirnya menjadi milik saya, maka ia tak mampu ditolak.
Saya terima dan bersedia untuk belajar cara berlakon yang bagus daripada pengarah berpengalaman seperti Hanung,” katanya.
Menurut Elyzia, dia juga berasa sangat bertuah dan beruntung apabila turut mendapat bantuan daripada pelakon lain yang berpengalaman seperti Maudy Ayunda yang melakonkan watak Kugy dan Adipati Dolken (Keenan).
Ujarnya, mereka berdua sangat baik kerana sudi membantu memberi tunjuk ajar kepadanya.
Turut muncul dengan single pertama Cinta Yang Tak Mungkin, Elyzia berkata, tambah bermakna baginya membintangi Perahu Kertas apabila lagu dinyanyikan turut dipilih sebagai lagu tema filem itu.
Katanya, dia benar-benar tidak sangka laluan kariernya berjalan lancar dan dipermudahkan Tuhan.
Menyingkap pula sinopsis filem Perahu Kertas (Bahagian 1) yang akan menemui peminat wayang di negara ini pada 29 November nanti hanya di TGV, KLCC, ia mengisahkan Keenan, seorang pelukis muda berbakat dipaksa mengikuti jurusan Ekonomi oleh bapanya yang cukup tegas dan memandang rendah pada seni.
Namun, minat mendalam Keenan untuk menjadi pelukis akhirnya mendorong dia tekad meninggalkan kuliah dan berhijrah ke Bali bertemu kenalan ibunya, Pak Wayan untuk belajar melukis.
Apatah lagi, Keenan juga dalam kekecewaan selepas mendapat tahu gadis dicintainya, Kugy sudah memiliki kekasih hati.
Terus memendam perasaan cintanya terhadap Kugy, pemuda ini nyata tenang di Bali. Apatah lagi, perkenalan dengan Luhde yang juga anak saudara Pak Wayan menaikkan semula semangatnya untuk melukis. Malah, Ludhe yang juga pemalu cukup memahami kehalusan jiwa seni dimiliki Keenan.
Sementara itu, Kugy yang putus cinta dengan kekasihnya selepas Keenan pergi lebih banyak terbabit dengan aktiviti sukarelawan. Pun begitu, sebaik tamat
pengajiannya, Kugy yang minat menulis cerita dongeng dan suka pada fantasi akhirnya diterima bekerja di syarikat pengiklanan terkenal AdVocaDo milik Remi.
Bermula sebagai budak pejabat dan pembancuh kopi, Kugy akhirnya dinaikkan pangkat kerana ideanya untuk iklan coklat diterima pelanggan AdVocaDo. Sejak itu, hubungan Kugy dan Remi semakin rapat dan akhirnya mereka bercinta.
Mampukah Kugy melupakan Keenan dengan menerima cinta Remi? Jawapannya ada di dalam filem Perahu Kertas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: