Thursday, November 29, 2012

Misi Malaysia masih belum selesai

DARI kiri, Safiq, Safee, Wan Zack dan Khyril masing-masing menyumbang satu gol buat Malaysia ketika menentang Laos pada Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi. Malaysia menang 4-1.


MISI skuad Harimau Malaya masih belum selesai biarpun slot ke separuh akhir kembali terbuka sebaik anak-anak buah Datuk K. Rajagobal membelasah Laos 4-1 dalam aksi Kumpulan B kempen Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Sedar atau tidak, kepantasan jentera serangan Laos yang diterajui Keoviengpheth Lithideth, Soukaphone Vongchiengkham dan Khampheng Sayavutthi ketika melakukan serangan kilat malam tadi juga sering kali 'melemaskan' benteng pertahanan negara yang diterajui Aidil Zafuan Abdul Razak dan Mohamad Fadhli Shas.
Jika aksi kurang meyakinkan itu ditunjukkan Harimau Malaya ketika berdepan Indonesia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Sabtu ini, tidak mustahil 'malapetaka' bakal menanti mereka.
Ini kerana Sang Garuda dilihat memiliki pemain yang jauh lebih pantas seperti Andik Vermansyah dan Oktavianos Maniani seperti mana yang dibuktikan mereka ketika mengejutkan Singapura 1-0 dalam satu lagi aksi kumpulan semalam.
Analisisnya mudah. Harimau Malaya dilihat mudah kehilangan fokus apabila terlalu ghairah menyerang selain mempamerkan persembahan yang 'tidak masuk akal' apabila gagal memecah kebuntuan mahupun ketinggalan.
Pada masa sama, ketumpulan penggempur yang diterajui Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha pada babak pertama juga cukup meresahkan biarpun pertahanan Laos dilihat tidak sehebat mana sebenarnya.
Pada aksi malam tadi, Rajagobal akhirnya 'mendengar kata' para pengkritiknya apabila melakukan sedikit rombakan termasuk mengetepikan bakal 'Raja Sehari', Khairul Fahmi Che Mat yang digantikan Farizal Marlias selaku penjaga gol manakala Mahalli Jasuli, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Mohd. Shakir Shaari juga tersenarai dalam kesebelasan utama.
Percaturan itu pada mulanya dilihat berhasil apabila Harimau Malaya berjaya mempamerkan gerakan yang jauh lebih tersusun berbanding semasa 'dikerjakan' Singapura 0-3 dalam aksi pembuka tirai kumpulan Ahad lalu.
Harimau Malaya terlebih dulu di depan menerusi sepakan percuma kapten, Safiq Rahim yang berjaya melepasi jangkauan penjaga gol Laos, Sengpachan Bounthisanh pada minit ke-15.
Namun, 'penyakit lama' Harimau Malaya kembali berulang apabila kesilapan Safiq melakukan hantaran lemah berjaya disambar Khampheng yang kemudiannya melorongkan bola kepada Khonesavanh Sysomvang sebelum rembatan pemain itu terkena kaki Aidil dan melepasi jangkauan Farizal untuk jaringan penyamaan Laos pada minit ke-38.
Mujurlah keadaan berjaya dikawal semula oleh anak-anak buah Rajagobal sebaik babak kedua bersambung apabila Safee yang sebelum itu dicemuh 20,000 penyokong tempatan, tenang menyempurnakan hantaran Wan Zack pada minit ke-66 untuk gol kedua Harimau Malaya.
Gol itu ternyata menyuntik kembali semangat Harimau Malaya yang memperoleh gol ketiga menerusi Wan Zack pada minit ke-75 sebelum pemain gantian, Khyril Muhymeen Zambri melengkapkan derita Laos menerusi gol keempat empat minit kemudian.
Dengan keputusan itu, Malaysia kini berada di tempat ketiga kumpulan apabila berkongsi tiga mata dengan Singapura, namun dipisahkan menerusi perbezaan jaringan.
Tatkala Singapura dilihat tidak berdepan masalah membenam cabaran Laos pada aksi terakhir kumpulan Sabtu ini, Malaysia sewajarnya sedar hanya kemenangan ke atas Indonesia sahaja yang mampu memastikan peluang mara ke separuh akhir sebelum boleh 'berkira-kira' sama ada mampu mempertahankan kejuaraan ataupun tidak kali ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: