Wednesday, November 28, 2012

Sasar genggam sebuah trofi



TAHUN 2012 sememangnya memberikan satu pengalaman yang cukup bermakna buat pelakon muda, Nur Anzalna Md. Nasir atau Anzalna, seorang pelakon baharu yang semakin mendapat perhatian ramai.
Di sebalik populariti dan namanya yang sedang meningkat naik, ternyata populariti yang diraihnya itu berjalan seiring dengan kontroversi yang pernah melanda dirinya dengan seorang rakan pelakon sebelum ini.
Tidak mahu lagi mengungkit sebarang kisah hitam yang pernah dilaluinya, pelakon yang sudah mencecah usia 24 tahun itu kini mahu lebih serius dalam kerjaya lakonannya sekarang.
"Ternyata tahun ini telah memberikan pengalaman yang cukup bermakna buat diri saya sebagai pelakon. Tidak dinafikan ia merupakan sebahagian asam garam yang terpaksa saya lalui apabila menceburi bidang ini.
"Sekarang ini apa yang mampu saya lakukan adalah menjadikan semua peristiwa yang berlaku sebagai pengajaran paling berguna supaya tidak berlaku lagi kesilapan yang sama pada masa akan datang," ujarnya ketika ditemui sewaktu majlis pelancaran filem Kahwin 5 baru-baru ini.
Tegas Anzalna, dia seboleh-bolehnya tidak mahu menjadi popular disebabkan kontroversi, sebaliknya dia ingin dikenali ramai sebagai seorang pelakon yang berkaliber.
Menurutnya, pada tahun hadapan dia berharap kerjayanya akan semakin berkembang, malah sudah bercita-cita untuk merangkul sekurang-kurangnya sebuah trofi.
"Mungkin cita-cita saya ini nampak terlalu tinggi untuk dicapai, tetapi sekiranya saya terus berusaha dan memberikan sepenuh komitmen, tidak mustahil apa yang saya impikan akan tercapai.
"Setelah melalui banyak pengalaman pahit dan manis sepanjang bergelar pelakon, apabila berjaya meraih sebuah trofi yang mengiktiraf bakat lakonan saya sudah tentu ia dapat memberikan kepuasan," ujarnya.
Ditanya tentang perkembangan kariernya sekarang ini, Anzalna memberitahu dia kini sedang sibuk menyertai promosi filem Sepah The Movie yang akan ditayangkan pada 29 November ini.
Selain itu, dia juga bakal menjalani penggambaran sebuah drama bersiri yang bertajuk Maskara sebanyak 13 episod arahan Nizam Zakaria yang akan bermula pada 7 Disember ini.
"Saya mengaku memang agak gementar kerana bakal bergandingan dengan beberapa pelakon hebat lain seperti Lisa Surihani dan Nasha Aziz, namun saya anggap ia merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna apabila berlakon bersama mereka," ujarnya tentang drama tersebut.
Tolak watak antagonis
Mempunyai seraut wajah yang cantik serta tubuh yang menggoda, tidak hairanlah Anzalna sudah acap kali diberikan watak sebagai seorang gadis penggoda atau antagonis.
Menariknya, watak yang dibawakan oleh pelakon tersebut sebagai Dee dalam drama bersiri Adam Dan Hawa turut memberi impak yang tersendiri sehingga dia dikecam oleh segelintir peminat.
"Sejujurnya saya tidak kisah kalau orang mahu mengecam saya kerana watak yang dibawakan dalam sesebuah drama atau filem. Ia membuktikan saya berjaya menjalankan tanggungjawab yang telah diberikan.
"Cuma, saya agak terkilan apabila ada yang menyamakan diri saya seperti watak yang saya lakonkan. Sedangkan karakter saya dalam lakonan dan di luar memang jauh berbeza," tegasnya.
Biarpun mengakui dirinya berasa sangat seronok membawakan watak-watak sebegitu, Anzalna tanpa berselindung menyatakan dia kini sudah mula menolak tawaran yang memerlukan dia membawakan watak yang sama.
Bukan berniat untuk mula selektif terhadap tawaran yang diterima, pelakon itu menjelaskan dia mahu membawakan pelbagai watak yang berlainan supaya tahap lakonannya dapat dipertingkatkan lagi.

ANZALNA akan memulakan penggambaran sebuah drama yang turut dibintangi oleh Nasha Aziz dan Lisa Surihani.


"Sebagai pelakon yang masih lagi baharu, sudah tentu saya tidak mahu terikat dengan satu-satu karakter sahaja. Saya tidak kisah untuk membawakan apa sahaja watak, asalkan bukan watak yang sudah selalu saya pegang sebelum ini," jelasnya.
Bukan merisik
Menyingkap mengenai perkara peribadi pelakon berkenaan, baru-baru ini sudah tersebar cerita Anzalna bakal mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya, Mohamad Hanif Mohamad Zaki dalam tempoh terdekat ini.
Cerita berkenaan tersebar apabila dikatakan keluarganya dan keluarga kekasihnya itu telah bertemu untuk membincangkan dengan lebih serius berkenaan hal perkahwinan mereka berdua.
"Sebenarnya tiada pun pertemuan yang membabitkan kedua-dua belah keluarga kami, sebaliknya cuma saya yang bertemu dengan keluarga Hanif dan tidak dinafikan soal perkahwinan turut dibincangkan.
"Pada mulanya saya agak gementar juga terutama melihatkan ibu Hanif yang kelihatan serius, namun saya sudah menerangkan buat masa terdekat ini saya belum bersedia berumah tangga," jelasnya ketika menceritakan tentang pertemuannya dengan keluarga kekasihnya itu.
Ditanya kenapa masih lagi belum bersedia untuk berkahwin sedangkan mereka sudah lebih setahun bercinta, Anzalna menyatakan dia ingin lebih fokus kepada kerjaya sekarang.
Ujarnya, kekasihnya itu juga baru sahaja mendapat pekerjaan tetap, manakala dia sendiri mahu terus bergiat aktif dalam lakonan memandangkan namanya yang sedang meningkat naik sekarang.
"Saya bernasib baik kerana Hanif dan keluarganya dapat memahami kerjaya saya ini. Apa pun saya tetap sasar untuk berkahwin sebelum usia saya mencecah 26 tahun, namun ia juga bergantung kepada jodoh kami," ujarnya mengakhiri bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: