Sunday, November 25, 2012

Trek F1 burung unta



KUNJUNGAN ke Jelita Ostrich Farm yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan pada mulanya disambut dengan edisi pengenalan yang agak mengelirukan.
Ini kerana kru Jurnal sedia maklum ladang ternakan ini terkenal dengan burung unta tetapi diberi penerangan perihal burung kasawari pula.
"Jangan khuatir, ini sebagai mukadimah semata-mata tetapi burung kasawari sebenarnya termasuk dalam spesies burung unta.
"Penjelasan ini bagi mengelakkan orang ramai yang keliru antara kedua-dua jenis burung ini," kata penyelia ladang Syed Azran Syed Abdullah, 48.
Namun, sebaik sahaja menyusuri lebih mendalam di Jelita Ostrich, ketinggian burung unta sebenarnya lebih tinggi berbanding manusia normal sendiri.
Berat badan haiwan ini boleh mencecah sehingga 150 kilogram (kg). Ia gemar mematuk tetapi jangan khuatir kerana burung ini tidak bergigi.
Menurut pemilik Jelita Ostrich, S.S Abraham, pengunjung perlu berhati-hati dengan tendangan burung ini yang kuat iaitu sehingga mencapai ukuran 225kg.
Kekuatan tendangan itu boleh mengoyakkan pintu kereta.
"Istimewanya, otaknya hanya sekitar 40 gram. Namun, haiwan ini didakwa burung yang terbesar, terkuat dan terpantas di dunia.
"Ia juga memiliki sifat penyesuaian yang baik terhadap iklim serta pemakanan yang berbeza," tutur Abraham.
Memiliki kulit yang tebal, tahan lasak dan lembut, burung unta dianggap sebagai haiwan yang paling mewah serta berkualiti.
Malah, kesemua bahagian burung unta ada nilai komersial.
Menurut Abraham, kulitnya sesuai dibuat beg, dompet, kasut dan jaket.
Dagingnya pula sama seperti daging lembu, tinggi kandungan protein serta rendah kolesterol. Telurnya juga berharga tinggi iaitu sekitar RM100 sebiji.

PERLUMBAAN burung unta merupakan salah satu tarikan di Jelita Ostrich.


Cuba sendiri
Katanya lagi, bulunya boleh digunakan sebagai penyapu bulu dalam industri automobil dan komputer sementara bulu yang berwarna putih digunakan dalam industri fesyen.
"Jari kakinya boleh digunakan dalam industri batu permata untuk menghasilkan kilauan malah tendonnya dapat menggantikan tendon manusia yang rosak.
"Selain itu, lemaknya boleh digunakan untuk produk pencuci rambut, minyak urut dan losen," katanya.
Terbukti, burung unta mempunyai senarai kelebihan yang panjang tetapi tidak sempurna rasanya sekadar melawat ladang jika tidak merasai pengalaman menunggang burung yang obses dengan benda-benda berkilat ini.
Seorang guru dari Tapah, Perak, Khairiyatul Muhammad Muridun, 25, memberitahu, beliau menunggang burung itu seperti menunggang seekor kuda.
"Kedua-dua matanya ditutup terlebih dulu supaya ia tidak berasa cemas.
"Selain itu, terdapat kaedah tertentu untuk menunggangnya iaitu penunggang perlu memegang kedua-dua kepak burung itu sambil meregang badan kita ke belakang," katanya.
Cerita Khairiyatul, ramai pekerja ladang itu yang membantu, jadi beliau tidak risau akan keselamatan dirinya.
"Dalam masa kurang seminit, saya telah memperoleh sijil boleh menunggang burung unta. Ini peluang yang tidak harus dilepaskan begitu sahaja," katanya.
Bagi Camelia Mohamed Fazly, 7, beliau tidak menyangka telur burung unta boleh mencecah berat sehingga 1.5kg.
"Sampai lenguh tangan memegangnya tetapi saya tidak tahu yang telur ini tidak akan pecah walaupun dipijak oleh individu seberat 150kg.
"Malah, sebiji telur mampu medimakan oleh 10 orang, cuma harganya agak mahal dan berbau busuk sedikit," katanya.
Mohd. Ezam Abdul Majid, 11, pula hairan melihat burung unta berlumba kerana selama ini dia hanya menyaksikan kuda berlumba.
"Rupa-rupanya burung ini berlari laju. Kalau kita mahu burung itu membelok ke kanan, kita perlu menutup mata kirinya dan begitulah sebaliknya," katanya.
Dia juga kagum dengan kaedah untuk memberhentikan haiwan itu.
"Tengkuk burung ini perlu ditarik ke belakang bagi menyuruh haiwan itu berhenti. Jika tidak dikawal, ia boleh berlari sejauh 10 kilometer tanpa henti.

TELUR burung unta boleh menampung berat 150kg.


Produk
"Jika saya menggunakan burung ini sebagai kenderaan mungkin boleh balik ke kampung di Tapah, Perak," katanya.
Di ladang ini terdapat sebuah litar lumba burung unta yang dikenali sebagai Formula One Ostrich Track. Ia litar pertama seumpamanya di Malaysia.
Burung unta boleh berlari sehingga 70 kilometer sejam. Mungkin disebabkan kehidupannya yang aktif, ia kurang lemak. Bagaimanapun, lemak yang ada banyak manfaatnya.
"Antara produk yang boleh dihasilkan daripada lemak burung unta ialah krim muka, losen tangan, pencuci rambut serta pencuci muka.
"Ada pelanggan yang mendakwa minyak pati burung unta mampu mengatasi keguguran rambut.
"Tapi saya tidak pernah menguji keberkesanannya walaupun rambut saya sendiri kini hampir botak," ujar Abraham berseloroh.
Selain menjual produk burung unta di ladang itu, Abraham turut menjualnya kepada syarikat tertentu.
"Ada banyak aktiviti di ladang ini. Antaranya, menunggang burung unta, memijak telurnya dan bergambar dengan haiwan itu," katanya.
Satu produk baharu yang bakal diperkenalkan di sini ialah inap ladang yang menyerupai program homestay.
"Projek itu meliputi pembinaan calet serta kawasan rekreasi dan perkemahan," jelas Abraham.
Terdapat lebih 50 ekor burung unta di Jelita Ostrich. Jelas Abraham, salah satu keunikan burung unta ialah umurnya boleh mencecah sehingga 80 tahun.
"Harganya pula boleh mencecah RM10,000 seekor," katanya sambil menambah, ladang itu mempunyai tukang sembelih bertauliah dengan kerja penyembelihan dilakukan di dalam ladang berkenaan.

ABRAHAM menunjukkan produk hasil lemak burung unta seperti produk pencuci rambut, minyak urut dan losen.


Bercerita mengenai burung unta, dia menganggap haiwan itu seperti isteri keduanya.
"Tidur pun boleh mengigau burung unta sehingga isteri saya marah. Walaupun kena tendang beberapa kali sehingga badan-badan lebam, saya tidak kisah," cerita Abraham.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: