Sunday, November 25, 2012

Tiga grup rock legenda, satu konsert


LEGENDA rock tanah air dari kiri, Man Kidal, Nash, Mus dan Ramli Sarip bakal bergabung pada 9 Februari 2013 di Stadium Jebat, Melaka.


JARANG sekali tiga grup legenda ini disatukan dalam sebuah konsert yang berskala besar. Ia sekali gus menyaksikan sejarah baharu bakal tercatat dalam satu persembahan konsert yang menjanjikan momen indah buat para peminat muzik tanah air.
Sweet Charity, Lefthanded dan May bakal disatukan dalam sebuah konsert yang diberi nama Konsert Dimensi Rockarisma. Tiga buah grup dengan portfolio dan barisan lagu-lagu malar segar bakal menggegarkan pentas pada 9 Februari tahun depan bertempat di Stadium Jebat, Melaka.
Konsert yang bakal bermula pada pukul 8.30 malam tersebut dibawakan oleh pihak Rockarisma Capital Sdn. Bhd.
Baik Sweet Charity mahu pun Lefthanded dan May adalah tentera-tentera rock yang membikin empayar rock pada tahun 1970-an dan 1980-an. Ia akan mengembalikan ingatan khalayak terhadap zaman kegemilangan rock.
Antara lagu wajib konsert itu ialah Kamelia (Sweet Charity), Semangat Lamina (Lefthanded) dan Sendiri (May). Konsep, nama dan idea untuk penyatuan tiga grup ini dicetuskan oleh Azhar Selamat dari Karisma Johor dengan kerjasama grup-grup tersebut.
Buat Ramli Sarip yang merupakan vokalis Sweet Charity, konsert tersebut merupakan sebuah penghormatan.
"Kami mula bermuzik sejak tahun 1970-an. Kemudian pada pertengahan 1980-an, Lefthanded muncul dengan payung dan pengaruh daripada Sweet Charity. May kemudian muncul dan ini adalah gabungan tiga genre muzik yang berlainan. Kami mempunyai kelainan persembahan yang agak tinggi. Saya rasa teruja dan melihat kesemua grup ini lebih matang dan berjiwa," ujar Ramli Sarip yang menyatakan konsert Rockarisma bakal bergegar dengan lagu-lagu klasik dan terbaik.
Man Kidal, gitaris Lefthanded membuka cerita bahawa sudah 15 tahun grup mereka tidak berdendang di tanah Melaka.
"Dengan produksi yang baik dan konsert yang besar, saya meminta agar peminat-peminat memberi sokongan kepada kami," ujarnya dalam senyum melebar.
"Saya berasa sangat bertuah kerana Lefthanded digandingkan buat julung-julung kalinya dengan Sweet Charity. Ramli Sarip merupakan penerbit buat album-album Lefthanded dan saya rasa ini adalah kolaborasi yang sangat baik," tambah Nash yang merupakan vokalis Lefthanded.
Para peminat boleh mendapatkan tiket dengan menghubungi 03-7880799 atau melayari www.ticketpro.com.my. Tiket berharga RM78 manakala kepada para peminat yang ingin mendapatkan tempahan awal layak mendapat harga promosi sebanyak RM58 sahaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: