|
NAMA selebriti seperti Waheeda, Yuna, Datuk Siti Nurhaliza dan Datin Norjuma Habib suatu ketika dahulu pernah menjadi fenomena dalam bisnes jualan tudung tanah air.
Sama ada dianggap suatu bentuk penjenamaan ataupun pemasaran, fenomena fesyen itu berjaya mengubah cita rasa wanita bertudung dari semasa ke semasa.
Hari ini, fesyen tudung berkembang dengan begitu luas. Bukan sahaja menggayakan tudung rekaan tempatan, malah wanita Malaysia mampu bergaya dengan rekaan tudung dari negara-negara lain.
Jika dahulu, penggunaan selendang cukup terhad kerana ia sukar untuk diperolehi. Jika ada pun, ia lazimnya dimiliki melalui kiriman daripada ahli keluarga atau rakan yang berkunjung ke Tanah Suci Mekah.
Hari ini, lambakan pelbagai jenis tudung di kedai-kedai sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman di ibu negara mudah ditemui. Pelbagai trend tudung terkini mampu dimiliki dengan mudah.
Transformasi tudung yang dilihat selari dengan cita rasa permintaan semasa dan peralihan gaya menjadikan wanita bertudung mempunyai banyak pilihan. Lebih daripada itu, aspek kreativiti juga terbit dalam kalangan pencetus trend yang menyaksikan mereka tampil unik dengan fesyen tudung masing-masing.
Oleh kerana trend yang datang silih berganti, tidak hairanlah jika gadis seperti Khadijah Sazili, 24, mempunyai lebih daripada 100 helai tudung di dalam almari pakaiannya.
"Sejak kecil, saya memang cenderung kepada fesyen dan kecantikan. Memandangkan saya memakai tudung, maka saya gemar membeli dan bereksperimen dengan gaya dan warna.
"Saya juga gemar mencipta gaya tudung sendiri yang saya rasakan praktikal dan pantas untuk dipakai," ujarnya.
Minat pashmina
Tudung jenis bawal dan pashmina pula merupakan tudung yang paling digemari dan banyak tersimpan di dalam koleksi peribadinya.
|
|
"Apabila saya mengenakan tudung dengan gaya yang saya suka, saya rasa lebih yakin dengan diri saya dan secara automatik ia mampu menjadikan saya lebih ceria serta yakin," katanya.
Walaupun lambakan tudung segera popular seperti Ariani dan Syria sering menjadi pilihan umum, gadis kecil molek itu mempunyai pandangan peribadinya.
"Tidak dinafikan Ariani dan Syria mudah dipakai tetapi saya lebih cenderung kepada pashmina.
"Walaupun ramai yang berpendapat pemakaian tudung lilit mengambil masa yang lama, tetapi tidak bagi saya kerana saya hanya perlukan lima minit untuk melilit pashmina mengikut kreativiti saya," katanya.
Mula mengikuti perkembangan fesyen tudung sejak di bangku sekolah, menurut Khadijah, dia sering menjadikan penyanyi antarabangsa, Yunalis Zarai sebagai sumber inspirasinya memandangkan penyanyi itu selalu menggayakan trend tudung yang cantik dan luar biasa seperti turban.
"Kalau kita tengok, kehadiran selebriti yang bijak berfesyen sekarang ini mampu menarik lebih ramai wanita untuk bertudung dan saya rasa itu satu perkembangan yang positif.
"Walaupun bertudung, ia tidak menghalang mereka untuk berfesyen asalkan ianya tidak berlebihan serta menutup aurat sebagai seorang Muslimah," ujarnya.
Memang kecantikan dan wanita tidak dapat dipisahkan sejak dahulu lagi. Jadi tidak hairan jika mereka sanggup berhabis wang ringgit untuk kelihatan cantik dan menyerlah.
Jika tidakpun, mereka akan 'berteleku' di hadapan almari pakaian selama beberapa jam untuk memilih tudung yang bersesuaian dengan pakaian mereka.
Namun, ia berbeza bagi Norhana Washida Abd. Talib, 24, yang sejak dahulu selesa menggayakan imej tudung yang sama walaupun fesyen tudung di Malaysia telah mengalami pelbagai transformasi.
"Saya memang tidak pernah tukar penampilan saya sebab saya sudah selesa dengan gaya tudung seperti ini.
"Itu bukan bermaksud saya menolak perkembangan fesyen. Cuma fesyen yang ada sekarang ini masih lagi belum dapat memenuhi cita rasa saya," katanya.
Selesa dengan tudung berbidang besar tanpa corak dan berwarna pastel, bagi Norhana, ia sudah menjadi identiti dirinya sejak sekian lama.
"Saya bukan seorang yang cerewet dalam memilih tudung. Cuma saya mahukan yang ringkas dan mudah digunakan untuk aktiviti harian. Paling penting, dapat menutup aurat saya," katanya.
Imej Islam
Jika warna hitam menjadi identiti bertudung bagi wanita di negara Asia Barat seperti Arab Saudi, Jordan dan Syria manakala tudung segera pula menjadi identiti wanita bertudung di Indonesia, wanita Malaysia pula terkenal dengan identiti tudung bawal.
Namun akibat transformasi fesyen yang tersebar di seluruh dunia, mereka kini mampu menggayakan fesyen-fesyen tudung dari negara-negara lain.
Perunding Imej Muslimah, Yasmin Siddik berkata, disebabkan pengaruh yang sangat meluas, wanita kini lebih cenderung untuk mencuba pelbagai jenis fesyen dan tanpa disedari, dalam keghairahan itu, beberapa garis panduan menutup aurat seperti yang ditetapkan Islam telah dilanggar.
"Seperti yang kita tahu, dalam Islam, aurat wanita meliputi semua bahagian tubuh melainkan muka dan tapak tangan yang tidak perlu ditutup.
"Tidak menjadi masalah jika wanita hendak mengikut peredaran fesyen, tetapi mereka harus berhati-hati dan fikir dahulu adakah penampilan yang mereka gayakan itu sesuai sebagai seorang Islam atau tidak," katanya.
Perkataan cantik adalah subjektif pada wanita yang sentiasa mahu bergaya. Namun, penampilan cantik itu seharusnya di jadikan sebagai satu dakwah dan jangan sampai menjadi bahan tontonan umum.
"Dalam Islam itu sendiri ada etika berpakaian yang perlu diikuti. Tidak dinafikan sekarang ini kita ada berjuta-juta warna, corak dan fesyen tudung di pasaran. Tetapi, tidak semua kain yang bernama tudung boleh dipakai.
"Sebagai contoh, apa-apa yang bermotifkan agama lain seperti tanda salib atau motif kuil adalah dilarang sama sekali. Begitu juga dengan corak bahagian tubuh badan manusia, kasut, rantai dan ladam kuda adalah diharamkan pemakaiannya," katanya.
Islam menekankan konsep kesederhanaan iaitu pakaian yang disertakan hiasan berlebihan tidak digalakkan. Ia dikhuatiri akan menarik perhatian kaum Adam seterusnya menimbulkan pesona yang disengajakan.
Hal berlebih-lebihan dalam pemakaian tudung itu dikhuatiri sama sahaja seperti wanita tidak bertudung yang berpakaian menjolok mata, bersolek dan berwangi-wangian secara melampau untuk menarik perhatian ramai, sedangkan fungsi hijab adalah untuk menjaga kehormatan kaum Hawa.
"Sebagai Muslimah, kita kena sedar dan jaga penampilan kita. Ini kerana secara tidak langsung, kita membawa nama Islam melalui pakaian yang kita sarungkan dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki," tambahnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: