Sunday, November 25, 2012

Pelari wanita sebenarnya lelaki


KEKASARAN pihak polis semasa menangkap Pinki termasuk memegang payudaranya telah mencetuskan kemarahan.


SELEPAS berbulan-bulan jantina bekas pelari jarak sederhana India, Pinki Pramanik, 26, menjadi persoalan, dia akhirnya disahkan akan didakwa atas tuduhan merogol teman wanitanya, Anamika Acharya semasa mereka tinggal bersama di bandar Kolkata.
Pihak polis memfailkan tuduhan itu terhadap Pinki yang pernah memenangi pingat emas acara 4×400 meter (m) lari berganti-ganti pada Sukan Asia Doha 2006 berikutan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan pada Jun lalu.
Sebelum ini, Pinki telah menjalani tiga ujian perubatan untuk menentukan jantinanya bagi membuktikan dia mampu melakukan perbuatan rogol itu tetapi kesemua ujian itu gagal.
Pinki memberitahu, dia mempunyai gejala lebihan hormon lelaki akibat pengambilan ubat-ubatan semasa dia aktif dalam sukan dahulu.
“Ya, saya ada masalah hormon. Tetapi saya dibesarkan sebagai seorang gadis. Tiada siapa yang mempersoalkan jantina saya apabila saya mengambil bahagian dalam pertandingan antarabangsa,” ujarnya.
Dia mendakwa pihak polis cuba memfitnahnya. “Saya kecewa dengan cara mereka mengendalikan isu ini. Ada ketikanya saya berasa seperti mahu membunuh diri. Saya mahu hidup seperti orang lain,” tambahnya yang akan dibicarakan pada 26 November ini.
Sementara itu, Pendakwa Raya, Shantamoy Bose berkata, Pinki berupaya melakukan hubungan seks seperti lelaki normal.
Hormon XY
“Sebanyak lapan ahli lembaga perubatan yang dilantik untuk mengendalikan kes itu telah mengemukakan ujian jantina mereka,” jelas Shantamoy.
Ujian itu dijalankan di sebuah hospital di Hyderabad.
Bagaimanapun, pakar perubatan berpendapat walaupun seseorang turut memiliki gabungan kromosom XY, dia tidak boleh dipanggil sebagai lelaki malah tidak berupaya melakukan hubungan seksual.
Pakar genetik dan salah seorang ahli panel perubatan yang menyiasat kes itu, Kaushik Mondol, berkata, walaupun laporan mengatakan Pinki mempunyai kromosom lelaki iaitu XY, itu tidak membuktikan dia seorang lelaki.
Pakar sakit puan, Gautam Khastagir, juga dipetik sebagai berkata, Pinki mungkin mempunyai zakar yang terperosok dan satu testis dalaman tetapi tiada faraj.
“Keadaan itu membuat Pinki dikategorikan sebagai khunsa. Laporan perubatan hanya menunjukkan lebihan hormon lelaki, tetapi identiti seksualnya masih samar-samar,” jelasnya.
Selain memenangi emas 4x400m Sukan Asia Doha 2006, Pinki juga memenangi emas dalam acara yang sama pada Sukan Dalam Dewan Asia 2005 di Pattaya, Thailand dan Sukan Asia Selatan 2006 di Colombo, Sri Lanka.
Seorang lagi pemenang pingat India pada Sukan Asia 2006, Santhi Soundarajan, dilucutkan pingat peraknya bagi acara larian 800m selepas dia gagal dalam ujian jantina.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: