Saturday, November 10, 2012

Dikuasakan oleh VW!




MUNGKIN ramai yang tidak pernah mendengar pengeluar kereta bernama SEAT. Cara sebutan yang betul ialah ‘siyat’ dan bukan seat seperti sebutan bahasa Inggeris.
SEAT berasal dari Sepanyol. Ia merupakan satu-satunya syarikat yang mempunyai kapasiti penuh untuk mereka bentuk, membangun, mengilang dan memasarkan kereta di negara itu.
Lebih menarik, SEAT sebenarnya adalah salah satu jenama yang dinaungi oleh Volkswagen Group (VW). Ibu pejabat SEAT terletak di Martorell, Barcelona. Paling menarik, majoriti produksi kenderaan mereka tidak dijual di dalam negara. Sebaliknya, sebanyak 80 peratus produk dieksport ke 75 buah negara luar.
Pada 2011, penghantaran kenderaan SEAT mencecah 350,000 unit. Antara model-model SEAT ialah Ibiza, Leon, Alhambra, Mii dan Toledo.
Terkini, SEAT melancarkan varian baharu Ibiza CUPRA. Menurut SEAT, Ibiza CUPRA adalah lambang utama jenama itu yang ditonjolkan melalui reka bentuk yang cantik, prestasi tinggi dan teknologi canggih.
Ciri-ciri tersebut dipakejkan dalam model kompak Ibiza CUPRA sebagai sebuah kereta harian. Tetapi pada masa yang sama mempunyai karakter sporty. Boleh dikatakan bahawa model itu ibarat saudara yang berkongsi DNA dengan VW Polo.
Sejarah Ibiza CUPRA sebenarnya bermula sejak 16 tahun lalu apabila nama CUPRA digunakan untuk satu varian istimewa Ibiza. Jentera tersebut dibina bagi meraikan kemenangan SEAT dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) bagi kategori 2.0 liter. Sejak dari itu, varian CUPRA sentiasa dipasarkan untuk model Ibiza dan Leon.

GARISAN bumbung dan badan pada keseluruhan kereta SEAT ini membuatnya kelihatan mantap dan premium.


“Ibiza CUPRA merupakan salah satu daripada ikon jenama SEAT. Reka bentuknya yang cantik dan dinamik pemanduannya memberikan keseronokan sewaktu memandunya.
“Dengan teknologi yang inovatif, kualiti ruang kabin dipertingkatkan, Ibiza CUPRA jelas menjadi indikator kepada aspek kepantasan dan konsistensi pembangunan jenama kami yang berterusan,” kata Presiden SEAT S.A., James Muir.
Berdasarkan kepada laporan agensi berita Newspress, Ibiza CUPRA dikuasakan oleh enjin 1.4 liter TSI yang berupaya menghamburkan kuasa sehingga 180PS dan tork 250Nm. Enjin tersebut sebenarnya adalah milik VW yang terkenal dengan dua kuasa desakan iaitu pengecas turbo dan supercharge serta sistem pancitan terus.
Di atas kertas, masa untuk mencapai 100 kilometer sejam (km/j) dari sifar hanya 6.9 saat dengan kelajuan maksimum 228km/j. Unit kuasa TSI yang canggih mempunyai penggerak bunyi yang mengeluarkan bunyi lebih sporty sewaktu pemandu menguji pemanduan.
Bagi menarik lebih penglibatan pemandu, transmisinya terdiri daripada jenis tujuh kelajuan DSG dengan butang kawalannya diletakkan di belakang stereng.
Kerangka Ibiza CUPRA telah ditala untuk kelincahan dan ketepatan. Ketinggian kereta direndahkan berbanding model standard. Sebagai opsyen, sistem brek AP Performance ditawarkan kepada pemandu yang berminat untuk kuasa pemberhentian yang sepadan dengan kuasa yang dimiliki.
Sistem XDS electronic differential pula bertanggungjawab mengurangkan understeer dan menambah baik pengendalian sewaktu melayan selekoh.
Sistem kestabilan elektronik ESP dan hill start pula merupakan aksesori standard dalam varian Ibiza CUPRA. Harus tahu, model itu telah dianugerahkan penarafan lima bintang dalam ujian pelanggaran Euro NCAP.

EKZOS model ini ditempatkan pada bahagian tengah jentera sekali gus menaikkan imej sportnya.


Naib Presiden Penyelidikan dan Pembangunan SEAT S.A., Dr. Matthias Rabe berkata: “Spontan, kuasa pecutan tinggi, pengendalian lincah, cengkaman yang bagus dan brek responsif adalah ciri-ciri yang dimiliki oleh CUPRA. Ibiza CUPRA adalah contoh yang sempurna bagaimana staf SEAT mengguna pakai semula teknologi terbaharu daripada VW Group.”
Reka bentuk Ibiza CUPRA yang ekspresif boleh dilihat dengan jelas ketika pertama kali melihatnya. Wajah baharunya mempunyai gril lebih lebar serta ruang masukan udara yang jelas bagi menampakkan keteguhan dan prestasi model tersebut.
Lampu hadapan dengan rekaan yang sofistikated pula menunjukkan perincian hasil kualiti kerja SEAT. Tarikan emosi pada luaran Ibiza CUPRA diteruskan pada bahagian dalamannya.
Rekaan dalaman lebih kepada citarasa minimalis dengan kluster yang kemas. Pada stereng terpapar logo CUPRA, manakala tempat duduknya pula mempunyai opsyen dua tona warna kulit sebagai lambang keistimewaan model itu.
Jika diikutkan, SEAT tiada kena mengena pun dengan pasaran tempatan. Malah, sudah banyak kali saya abaikan jenama itu semasa mencari bahan untuk ruangan ini. Setiap kali berita mengenai SEAT keluar saya rasa berat hati untuk tidak menulisnya.
Namun apa yang membuat saya tertarik kali ini adalah rekaannya yang jauh lari daripada VW yang nampak konservatif. Orang kata, isi sama tetapi luarnya saja yang lain.
Boleh jadi juga jika Proton dimiliki oleh Kumpulan VW, strategi sama bakal digunakan. Namun semua itu sudah menjadi sejarah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: