Sunday, November 25, 2012

Rosyam tak lupa asal usul



UMUM mengenali Rosyam Nor sebagai Remy sejak kemunculan pertamanya dalam filem Gila-Gila Remaja pada tahun 1986. Asalnya lakonan itu sekadar main-main. Hadirnya pun belum benar-benar menangkap mata dan rasa.
Namun itu adalah sebuah langkah bayi untuk ke arah sebuah kejayaan. Tapak mula ke arah sebuah penjenamaan dirinya yang dilihat gah kini.
Setelah 26 tahun, Rosyam Nor, 45, kini menikmati waktu kreativiti dan penghasilan dalam hidupnya.
Dia bukan hanya muncul sebagai seorang aktor Malaysia tetapi jauh daripada itu. Dia tampil sebagai seorang pelakon yang menjadikan namanya satu jenama dalam industri hiburan tanah air.
Lelaki berasal dari Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur itu hanya mampu mengangguk tanda setuju bahawa selebriti perlu ada sebuah penjenamaan.
Rayu ruang, peluang
“Jujurnya seawal tahun 1997 saya sudah meletakkan satu visi iaitu diri dan nama sendiri perlu ada penjenamaan. Bagi saya seseorang itu selepas tumbuh sebagai artis, dia perlu dikilatkan dan sinarnya perlu sampai. Kelibatnya perlu dirasai masyarakat penonton,” luah Rosyam Nor yang juga merupakan penaung Suhan Movies yang sudah bergerak selama 15 tahun.
Dia membuka cerita bahawa satu waktu dahulu, dia tidak malu untuk merayu serta menghadap sutradara popular untuk dibekalkan ruang dan peluang. Itu juga langkah dan strategi seorang Rosyam.

ROSYAM kini memberi tumpuan kepada Anugerah P. Ramlee yang akan diadakan pada 22 hingga 24 Februari mendatang.


“Saya pernah mohon berlakon kepada Datuk Yusof Haslam. Saya mendekati dan bergaul dengan individu yang dapat memberi impak. Awie, Erra Fazira, Ziana Zain saya mohon sewaktu diberi peluang muncul dalam filem Maria Mariana 2. Saya tumpang populariti mereka dan saya pastikan penonton tidak lupakan Rosyam Nor waktu keluar menonton filem tersebut,” sungguh-sungguh Rosyam bercerita strategi penjenamaannya.
“Kemudian saya bertemu Bada dan Rashid Sibir yang memberi peluang kepada saya. Saya muncul dalam drama-drama Rashid Sibir dan filem perdananya, Laila Isabella. Saya tanpa segan memohon mereka untuk peluang itu,” jujur Rosyam bersuara.
Tahun ini dia berlakon pula bawah arahan anak Yusof. Pengarah muda Syamsul Yusof memberinya peluang muncul dalam filem KL Gangster 2. Membawakan watak Tailong, Rosyam mengharapkan magis dalam kemunculannya kali ini setelah melihat impak kepada filem terdahulu.
“Saya berterima kasih kepada Syamsul kerana memberi peluang saya muncul dalam filem yang besar. Saya berikan komitmen sepenuh hati dan harap Syamsul puas hati. Ini peluang saya untuk mengumpulkan para peminat baharu,” ungkap Rosyam yang merasakan Tailong ialah gangster yang kemas dan berperwatakan menarik.
“Jujurnya saya mengharapkan magis pada tahun 2013. Saya menanti sebuah fenomena pada diri dan kerjaya saya. Tahun depan saya ada tiga buah filem bakal ditayangkan iaitu KL Gangster 2, Balistik dan Laga,” ujarnya.
Tidak lupa juga dia muncul kali kedua membawakan watak Razif dalam drama popular Trilogi Cinta 2. Drama yang kini menemui para peminat semula selepas dua minggu tidak bersiaran.
Selang hari dan tahun bergelar selebriti, pelakon yang benar-benar merangkak mencipta jaya dari bawah ini tidak kalah diusik kontroversi. Terbaharu, kisah dia membezakan dua stesen televisyen sewaktu Anugerah Skrin 2012 berlangsung.
Dangkalnya jiwa yang menerima lalu menjatuhkan hukum kononnya Rosyam cetek ilmu agama. Hanya kerana dia menyebut “Nasib baik kita dekat TV3 boleh cuit-cuit, kalau TV Al-Hijrah cuit pun tak boleh.”
Elak watak tua
Rosyam enggan melanjutkan cerita. Cuma katanya dia mengungkapkan hal nyata yang berlaku di dua buah stesen televisyen. Banyak yang menangkap dalam konotasi negatif berbanding sebuah kebaikan.
Lalu penulis bertanyakan soal latah orang kita dalam sesebuah situasi. Baik latah seorang yang berstatus artis atau pemerhati tegar yang bergelar peminat. Dia menarik nafas sebelum menjawab.
“Kalau masyarakat, itu hak mereka kerana artis adalah hak mereka juga. Suka atau tidak, itu perlu diterima. Cuma saya perlu tekankan bahawa personaliti seseorang itu akan terserlah bila mereka melatah atau bersuara. Tahap mana akademik dan pemikiran mereka dapat dikesan dengan reaksi atau jawapan mereka,” senyumnya sinis.
“Berbalik kepada selebriti pula, jujurnya saya lihat media suka apabila artis itu melatah. Baru ada cerita. Ini salah satu cara artis itu buat nama, orang lebih kenal dan impak jadi lebih besar. Ada yang cari kesempatan atas situasi ini,” senyumnya lagi.
Dia tidak kesal atas situasi yang berlaku. Apa yang membuat dirinya kesal apabila diberi gelaran hero tua. Konflik di ASK bukan satu hal yang meninggalkan buah hitam dalam hatinya.
“Saya lebih kesal bila digelar hero tua kerana tiada istilah tersebut. Juga apabila orang mencari pengganti saya sedangkan saya masih hidup. Kalau diperhatikan, saya tidak pernah bawakan watak orang tua. Bukan menidakkan usia tetapi saya mengelak. Saya tidak mahu mulakan,” luahnya yang melihat fenomena aktor luar negara yang diberikan watak matang pada usia lebih 40-an dan bukan ditadahkan karakter orang tua.



Ingat pesan ibu
Satu hal yang dikongsi oleh aktor terkenal ini, dia tidak pernah merasakan dirinya popular apalagi glamor. Tidak pernah disematkan dalam sanubarinya bahawa dia adalah seorang selebriti dengan nama yang cukup besar dalam ladang seni.
“Saya sentiasa letakkan diri saya di bawah. Saya cari naskhah yang baik dan harap magis berlaku dengan perjalanan rezeki Allah. Saya tidak pernah letak Rosyam Nor itu besar. Ya, orang sekeliling yang mungkin membuatkan nama itu jadi besar. Saya tidak pernah lupa diri kerana nikmat itu adalah milik Allah.
“Mak juga pernah pesan supaya jangan pernah lupa asal usul. Dalam bergelar pelakon, saya belajar mendalami kehidupan manusia. Itu pelajaran buat saya. Dalam menjadi selebriti, saya belajar menjadi kuat dan perlu banyak bersyarat. Tidak semua orang sukakan kita,” senyumnya di akhir-akhir perbualan
Sebagai selebriti yang sudah menembus industri, Rosyam sedang menikmati karier. Frekuensi kemunculannya di televisyen dan filem tidak pernah berhenti sejak tahun 1995 hingga kini. Cuma untuk ruang kini, dia mengaku memerlukan istirehat. Penat katanya.
“Selama 26 tahun sibuk berlakon. Ada rasa penat sedikit. Kini masa bersama keluarga. Saya isi semula masa yang ada kini untuk bersama keluarga setelah satu masa lalu ia dicuri kerjaya lakonan. Penat tidak bermaksud berhenti. Cuma saya berehat untuk mengatur hidup. Mungkin orang jadi terlalu muak melihat wajah saya di televisyen atau filem. Biarkanlah mereka bertanya,” senyum bapa kepada lima orang anak ini.
Satu pernyataan lagi diberikan sebelum usai perbualan. Satu pernyataan tentang kehidupan Rosyam.
“Saya sudah berusia 45 tahun. Mati sudah semakin dekat,” ujarnya dalam tenang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: