LENGANG...kawasan inilah yang akan dipenuhi pendatang setiap kali hujung minggu atau cuti umum menjelang malam.
Apa tidaknya, jika berkunjung ke ibu negara terutama di kawasan seperti Jalan Chow Kit, Jalan Bukit Bintang dan sekitar Kompleks Kotaraya dan Central Market, anda seolah-olah berada di luar negara.
Kalau era 1990-an, jolokan ‘Mini Jakarta’ dan ‘Mini Dhaka’ cukup popular bagi menggambarkan kebanjiran warga negara berkenaan untuk mencari rezeki di Malaysia dan kemudian memiliki ‘port’ sendiri, kini pelbagai jolokan lain timbul seperti ‘Mini Dubai’ dan ‘Mini Afrika’ berikutan kehadiran ramai pelancong dari Timur Tengah dan Afrika.
Jalan Bukit Bintang kini seolah-olah sinonim dengan pelancong Arab manakala kelompok warga Afrika pula mudah kelihatan di pinggir ibu kota seperti Ampang, Cheras dan di Nilai, Negeri Sembilan.
Selain pelancong dari rantau berkenaan, Kuala Lumpur boleh dikatakan turut dikunjungi pelancong dari seluruh dunia termasuk dari benua jauh seperti Amerika Selatan.
Trend itu dikesan sejak kerajaan memperkenalkan visa ketibaan (VOA) pada 2006 bagi memudahkan kemasukan pelancong ke negara ini sekali gus merancakkan beberapa sektor terutama pelancongan dan pendidikan.
Sudah resmi manusia, dalam jutaan warga asing ke Malaysia, ada yang baik dan sebaliknya. Ramai yang benar-benar melancong dan belajar tetapi tidak kurang juga yang ‘melencong’ dan terbabit dalam jenayah dan aktiviti persundalan.
Ini terbukti apabila laporan akhbar pada 2009 menunjukkan jumlah warga asing yang tinggal lebih masa menggunakan VOA ialah 75,462 orang atau 28 peratus daripada 271,391 pemegang visa berkenaan, kebanyakan berasal dari India, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka dan China.
Berikutan itu, pada 2010, kerajaan membatalkan VOA dan mengetatkan syarat kemasukan warga asing. Apapun, Malaysia makin dikenali di seluruh dunia dan pelancong tidak putus-putus ke seluruh negara terutama di ibu kota.
Kehadiran warga asing yang tidak diketahui sama ada cara kemasukan ke negara ini sah atau tidak dilihat bukan lagi fenomena luar biasa memandangkan kehadiran mereka dapat dilihat di mana-mana saja di kawasan bandar atau luar bandar.
Kebanjiran mereka yang seolah-olah tidak terkawal ini sudah banyak kali diutarakan pelbagai pihak, peniaga, orang awam ataupun ramai yang berasa terancam di pelbagai segi termasuk sosial, keselamatan dan ekonomi supaya ada pihak tampil mencari penyelesaian.
Bagaimanapun, sehingga kini, kehadiran warga asing ini dilihat bukan berkurangan, malah semakin bertambah dan apa yang boleh dilihat ialah sesetengah warga asing yang menumpang rezeki di negara ini seolah-olah menjadikan negara ini sebagai lubuk rezeki mereka.
Paling ketara, perniagaan yang dijalankan oleh warga asing begitu cepat berkembang sebagai contoh jika dilihat plaza pemborong di Chow Kit, pemborong tuala umpamanya hampir keseluruhannya didominasi warga Pakistan.
Kebanyakan mereka sudah fasih berbahasa Melayu bagi memudahkan urusan jual beli dan komunikasi dilakukan dengan penduduk tempatan yang menjadi sumber rezeki mereka.
Jika di kampung dan taman perumahan, lain pula ceritanya apabila warga Pakistan dilihat dapat hidup senang dengan hanya bermula sebagai penjaja karpet dan beberapa barangan lain yang boleh dibayar secara ansuran.
Mereka juga tidak kekok menetapkan hari tertentu setiap bulan atau setiap minggu untuk berkunjung ke setiap rumah pelanggan bagi mengutip bayaran dan pada masa sama mempromosi produk baru yang dijual.
Cara dan sikap mereka yang mudah mesra dan tidak banyak berkira menyebabkan kehadiran mereka disenangi terutama di kalangan suri rumah dan secara tidak langsung membantu meningkatkan ekonomi si penjual.
Dalam konteks ini, peniaga tempatan boleh dipersalahkan kerana tidak sanggup menjaja sebegitu bagi membolehkan mereka memberikan penawaran harga kepada pelanggan dan biasanya, warga asing yang bermula dengan perniagaan sebegitu akan hilang selepas sekian lama berniaga.
Betapa tidak, mereka kini sudah memiliki gudang atau kedai sendiri seperti yang berlaku di Pasar Borong Selayang, Selangor, sekitar Masjid India, Kuala Lumpur dan Nilai, Negeri Sembilan, dan mereka ini akan menjadi pengedar kepada individu termasuk peniaga tempatan.
Jika kena pada gaya, perkembangan ini secara tidak langsung membawa faedah kepada negara, namun sebaliknya, terutama jika mereka berniaga secara haram, negara akan kerugian kerana tidak dapat memungut hasil daripada mereka.
tolong keluarkan warga asing sebanyak mungkin, kami tidak suka dan tidak selesa dgn kehadiran mereka yang rata-rata membawa keburukan....
ReplyDelete