|
DINOBATKAN sebagai model lelaki paling berpengaruh oleh majalah Forbes pada tahun 2009, bukanlah permulaan pada penamat kegemilangan karier Sean O’Pry.
Lelaki yang berasal dari pekan kecil, Kennesaw, Georgia, Amerika Syarikat (AS) itu kembali diangkat merangkul gelaran yang sama oleh laman web ternama, Models.com walaupun pengalamannya dalam bidang peragaan masih hijau.
Dalam usia yang baru menginjak 23 tahun, O’Pry dilihat sebagai pesaing paling digeruni dalam industri peragaan dan pernah mengetepikan model tersohor, Baptise Giabiconi dalam perebutan gelaran peragawan paling berpengaruh.
Tuah lelaki berketinggian 185 sentimeter itu bermula sekitar tahun 2006. Tatkala itu, O’Pry masih bergelar pelajar senior di sebuah sekolah tinggi di Kennesaw. Ibunya menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki bernama Nole Marin berhubung gambar O’Pry pada majlis tari-menari tahunan sekolahnya yang dimuat naik pada laman sosial Myspace.
“Dia (Marin) pada awalnya menghantar mesej ringkas kepada saya melalui Myspace dan meminta untuk menghubungi ibu bapa saya. Saya tidak merasakan dia serius.
Apabila pemilik agensi model VNY, Lana Winters Tomzcak sendiri bercakap dengan ibu saya, baru saya tahu ia sesuatu yang serius.
“Selepas berbincang dengan ibu bapa, saya bersetuju untuk mencuba nasib dalam bidang peragaan dan terbang ke New York tidak lama kemudian. Keyakinan saya masih samar-samar dan tidak pasti sama ada saya mampu atau tidak melakukan kerja tersebut.
“Selama tiga hari saya tidak bercakap dengan sesiapa kerana tidak biasa terpisah daripada keluarga dan rakan-rakan. Namun semenjak itu, Winters dan suaminya, Damian menjaga saya seperti anak sendiri,” singkap O’Pry ketika ditemu bual oleh majalah DaMan pada bulan Jun lalu.
Nole Marin merupakan seorang ikon fesyen antarabangsa dan pernah menjadi juri tetap dalam rancangan realiti televisyen popular, America’s Next Top Model di sisi supermodel Tyra Banks.
“O’Pry terbang ke New York dengan beg pakaian yang kecil, tanpa menjangka nasibnya dan kemudiannya menjadi bintang dalam sekelip mata.
“Dalam tempoh tiga hari sahaja, dia telah mengikat kontrak dengan satu jenama besar. Saya telah berada dalam industri ini untuk tempoh yang sangat lama dan tidak pernah melihat sesiapa menerima respons positif sepantas itu,” kata Winters ketika ditemu bual majalah Forbes pada tahun 2009.
Bakat mentah
|
|
Gabungan ketampanan, personaliti lelaki Selatan yang menawan dan bakat mentah yang ditawarkan secara automatik menjadikan O’Pry kegemaran ramai pereka fesyen prolifik dan jurugambar berkelas antarabangsa.
Dalam tahun 2007 sahaja, saat awal berkecimpung sebagai model, O’Pry telah dipilih untuk mengisi pentas peragaan Diesel, Marc Jacobs, Zegna dan banyak lagi. Dia juga pernah bergandingan bersama supermodel Jessica Stam dan menjadi wajah rasmi Calvin Klein dan Gianfranco Ferre.
Setakat tahun ini, jejaka bermata biru itu telah muncul dalam kempen-kempen iklan bagi minyak wangi Viktor & Rolf, Hugo Boss, Ralph Lauren Black Label Denim dan Calvin Klein.
Impak O’Pry turut disedari ratu pop dunia, Madonna yang mendapatkan khidmat lelaki itu bagi menjayakan video muzik baharu beliau, Girls Gone Wild.
Datuk Bandar Kennesaw, Mark Matthews juga pernah menganugerahkan O’Pry Golden Key of Kennesaw sebagai tanda penghargaan atas kejayaannya dalam bidang peragaan.
Warga bandar dengan populasi 29,000 penduduk itu juga berbangga dengan sikap O’Pry yang masih berpegang pada keperibadian orang Selatan dan tidak malu menonjolkan karisma itu dalam kebanyakan temu bual.
Keperibadian
Tidak pernah mengimpikan untuk bergelar seorang model, O’Pry bagaimanapun, tetap bersyukur dengan karier yang dipilihnya meskipun kini jarang mendapat rehat secukupnya.
“Sepanjang enam tahun dalam industri ini, saya dapati dunia fesyen memerlukan kepantasan dan kesabaran yang tinggi. Bayangkan, saya pernah pergi ke 13 negara dalam tempoh satu bulan sahaja tetapi tetap gembira kerana saya tidak dibayar untuk merungut,” jelas anak kedua daripada tiga beradik itu.
Menyandang gelaran model lelaki terhebat langsung tidak memberi erti kepada O’Pry. Menurutnya, segala penghargaan yang diterima tidak wajar dijadikan sandaran untuk bermegah atau menonjolkan sikap jengkel.
Secara umum, masyarakat sudah kerap dilambakkan dengan cerita-cerita negatif model kelas pertama yang bersifat meninggi diri. Namun O’Pry memilih untuk lari daripada stereotaip tersebut dan lebih suka menumpukan pada konsistensi kerjanya.
Kerendahan hati dan kesederhanaan O’Pry membuatkan ramai pihak senang bekerja dengannya, tambahan pula hasil kerja yang diberikan sering melebihi jangkauan asal.
Biarpun memegang profesion model sepenuh masa, penampilan peribadi O’Pry amat ringkas. Dia selesa sekadar berseluar jean bersama baju T dan topi kesayangannya.
“Saya tiada rahsia atau rejim tertentu dalam mengekalkan kecergasan tubuh badan. Ia mungkin didorong sifat aktif dalam diri saya yang tidak gemar duduk diam dan sentiasa mengisi masa dengan sesuatu aktiviti.
“Berkenaan perancangan masa depan pula, sudah tentu saya merancang untuk berkahwin dan mempunyai ramai anak.
“Namun buat waktu ini, saya mahu fokus pada kerjaya dan diri sendiri, jadi, itu bermaksud saya masih solo,” bicaranya lagi yang turut tergelak dengan kenyataan itu.
Ditanyakan mengenai pencapaian terbaiknya setakat ini, O’Pry secara bijak memilih perspektif keluarga terhadap kejayaannya sebagai anugerah terindah.
Sementara itu, O’Pry turut berkongsi pandangannya tentang maskulin. Baginya, maskulin seorang lelaki itu tidak terletak pada luaran malah pada pendirian individu tersebut.
O’Pry berpendapat bahawa ciri maskulin itu menyerlah apabila seseorang lelaki itu menjadi dirinya sendiri dan tidak menjadi sesuatu yang orang lain fikirkan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: