Khadijah atau lebih selesa dengan panggilan Khaty itu bagaimanapun berkata, tidak ada seorang pun daripada mereka yang benar-benar mahu menjadi penyanyi profesional sepertimana dirinya walaupun mereka berbakat.
Mereka, katanya, lebih selesa melakukan kerja-kerja nyanyian di belakang tabir.
"Dalam keluarga saya, hampir kesemuanya berbakat dalam bidang nyanyian tetapi setakat ini, yang benar-benar ke hadapan menjadikan bakat itu sebagai karier profesional, tidak ramai.
"Begitu juga dengan anak-anak saya. Hanya anak sulung saya, Hajar yang mengikuti saya ke mana-mana persembahan yang diundang menjadi penyanyi latar bersama tiga saudara mara yang lain seperti sepupu dan sebagainya tetapi dia adalah antara yang berbakat besar," kata Khaty.
Tambah penyanyi berusia 53 tahun itu lagi, walaupun Hajar enggan 'menjual' bakat suara yang dimilikinya, namun dia tidak pernah memaksa anaknya itu untuk bergelar penyanyi sepenuh masa.
Bagaimanapun, Khaty berkata Hajar tidak keberatan untuk ke pentas sebagai penyanyi undangan bagi persembahan-persembahan tertentu termasuklah seperti yang terbaru, di Konsert Gemilang, yang turut menampilkan Datuk Ahmad Nawab dan Jamal Abdillah 13 Oktober lalu.
"Mungkin ada yang beranggapan Hajar akan menyambung legasi keluarga Ibrahim menjadi penyanyi. Tetapi dia tidak mahu dan saya pula tak akan memaksa walaupun kadang-kadang membuatkan saya tertanya, sebab apa dia enggan menjadi penyanyi profesional sedangkan dia berbakat besar.
"Apa-apapun saya lebih senang bersikap terbuka dengan setiap perkara yang diinginkan oleh anak-anak saya," tuturnya.
Dalam pada itu, Hajar yang memulakan aktiviti nyanyiannya dengan membawakan lagu-lagu nasyid pula memberitahu, walaupun tidak bergelar penyanyi sepenuh masa tetapi dia berbangga kerana dapat membantu ibunya sebagai penyanyi latar.
Malah, bagi ibu kepada dua orang anak itu, menjadi penyanyi latar sebenarnya lebih mencabar daripada penyanyi utama.
"Mungkin ada yang beranggapan menyanyi latar agak mudah, tetapi sebenarnya tidak. Kita perlu sentiasa berjaga-jaga sekiranya seseorang penyanyi itu lupa lirik atau mungkin tersalah menyanyi.
"Antara sebab lain saya enggan menjadi penyanyi juga adalah kerana saya terlalu seronok apabila dapat menjadi penyanyi latar bersama ibu. Kadang-kadang, ibu akan buat kejutan secara tiba-tiba dengan memanggil saya untuk bernyanyi bersama-sama dengannya.
"Risau dengan kejutan ibu, maka saya akan pastikan untuk menghafal kesemua lagu yang akan dibawakan ibu seolah-olah saya yang akan menyanyi di depan bersamanaya," jelas Hajar.
Katty memiliki tiga orang anak iaitu Siti Hajar Aishah, 31, Mohd Khoirul Kamal, 29 dan Johan Rahman, 24.
Selain Hajar, yang mengikuti Khaty memenuhi undangan persembahan, ialah anak lelakinya Johan Rahman.
Johan memiliki kumpulan muziknya sendiri yang dinamakan Johan Rahman & Friends dan sedang mengikuti pengajian dalam bidang perniagaan antarabangsa di Macquarie University, Sydney, Australia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: