|
|
KUALA LUMPUR – Pelawak, pengacara dan pelakon popular, Ahmad Nabil Ahmad yang lebih dikenali sebagai Nabil kini bergelar bapa selepas isterinya, Nazirah Ayub, 24, selamat melahirkan anak sulung mereka semalam.
Bayi perempuan yang masih belum diberi nama itu dilahirkan dengan berat 2.67 kilogram pada pukul 8.40 pagi di Klinik Umra, Shah Alam, Selangor.
Menurut Nabil, 29, isterinya yang dikejarkan ke klinik tersebut pada pukul 3 pagi melahirkan anak sulung mereka tiga minggu lebih awal daripada tarikh jangkaan doktor.
“Saya sangat terkejut sebab bayi saya lahir awal tiga minggu. Apa pun saya tidak siapkan lagi kerana sepatutnya saya mula bercuti awal Disember.
“Macam mana pun, sekarang saya sangat gembira dengan kelahiran anak sulung saya. Isteri dan anak saya sihat dan mereka dibenarkan pulang ke rumah pada petang esok (hari ini),” ujar Nabil yang dihubungi Kosmo!.
Nabil yang juga pengacara program Meletop terbitan Astro berkata, beliau masih mencari nama yang sesuai untuk anaknya.
“Nama anak belum ada lagi, saya baru sahaja beli buku tentang nama indah dalam Islam belum habis baca lagi.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada rakan serta peminat yang mendoakan kesihatan isteri dan anak saya,” katanya yang turut berkongsi berita gembira itu di akaun Twitter miliknya.
Nabil dan isterinya melangsungkan perkahwinan pada 30 September 2011 di Masjid Sultan Mizan, Putrajaya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: