Sunday, November 25, 2012

Akhdan serap aura arwah Achik


AKHDAN dianggotai oleh (dari kiri) Mohd. Azrul Amri, Mohd. Haizudin dan Tajul Arif Noor.


MENDENGAR lagu-lagu nasyid kanak-kanak dendangan kumpulan Akhdan menerusi album pertama mereka yang bertajuk Akhdan: Sejadah Keinsafan segera membuai emosi.
Gabungan suara anak muda berumur 11 dan 13 tahun itu boleh menggetarkan jiwa pendengar apatah lagi mesej ringkas yang dibawakan menerusi lagu-lagu berunsur kerohanian dan alunan zikir.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa vokal Tajul Arif Noor Md. Shari, Mohd. Haizudin Hazad Nazri, Mohd. Zuhair Zakaria dan Mohd. Azrul Amri itu mencapai tahap bagus untuk diedarkan sebagai sebuah album.
Lebih utama lagi, apabila kandungan album itu diamati, ia persis lagu-lagu pop yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Achik Spin seperti Hadirlah Mustika, Memori Berkasih dan Janji Kita.
Lantas, tidak hairanlah jika rencah sama disebatikan untuk membikin album itu kerana salah seorang daripada ahlinya ialah adik kepada Allahyarham Achik Spin iaitu Tajul Arif Noor. Menariknya, album nasyid tersebut mendapat sentuhan kontemporari.
Mewakili Akhdan, pengurus kumpulan itu, Mohd. Yazid Mohd. Ali memberitahu, semangat yang dipersembahkan oleh anak muda tersebut sedikit sebanyak dipinjam daripada semangat Achik yang meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya pada 2010.
"Tajul Arif ialah adik kepada arwah. Potensinya seolah-olah tidak lari jauh dan kadangkala membayangi bakat yang dimiliki arwah," ujar Mohd. Yazid.
Akhdan asaskan oleh Mohd. Yazid bersama Wan Mohd. Zakaria Wan Mohd. Zain dan Zakaria Mahadi yang merupakan guru di sebuah sekolah rendah di Seremban, Negeri Sembilan.
Tajul Arif Noor, 13, memberitahu bahawa album pertama Akhdan itu merupakan tanda apresiasinya terhadap usaha seni arwah abangnya.
"Arwah abang memberi banyak inspirasi kepada saya untuk meneruskan minat dalam bidang nyanyian. Saya memilih nasyid kerana ia boleh memberi kebaikan kepada orang lain dan sebagai penghargaan kepada abang," katanya.
Biarpun masih bergelar pelajar, keempat-empat anak muda itu tidak mengenepikan soal pendidikan. Mereka seboleh-bolehnya akan mengimbangi waktu untuk menyanyi dan menelaah pelajaran.
Mereka sering menerima undangan mengadakan persembahan di sekitar Johor, Melaka dan Negeri Sembilan pada saban minggu, namun tugasan itu tetap tidak mengganggu pelajaran di dalam kelas.
"Kami hanya menyanyi waktu hujung minggu dan cuti sekolah sahaja. Untuk latihan pun apabila ada persembahan terdekat barulah akan giat berlatih.
"Salah seorang ahli kumpulan kami iaitu Mohd. Zuhair kini sedang berada di sekolah berasrama. Jadi apabila dia tiada pelepasan untuk keluar, kami bertiga sahaja akan mengadakan persembahan," kata Mohd. Haizudin, 11, mewakili sahabatnya.
Album pertama tersebut menampilkan lima buah lagu termasuklah Hidup Sementara, Cabaran Hidup, Doa Untuk Ibu, Tirai Malam dan Sejadah Keinsafan. Turut dimuatkan juga lima buah alunan zikir ringkas yang mengasyikkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: