|
|
BUKAN mudah untuk memastikan rumah sentiasa bersih dan boleh dihuni dengan tenang. Tugas membasuh, mengemas dan mencuci pasti berjalan lancar jika pemilik mempunyai pembantu rumah tetapi ia memerlukan kos yang tinggi.
Kesibukan bekerja dan gaya hidup generasi muda yang tidak lagi gemar membantu ibu bapa mengemas rumah pula menyebabkan keadaan bertambah buruk. Di tengah-tengah kemelut itulah, muncul Procleaners iaitu syarikat yang menyediakan pembantu rumah bergerak.
“Perkhidmatan ini amat diperlukan sekarang susulan masalah kesukaran mendapatkan pembantu rumah,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Procleaners, Nasarudin Abu Hassan.
Procleaners yang ditubuhkan pada beberapa tahun lalu kini mempunyai lebih 100 pekerja. Ia menawarkan perkhidmatan membersih dan mengemas rumah sama ada secara bulanan atau mengikut jam khususnya di sekitar Lembah Klang.
Kotor
“Pakej berkemas yang ditawarkan merangkumi khidmat cuci tandas, mop lantai, cuci tingkap, vakum karpet serta kerja-kerja ringan yang lain kecuali memasak dan mengasuh. Kos perkhidmatan ialah RM60 untuk dua jam.
“Kerja-kerja memotong rumput, mengecat dan memasang paip dilakukan atas permintaan pelanggan dengan bayaran perkhidmatan yang berlainan,” ujar Nasarudin sambil memberitahu, Procleaners turut menyediakan perkhidmatan pencucian untuk majlis kenduri, majlis rumah terbuka dan mencuci rumah baharu.
Untuk memastikan cucian benar-benar bersih, bahan pencuci berbeza digunakan bagi membersihkan lantai, tingkap, cermin dan marmar.
“Kami tidak menggunakan bahan pencuci yang sama untuk semua permukaan. Sebenarnya, tiada kotoran yang tidak boleh dibersihkan kalau kimia pencuci yang betul digunakan.
“Sekiranya pelanggan mahukan perkhidmatan selepas kenduri pada pukul 12 tengah malam, ia boleh diaturkan dengan kos tambahan meliputi bayaran kerja lebih masa dan kos pengangkutan. Pelanggan juga perlu memaklumkan kepada kami sekurang-kurangnya seminggu sebelum tarikh majlis berkenaan,” kata Nasarudin
Pelanggan Procleaners terdiri daripada pemilik pelbagai jenis kediaman daripada rumah flat kos rendah hinggalah banglo mewah.
“Ada juga orang kenamaan yang menggunakan perkhidmatan pembantu rumah bergerak ini,” beritahu beliau.
Nasarudin berkata, ada pelanggan yang sememangnya sudah lama tidak membersihkan rumah mereka dan sanggup hidup dalam keadaan kotor.
Sepanjang terlibat dalam industri itu, beliau pernah berdepan dengan keadaan rumah pelanggan bak tongkang pecah yang bersepah dengan baju-baju bertaburan di sana sini manakala buku, surat khabar dan bungkusan makanan dibiarkan berselerak di atas lantai.
Tandas, cermin tingkap serta sinki dapur pula sangat kotor dan berdaki tebal seolah-olah tidak pernah dibersihkan selama beberapa tahun.
“Keadaan di dalam rumah menggambarkan sikap individu berkenaan sama ada dia seorang yang rajin atau pemalas, pembersih atau pengotor. Bagaimanapun, asalkan mereka sanggup mengeluarkan sedikit wang untuk membersihkan rumah mereka, itu sudah memadai. Saya faham, mereka mungkin sibuk bekerja ataupun mereka sememangnya tidak berkemampuan untuk berkemas secara kerap,” kata Nasarudin.
Cerewet
Beliau juga menceritakan sikap cerewet pelanggan yang menganggap kerja-kerja mencuci sebagai mudah manakala tukang cuci boleh dipanggil pada bila-bila masa yang mereka mahu.
“Kami sering mendapat panggilan daripada pelanggan yang inginkan perkhidmatan kami pada masa itu juga, tetapi kami tidak boleh memenuhi permintaan itu. Kami mempunyai jadual yang sudah diatur lebih awal. Sebaik-baiknya mereka buat temu janji dua hari sebelum tarikh yang dikehendaki,” ujarnya.
Nasarudin menambah, kerja mencuci rumah berbeza daripada membersihkan pejabat kerana setiap gerak-geri pekerja akan diperhatikan oleh tuan rumah yang bimbang mungkin ada barangan mereka yang akan hilang.
“Justeru, kami menasihati mereka supaya menyimpan barangan berharga sebelum kami tiba. Ada juga pelanggan yang menganggap pekerja kami sebagai kuli mereka. Ada pula yang tidak mahu menggunakan mop lantai sebaliknya menyuruh pekerja kami membasuhnya menggunakan tangan kosong.
“Jika ada pelanggan seperti itu, kami tidak akan membekalkan lagi perkhidmatan mengemas kepada mereka pada akan datang,” tuturnya.
Beliau mencadangkan pemilik rumah membersihkan rumah sekurang-kurangnya seminggu sekali. Nasarudin berkata, punca sebenar rumah berselerak disebabkan sikap pemalas rakyat Malaysia. Ini terbukti apabila satu kajian yang pernah disiarkan dalam jurnal saintifik, The Lancet mendapati, Malaysia berada di tangga ke-10 negara paling malas di dunia dengan 61 peratus penduduknya tidak aktif.
“Faktor kebersihan ini adalah subjektif. Ia bergantung kepada individu sama ada hendak menjadi pemalas atau pengotor,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: