Wednesday, November 28, 2012
Ketabahan anggota PDRM di Timor Leste
TUGASAN ke Timor Leste baru-baru ini memberi peluang kepada penulis meneroka Timor Leste atau sebelum ini dikenali sebagai Timor Timur.
Bagaimanakah agaknya keadaan wilayah berkenaan yang satu ketika dahulu pernah ditimpa pergolakan hebat?
Buat masa ini, terdapat penempatan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk yang turut diwakili pasukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mereka dikenali sebagai pasukan Malaysia Formed Police Unit (Mal-FPU) dan United Nations Police (UNPol) telah melaksanakan tugas di negara tersebut menerusi Misi Pengaman PBB sejak tahun 1999.
Turut mengiringi lawatan tersebut ialah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM Bukit Aman, Datuk Wira Salleh Mat Rasid.
Ia bersempena lawatan kerja beliau ke Timor Leste selain meninjau keadaan anggota di Institut Pentadbiran Awam Nasional (INAP), Dili.
Turut menyertai misi kali ini ialah Timbalan Komander Pasukan Gerakan Udara PDRM, Asisten Komisioner S. Sathiya; pegawai dari Cawangan Istiadat, Jabatan Pengurusan, Superintendan Che Zakaria Othman; juruterbang, Deputi Superintendan, Mohd. Hafizul Mohd. Salleh; pembantu juruterbang, Inspektor Jimmy Roy dan jurutera, Arthur Wong.
Cuaca terik
Keadaan berdebu di negara tersebut langsung tidak menghalang rutin harian pasukan petugas untuk melakukan rondaan sekitar bandar Dili walaupun suhu cuaca terik membawa kehangatan terus ke malam hari.
Pasukan yang terbabit dalam misi keamanan itu tetap ceria dan bersemangat walaupun berada dalam zon berjaga-jaga.
Timor Leste telah mencatat sejarah sebagai sebuah negara baharu yang ke-192 di dunia. Negara itu berada di bawah penjajahan kuasa besar Portugal selama 450 tahun sebelum berada di bawah pemerintahan Indonesia selama 24 tahun.
Dahulu, negara tersebut sering berlaku kekacauan yang berlarutan selama berminggu-minggu ekoran tindakan kumpulan militia pro-Indonesia yang membunuh dan mengacau penduduk yang mahu menuntut kemerdekaan untuk Timor Leste.
Tanggal 20 Mei lalu genap ulang tahun kemerdekaan Timor Leste yang ke-10. Bagaimanapun, keadaan persekitarannya terutama pembangunan masih tidak banyak berubah.
Kedatangan kami hanya beberapa minggu pasca pilihan raya berlangsung. Sepanjang berada di sana, petugas media berpeluang menaiki kereta perisai APC semasa misi rondaan di sekitar kawasan panas di sepanjang Jalan Comoro berhampiran sebuah Balai Adat.
Jalankan tugas
Keadaan jalannya yang gelap dan sunyi-sepi, hanya terbit cahaya dari rumah-rumah penduduk 'mengindahkan' mata malam tersebut.
Sungguhpun begitu anggota pasukan khusus dari Malaysia tetap menjalankan tugas yang diamanahkan dengan komited.
Penempatan penulis dan wartawan tidak jauh dari kem anggota petugas. Hotel Timor antara hotel bertaraf bintang wajar diberi pujian walaupun mempunyai bilangan bilik yang terhad.
Kebetulan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon turut menginap di hotel yang sama selepas menghadiri satu mesyuarat penting di bandar Dili.
Geografi penempatan di Dili tidak pernah sunyi dengan rondaan kenderaan pacuan empat roda anggota pengaman. Bahkan kediaman Setiausaha Negara bagi Bantuan Sosial dan Bencana turut dikawal sepenuhnya oleh angggota pasukan UNPol.
Sebelum kami meninggalkan bandar Dili, penulis disapa oleh seorang penduduk ketika di lapangan terbang yang memperkenalkan dirinya sebagai Andeng Irtiato.
Dengan wajah yang tenang, Andeng melahirkan bahawa dia mengimpikan keamanan di Timor Leste seperti yang dikecapi Malaysia.
"Saya rindu dengan keamanan pak, sekiranya pasti harapan saya untuk negara (Timor Leste) ini serupa macam di negara bapak," luah Andeng.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: