Jika Yuna yang digelar ‘singer-songwriter’ semakin melakar nama di pentas antarabangsa, Amerika Syarikat cemerlang menerusi kategori Popstar Award dan Wired Celebrity Award, Zizan pula diangkat peminatnya menerusi kategori Best On Screen Chemsitry Award bersama Johan untuk program Raja Lawak 6 dan Favorite TV Personality Award.
Kemenangan Yuna melalui Popstar Award bukan saja mengulangi kejayaannya tahun lalu, juga menewaskan nama besar seperti Aizat, Hafiz, Datuk Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor dan Najwa Mahiaddin.
Pengiktirafan bagi kategori Wired Celebrity Award yang julung kalinya diperkenalkan di Shout! Awards, dinilai berdasarkan pengaruh selebriti dalam media sosial dan Yuna sememangnya pilihan yang tepat.
Yuna melalui akaun twitternya @yunamusic bukan saja mempunyai jutaan ‘followers’ tetapi juga satu-satunya artis tempatan yang menerima logo ‘verified’ daripada pihak pentadbiran twitter, menandakan dia diiktiraf sebagai artis antarabangsa.
Yuna menerusi kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada penulis berkata, dia menghargai setiap kemenangan yang dimenangi, malah setiap satunya memberi makna yang berbeza-beza.
“Bagi saya setiap kemenangan amat bermakna bagi saya. Perbezaan kemenangan yang dulu, semestinya satu pengalaman yang amat manis kerana ia pengiktirafan terawal saya semenjak berada dalam industri seni.
“Kemenangan sekarang ini saya andaikan sebagai penggerak untuk lebih bekerja keras dalam bidang muzik. Kemenangan sebenarnya bukan mudah untuk diraih kerana peminat di luar sana sentiasa mengharapkan yang terbaik daripada saya.
“Saya tidak melihatnya sebagai satu cabaran saja tetapi juga tanggungjawab dan saya tak akan pernah berhenti melakukan yang terbaik untuk masa depan saya dan industri muzik tempatan.
“Mengenai kemenangan menerusi kategori Wired Celebrity Award pula, walaupun anugerah itu tidak mengkhusus pada muzik tetapi peminat yang mengikuti perkembangan saya menerusi media sosial adalah satu ‘reflection’ kepada kerjaya muzik saya sendiri.
“Jika bukan kerana muzik dan lagu saya, mereka tidak akan mengenali siapa Yuna.
Saya amat berbesar hati dan mendedikasikan anugerah itu buat semua peminat saya,” katanya.
Tidak sekadar membawa pulang dua trofi malam itu, Yuna juga muncul sebagai penyampai anugerah Ultimate Shout! Award di mana anugerah sama pernah dimenanginya tahun lalu.
Bagaimanapun, tahun ini menyaksikan trio adik-beradik, KRU sebagai pemenangnya.
Kejayaan mereka diukur berdasarkan sumbangan selama 20 tahun dalam industri hiburan tanah air.
Lebih bermakna, Yuna tampil dengan persembahan cukup memukau menerusi lagu Lullabies diiringi kumpulan koir cilik dan penyanyi latar dari luar negara.
Pujian harus diberikan kepada Zizan kerana bintang popular itu sanggup bergegas datang selepas selesai beraksi di gelanggang Maharaja Lawak Mega 2.
“Saya jarang muncul dalam produk 8TV. Disebabkan itu, saya terkejut apabila mengetahui yang saya memenangi dua anugerah iaitu Best On-Screen Chemistry dan Best TV Personality Award.
“Apatah lagi, Shout! Awards ini berbeza daripada majlis anugerah hiburan yang lain kerana ia membabitkan golongan ‘urban’ sesuai dengan 8TV sebagai stesen ‘urban’. Sementara saya pula orang kampung (berseloroh)!
“Jadi saya amat terharu kerana kehadiran saya diterima dalam acara ‘urban’ seperti Shout! Awards ini. Penerimaan mereka memperluaskan lagi jalan untuk saya berkarya, sekali gus mendekati pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.
Kejayaan ini akan terus membakar semangat untuk memberikan yang terbaik,” katanya.
Black juga cemerlang pada malam itu apabila kolaborasi pertamanya dengan Malique Too Phat menerusi lagu Teman Pengganti, melayakkan mereka menerima trofi Flava Award yang dulu pernah dimenangi Mizz Nina.
“Saya yakin anugerah ini dimenangi tidak hanya kerana populariti lagu Teman Pengganti tetapi juga pengaruh besar Malique. Walaupun dia sudah lama muncul di khalayak ramai, pengaruhnya cukup kuat dan hebat.
“Saya bertuah menjadi antara artis yang diterima Malique untuk berkolaborasi.
Saya mengharapkan satu hari nanti, Malique akan membuat kemunculan semula kerana saya pasti akan hadir untuk menontonnya,” katanya.
Kumpulan Bunkface pula terus mempertahankan trofi Rockstar Award tiga tahun berturut-turut tanpa tercabar mana-mana artis sejak tahun pertama penganjuran Shout! Awards.
“Kami berasa sangat bersyukur kerana Bunkface masih lagi menjadi pilihan peminat untuk anugerah ini selama tiga tahun berturut-turut. Terima kasih peminat kerana menyokong dan mempercayai karya kami,” ujar Sam.
Massacre Conspiracy yang mendominasi kategori Break Out Award (Best New Act) tidak menyangka kemenangan mereka kerana dari awal, Diandra Arjunaidi disebut-sebut menguasai pencalonan kategori berkenaan.
“Kami tidak menyangka akan menang kerana kami sangka trofi ini milik Diandra.
Kami amat berbangga dan terima kasih kepada peminat yang mengundi,” kata salah seorang anggota kumpulan itu.
Pernah memenuhi undangan membuat persembahan di beberapa negara seperti Kanada dan Indonesia, Massacre Conspiracy khabarnya merancang ‘road tour’ di seluruh Asia Tenggara sekitar Januari ini.
Sementara itu, pelakon jelita Nora Danish yang membuat kemunculan khas menerusi video muzik, Ajari Aku nyanyian Anuar Zain, baru-baru ini, sekali lagi mempertahankan gelaran Hot Chick Award yang dimenanginya tahun lalu.
Robot Transformers memukau!
IMPAK pertama yang dapat dikatakan mengenai Shout! Awards 2012 adalah rekaan pentas, kesan visual serta penataan lampunya bertaraf antarabangsa, malah terbaik kalau dibandingkan dengan mana-mana anugerah tempatan setakat ini.
Meskipun baru masuk tahun ketiga ia dianjurkan, kehebatan pentasnya setaraf majlis anugerah antarabangsa iaitu MTV Awards.
Ia menghidangkan persembahan pembukaan paling ‘grand’ dan memukau dengan kemunculan robot ala Transformers bersama kesan lampu fluorescence dan percikan bunga api selepas kemunculan Altimet, ZE dan Goldfish & Blink.
Seperti tahun sebelumnya, Shout! Awards begitu berani mengetengahkan pendatang baru dalam barisan persembahan. Tahun ini misalnya, menampilkan Go Gerila, Diandra Arjunaidi, Anas, Ila Damia, Liyana Fizy, kumpulan Massacre Conspiracy dan ramai lagi.
Dalam memberi peluang kepada yang baru, yang lama tidak dilupakan. Penonton malam itu dibawa mengimbau kehebatan lagu 90-an yang pernah menjadi fenomena pada satu ketika dulu. Anas menyanyikan lagu Inilah Nasibku nyanyian Nico manakala Ila Damia melontarkan vokal gemersiknya melalui lagu Belaian Jiwa dipopularkan Carefree dan Innuendo.
Menyedari seluruh dunia dilanda deman K-Pop, Shout! Awards kali ini turut menerbangkan khas dua kumpulan K-Pop iaitu Vixx dan Nu’est 1. Ada sebahagian penonton terutama gadis bersorak dan selebihnya terutama lelaki menyambutnya dengan laungan ‘boooooo!’ Mungkin juga ia sekadar usikan nakal kepada peminat gadis yang begitu tergila-gilakan K-Pop.
Menjelang giliran Yuna membuat persembahan, pihak produksi 8TV terlebih dulu memberi 800 belon kepada penonton untuk dilepaskan ke udara. Bagaimanapun, gimik itu tidak menjadi kerana Yuna sendiri terlupa memberikan isyarat kepada penonton lantas belon-belon itu tidak dilepaskan.
Seperkara yang normal dalam sesebuah majlis penganugerahan, apatah lagi dibuat di lokasi terbuka, sebagus manapun ia pasti ada sedikit kekurangan. Antara yang ketara, berlaku berapa kesalahan teknikal. Barangkali kesulitan berlaku ekoran hujan renyai seawal persembahan lagi.
Satu babak pula menyaksikan Atilia, Yasmin Hani dan Sazzy Falak tersilap membacakan keputusan. Bukan salah mereka, tetapi dek gara-gara tertukar sampul surat kategori, sehinggakan keputusan anugerah Favourite TV Show bertukar menjadi Favourite TV Personality.
Secara keseluruhan, acara anugerah yang dikendalikan Hannah, Razif dan Henry Golding ini wajar diberi pujian. Kemunculan Amy Search, Jason Lo, Sharifah Amani dan tiga lagi adik-beradiknya, Marsha Milan Londoh, Sara Ali, Izara Aishah, Siti Saleha, Farid Kamil, Rina Omar dan ramai lagi sebagai penyampai anugerah menambah kehangatan majlis ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: