|
LEBIH 6,000 warga Malaysia mengambil bahagian dalam Larian Terry Fox 2012 yang dianjurkan di Padang Merbok, Kuala Lumpur baru-baru ini. Acara tahunan tersebut diadakan atas sokongan terhadap penyelidikan kanser yang dijalankan di negara ini.
Para peserta tahun ini dilepaskan pada pukul 9 pagi oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Inisiatif Penyelidikan Kanser (CARIF), Tunku Tan Sri Ahmad Tunku Yahaya dan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi untuk Kanada, Douglas Bingeman.
Kesemua individu yang mengambil bahagian perlu menyudahkan laluan 3 kilometer (km) melibatkan berjalan kaki, berlari, kayuhan basikal dan meluncur menggunakan kasut roda. Kategori lebih sukar pula menyaksikan peserta meredahi laluan sepanjang 5km.
"Sekali lagi kami berasa terharu dengan sokongan berterusan yang diterima daripada Larian Terry Fox ini. Ia membawa makna yang besar kepada kami apabila melihat sebahagian komuniti beramai-ramai memperjuangkan inisiatif yang dijalankan yayasan ini," ujar Pengerusi komiti Larian Terry Fox KL 2012, Jo Tan.
Tahun ini, kira-kira 13,00 baju T Larian Terry Fox berjaya dijual sebelum larian dimulakan dan semua hasil jualan tersebut disalurkan terus kepada CARIF. Buat julung-julung kalinya, Larian Terry Fox yang dianjurkan membuka peluang kepada pesakit kanser yang telah pulih daripada penyakit tersebut.
"Kami amat berterima kasih kepada orang awam atas sokongan menakjubkan tahun ini. Setiap derma tidak kira kecil atau besar pasti membawa perubahan dan membantu kami mencari penyelesaian dalam mencegah, mengesan dan merawat kanser pada peringkat awal," jelas Ahmad.
Kutipan amal
Larian Terry Fox merupakan acara kutipan amal satu hari bagi membantu penyelidikan kanser yang terbesar di dunia. Ia diadakan bagi meraikan seorang pesakit kanser muda, Terry Fox dari Kanada yang memulakan Marathon of Hope.
Usaha Fox berlari mengelilingi Kanada bagi membiayai penyelidikan kanser meskipun sebelah kakinya telah dipotong, menjadi aspirasi yang tidak ternilai kepada masyarakat sejagat. Fox menjadi hero dunia apabila berjaya berlari selama 143 hari dengan jarak larian 5,373km. Dia meninggal dunia pada tahun 1981.
Yayasan Terry Fox kemudiannya ditubuhkan pada tahun yang sama bagi meneruskan legasi Fox melalui penganjuran larian setiap tahun. Sejak itu, Larian Terry Fox telah diadakan di lebih 50 buah negara dan berjaya meraih lebih RM1.6 bilion bagi mencari penawar kanser melalui Yayasan Terry Fox.
Seperti yang pernah diungkapkan Fox: "Biarpun saya gagal tiba di garisan penamat, kita perlu memberi peluang yang lain untuk terus berjuang. Ia perlu diteruskan walaupun tanpa saya."
Di Malaysia, Larian Terry Fox telah berjaya mengutip lebih RM1 juta sejak ia dimulakan pada tahun 2001. Tahun lalu, ia menarik lebih 6,000 peserta dengan hasil kutipan mencecah RM161,000.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: