Sunday, November 25, 2012

Keasyikan irama buluh


SEKUMPULAN pelajar UIAM sedang bermain angklung di universiti itu baru-baru ini.


SAAT memasuki ruang legar Pusat Aktiviti Kebudayaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baru-baru ini, penulis terus disapa gema instrumen muzik yang merdu.
Irama melodi lagu Cindai itu memecah kesunyian malam itu.
Sebaik kaki melangkah masuk ke dalam sebuah bilik, kelihatan sekumpulan pelajar sedang tekun membaca lenggok gerak tangan konduktor.
Mata mereka tertancap pada gerakan tangan pemain yang masing-masing memegang dua hingga tiga unit instrumen.
Jika didengar dari jarak dekat ia seolah-olah bunyi goncangan kayu.
Namun, realitinya, itulah bunyi yang dihasilkan oleh alat muzik yang dikenali sebagai angklung.
Di sinilah tempat seramai 80 ahli Kelab Angklung UIAM menjalani latihan demi latihan saban minggu.
Ditubuhkan pada tahun 2002, pasukan angklung itu mendapat bimbingan tenaga pengajar dari Indonesia, Mochamad Dadang Soleh.
“Di Malaysia ini, muzik angklung yang dimainkan secara berkumpulan hanya ada di sini (UIAM) sahaja,” katanya yang juga guru bahasa Jerman di Sekolah Indonesia Kuala Lumpur.
Sepanjang sembilan tahun mencurahkan ilmu muzik kepada Kelab Angklung UIAM, Mochamad yang lebih mesra disapa ‘bapak’ memberitahu, banyak pencapaian yang membanggakan penah diraih anak didiknya.
Antaranya mewakili Malaysia ke Festival Paduan Angklung 2003 di Bandung, Indonesia.
Malah, pasukan yang terdiri daripada pemain pelbagai latar belakang jurusan pendidikan itu turut tidak menang tangan menerima undangan persembahan daripada pihak luar termasuk membuat persembahan di majlis perkahwinan atau majlis makan malam.
Menurut Dadang, setiap saiz angklung mempunyai nota muzik tersendiri.
“Ia juga menghasilkan tangga nada yang berbeza-beza mengikut ketinggian dan kebesaran buluh,” jelasnya yang sudah menetap selama 20 tahun di Malaysia.
Beliau yang mula mengajar angklung di UIAM pada 2004 itu berkata, muzik angklung boleh dimainkan secara individu atau secara berkumpulan.
“Menjadi kelaziman, mereka yang berbadan besar dan tinggi akan bermain angklung yang mengeluarkan bunyi bernada rendah.
“Ini kerana, angklung bernada rendah bersaiz jauh lebih besar dan memerlukan kekuatan tangan untuk memegangnya,” katanya yang mengakui menjadi kebiasaan pemain lelaki yang akan memegang angklung besar.
Angklung merupakan alat mainan yang sensitif dan agak sukar dijaga.
Ia tidak boleh terdedah dengan air dan cuaca panas bagi mengelakkan buluh mengembang dan merekah.
“Bukan itu sahaja, angklung juga tidak boleh terjatuh. Jika jatuh, tune bunyi akan berubah,” katanya yang memberitahu, angklung terdiri daripada dua hingga empat tiub yang diikat pada rangka yang dikenali sebagai ancak.
Mempunyai pelbagai teknik goncangan seperti ‘centuk’, ’tangkep’ dan ‘nyambung’, muzik angklung boleh dimainkan secara berkumpulan atau perseorangan.
Tanggapan umum berpendapat bahawa alat muzik seperti angklung hanya mampu memainkan lagu-lagu berunsur tradisional adalah tidak benar.
Biarpun diperbuat daripada buluh, paduan goncangan mampu menghasilkan melodi pelbagai genre.
“Muzik angklung ini boleh memainkan lagu berentak pop, balada, dangdut, jazz, irama tradisional dan lain-lain lagi,” katanya.
Bagi presiden kelab, Muhammad Haris Ahmad Fauzi, 24, beliau mengakui bermain angklung memerlukan kerjasama antara satu sama lain.
“Komunikasi antara pemain penting supaya semua nota muzik dimainkan dan tidak ada yang tertinggal.
“Kadang-kadang berlakunya pertindihan nota dalam satu baris melodi, jadi kita kena berbincang sesama sendiri mengenai agihan peranan,” ujar pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Mekatronik itu.
Rakan Haris, Najihah Md. Tahir, 25, yang sudah lima tahun bermain angklung mendakwa bermain angklung menambah kemahirannya bersosial.
Sementara itu, seorang ahli kelab warga Singapura, Nur Fakhriyatuddini, 24, mengakui pada peringkat awal dia agak sukar untuk mengikuti seni muzik angklung.
“Tengok orang main nampak senang, tapi bermain angklung sebenarnya memerlukan kemahiran khusus.
“Kita kena pastikan ia tidak berlanggar antara satu sama lain supaya tak mengganggu bunyi.
“Tangan jadi sakit-sakit kalau tidak biasa. Rasa lenguh sebab kita kena tampung angklung tersebut di lengan,” katanya yang merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Perbandingan Agama.
Seorang lagi pemain angklung di kelab tersebut, Dian Elisatun Nahdhiyah, 21, berkata, dia dan rakan-rakan melepaskan tekanan setelah letih menghadiri kuliah pada siang hari.
“Bunyi alunan muzik angklung ini dapat memberikan ketenangan kepada pendengar.
“Walaupun ia hanyalah satu goncangan buluh, namun unsur bunyi yang terhasil seolah-olah memberikan saya semangat,” kata warga Indonesia yang sudah belajar bermain angklung sejak di bangku sekolah lagi.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: