Thursday, November 29, 2012
Projek Syurga dalam struktur kubah
DARI jauh, struktur kompleks kubah yang terletak di St. Austell, Cornwall, England amat menarik perhatian sementara di dalamnya pula suasana kedamaian tropika dihidupkan di segenap ruang.
Dibiayai Kesatuan Eropah (EU), lokasi Eden Project atau Projek Syurga itu jauh terpisah dari kekacauan politik blok ekonomi di rantau tersebut.
Ia merupakan salah satu tarikan pelancong terkenal tetapi hanya segelintir yang mengetahui tentang binaan berbentuk buih tersebut yang menjadi 'rumah' untuk sebuah biom.
Biom atau lebih kerap disebut sebagai ekosistem merujuk kepada kelompok haiwan, tumbuhan dan organisma tanah yang hidup dalam iklim sama di kawasan geografi yang luas.
Dibina di atas bekas kawasan tanah liat di daerah barat daya England, tarikan tersebut telah membawa berjuta-juta pelawat setahun bagi menikmati suasana tropika dan flora beriklim sederhana dari seluruh dunia.
Herba dan sitrus
Di ruang Biom Mediterranean, suasananya dilatari bunyi kicauan burung dan aliran sungai. Bau pelbagai herba dan buah-buahan sitrus juga memenuhi udara musim panas di dalamnya, sedangkan di bahagian luar kompleks sangat sejuk dan berkabus pada bulan November ini.
Sementara itu di Biom Hutan Hjan, yang merupakan hutan terbesar di dunia dalam kurungan, sebuah platform kanopi untuk meninjau pemandangan dibina untuk laluan pengunjung. Di ruang itu, kandungan kelembapan mencapai 92 peratus manakala suhu boleh mencecah hingga 45 darjah Celsius.
Berdekatan air terjun, terdapat reban ayam tropika di bawah pokok palma daun kipas yang beropol-ropol. Sementara itu, hujan yang terhasil daripada pemeluwapan turun dari bumbung plastik lut cahaya.
Dibuka pada bulan Mac 2001, Eden Project menerima lebih kurang £30 juta (RM146.54 juta) daripada dana EU. Tanpa duit itu, projek tersebut tentu sukar untuk dijayakan.
"Ia mungkin menjadi projek yang lebih kecil. Sejujurnya, saya tidak menjangka dapat meneruskan projek sebegini besar," kata pengarah pembangunan projek itu, Dan James mengenai projek itu yang dianggarkan mampu merangsang ekonomi sehingga £1.2 bilion (RM5.86 bilion).
Eden Project telah mendapat manfaat daripada dana pembangunan EU. yang mengkategorikan Cornwall, sama seperti Bulgaria, Romania dan selatan Sepanyol sebagai tempat-tempat paling miskin dalam blok 27 negara itu.
Pelaburan itu menampakkan hasil memandangkan projek tersebut menggajikan 500 orang pekerja dan menjana kira-kira 2,000 jawatan kerja sampingan untuk penduduk tempatan.
Pihak Eden Project berharap agar ia terus mendapat biaya EU sepanjang tahun bajet 2014 hingga 2020 untuk pelaburan ruang pameran baharunya, HOW2, yang mempamerkan teknologi mapan.
Belanjawan itu masih belum dipersetujui, namun ia diramal akan menjadi subjek hangat antara para pemimpin EU ketika bersidang di Brussels.
Terletak jauh di pedalaman, Cornwall yang hanya berpopulasi seramai kira-kira 535,000 orang mempunyai pemandangan yang sangat cantik.
Pengangkutan kereta api ke London mengambil masa sehingga lima jam yang mempunyai jarak sejauh lebih kurang sama dengan Dublin atau Paris.
Industri perlombongan bijih timah yang suatu ketika dahulu sangat terkenal tiba-tiba terhenti menyebabkan penduduk Cornwall terdesak untuk meneruskan kehidupan.
Campur tangan
Kemudian, EU campur tangan dengan menyumbangkan dana berperingkat lebih £900 juta (RM4,397 juta) pada tahun 1994.
Faedah-faedah lain yang dinikmati penduduk di situ termasuklah pembinaan Lapangan Terbang Newquay yang merupakan laluan udara bagi menghubungkan London dan Manchester.
Begitu juga dengan restoran milik chef selebriti, Jamie Oliver, Fifteen, yang memberi latihan kulinari kepada remaja yang kurang bernasib baik.
Tidak ketinggalan, kampus pendidikan tinggi Tremough, di Penryn turut dibina.
Tremough menjadi kampus pusat bagi enam buah kolej dan universiti. Ia mempunyai 4,000 orang pelajar.
Sebahagian daripada sumbangan dana Cornwall turut digunakan untuk menyiapkan rangkaian jalur lebar terpantas di kawasan pedalaman terbesar di Eropah itu.
Komuniti pertama yang mendapat sambungan internet adalah pada Januari 2011 dan dijangka meningkat sehingga 80 peratus pada tahun 2014 dengan kelajuan sehingga 100 megabait per saat.
Pengurus program tersebut, Julian Cowans berkata, manfaat sudah boleh dilihat kini dengan banyak syarikat dan penduduk sudah boleh melakukan pelbagai perkara dalam talian berbanding sebelumnya.
"Kami telah keluar daripada masalah serba kekurangan di sini. Perniagaan sektor teknologi maklumat kini boleh bersaing di peringkat global," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: