Monday, November 26, 2012

Masgoof kembali selepas perang


BERIKUTAN keadaan perang yang semakin pulih, permintaan terhadap ikan kap kian meningkat.


BERIKUTAN keadaan perang yang semakin pulih, permintaan terhadap ikan kap kian meningkat.
ABU SHAHAD menguis isi ikan kap panggang menggunakan jarinya dan memasukkannya ke dalam mulutnya. Dia menikmati hidangan kebangsaan Iraq itu yang dinamakan masgoof.
Berikutan keredaan tahap keganasan akibat peperangan di seluruh negara, rakyat Iraq kini kembali menikmati budaya kulinari tempatan yang kian mendapat perhatian meluas.
Sambil berpakaian dishdasha iaitu pakaian tradisional lelaki Arab yang labuh, Abu Shahad terus ghairah menikmati makan malam itu bersama rakan-rakannya.
“Ikan ini adalah sebahagian daripada warisan Baghdad, terutamanya di selatan dan barat Iraq,” katanya.
Walaupun kemelut peperangan masih bersisa, Abu Shahad dan rakan-rakanya yang lain-lain masih berpeluang untuk keluar rumah bagi mengunjungi kafe dan restoran.
“Apabila kami datang ke sini, kami berasa santai,” ujarnya.

BEGINILAH cara ikan kap dibakar untuk memasak menu masgoof di restoran-retoran di sekitar Iraq.


Abu Shahad memberitahu, perjumpaan makan malam mereka adalah sebagai tanda menghormati seorang rakan yang baru sembuh
Hasilnya, industri perikanan dan restoran yang menghidang ikan kap panggang mengalami ledakan permintaan.
“Semasa konflik, kami hanya menjual kurang daripada 10 ekor ikan sehari. Sekarang, kami menghidangkan sekitar 100 ikan sehari,” kata Hashim Murshid, pemilik restoran Khadra, Adhamiyah, utara Baghdad.
Semakin ramai rakyat Iraq yang mula meneroka cita rasa mereka dengan melawat restoran seperti milik Hashim di sepanjang tebing Sungai Tigris yang melalui bandar tersebut.
Senario berkumpul di kedai makan seperti yang dilakukan oleh Abu Shahad sekarang mungkin sukar dibayangkan pada tahun antara 2006 hingga 2008.
Ketika itu, Iraq dicoret dengan sejarah pertumpahan darah yang meragut puluhan ribu nyawa. Rakyatnya hanya akan keluar meninggalkan rumah mereka selepas gelap untuk tujuan yang mendesak.
Abu Shahad memberitahu, perjumpaan makan malam mereka adalah sebagai tanda menghormati seorang rakan yang baru sembuh dari sakit.
“Kini dia telah pulih. Jadi kami memaksanya untuk membelanja kami makan masgoof,” ujar Abu Shahad merujuk kepada restoran Khadra yang selalu berada dalam gelap kerana menjadi mangsa pemotongan elektrik.
Apabila pelanggan tiba di Khadra, mereka memilih ikan kap yang sedia ada di dalam kolam di restoran itu.
Ikan itu dipotong dua dan kemudian disapu perencah iaitu bawang, rempah dan sos tomato. Ia kemudian diletakkan di dalam rak dan dipanggang dalam ketuhar batu.
Pelanggan Khadra dikenakan bayaran sekitar 40,000 dinar (RM101) untuk sehidang masgoof. Harga itu dianggap mahal menurut piawaian restoran Iraq. Itu bermakna, lebih ramai orang memilih untuk membeli ikan di pasar dan memasaknya di rumah.
Mengingati suami
Umm Ahmed ialah salah seorang daripada mereka. Dia lazimnya pergi ke pasar ikan Shawka di tengah-tengah Baghdad untuk memilih ikan.

DUA orang pekerja pusat ternakan ikan di Hilla, Baghdad menangkap ikan kap untuk dijual.


“Saya memasak masgoof sebagai mengingati anak dan suami saya. Mereka terbunuh dalam serangan tiga tahun lalu sewaktu solat Jumaat,” katanya dengan senyuman bercampur kesedihan.
Umm yang memasak ikan kap itu untuk keluarga dan rakan-rakannya memberitahu, dia sering berkunjung ke pasar Shawka kerana harga ikan di situ lebih murah.
Harith Faraj yang berniaga di pasar Shawka bersetuju dengan Umm sambil menunjukkan jualan ikannya yang jauh lebih murah berbanding daging di Iraq.
“Harga sekilo ikan kap ialah 6,500 dinar (RM19). Hari ini, kap adalah makanan yang mampu dibeli semua orang. Beberapa tahun lalu, ia sangat mahal,” katanya sambil menghalau lalat-lalat yang mengerumuni ikannya.
Jatuh harga
Harga pasaran ikan kap jatuh berikutan pembangunan kolam penternakan ikan, sebahagiannya sebagai menangani kesan aliran yang semakin berkurangan di sepanjang dua sungai di Iraq, Tigris dan Euphrates.
Aliran itu berkurangan selepas Turki membina empangan dan kerana saliran sistem paya yang disusun oleh bekas pemimpin, Saddam Hussein.
Pusat ternakan ikan Euphrates terletak berhampiran dengan runtuhan Babel, sekitar 100 kilometer di selatan Baghdad. Pemiliknya, Khudayr Abbas al-Imarah berbangga menyatakan ia sebagai pusat ternakan ikan terbesar di Asia Barat.
Pusat penternakan itu menghasilkan sekitar 1,250 tan ikan kap biasa, kap rumput dan kap perak pada tahun 2011. Jumlah itu meningkat daripada 800 tan semasa kejatuhan rejim Saddam pada tahun 2003.
Imarah menerima bantuan daripada agensi pembangunan dari Amerika Syarikat, USAID, yang melaburkan sejumlah wang kepada pusat ternakan itu melihat peningkatan jualan yang ketara.
“Sewaktu kemuncak keganasan Iraq, kami menghabiskan sejumlah besar wang untuk tujuan menjaga keselamatan.
“Ia bermakna kami mempunyai wang yang sedikit untuk pelaburan. Di atas jalan raya, trak kami terdedah kepada keganasan, tetapi keadaan mula stabil pada tahun 2008,” imbas Imarah.
Sekarang, ikan kap dari pusat ternakan tersebut dijual ke pasar ikan dan terus kepada pelanggan. Ikan diternak dalam tiga buah kolam dan menunggu untuk dipilih pelanggan.
Umm dan anak paling bongsunya sering mengunjungi Pusat Ternakan Ikan Efrat, mencari ikan kap.
“Kami mempunyai tradisi. Setiap hari Rabu, kami akan memasak masgoof. Alhamdulillah, Iraq lebih baik sekarang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: