Jozan
Jozan
KUMPULAN ini telah menunjukkan taring di pentas Maharaja Lawak Mega (MLM) 2012, seawal penglibatan mereka pada minggu pertama, 16 November lalu.

Bagaikan sudah diduga, mereka terus menjadi perhatian penonton dan peminat pada minggu kedua.

Mengangkat tema Spoof atau watak dalam sesebuah drama mahupun filem, mereka dilihat berjaya menawan penonton pada malam itu.

Bahkan, kehadiran mereka sekali gus memanaskan pentas MLM pada minggu kedua lalu.

Tidak perlu disangkal lagi, gandingan kedua-dua pelawak ini, Johan Raja Lawak dan Zizan Razak atau lebih dikenali sebagai Jozan begitu menjadi.

Tidak hairanlah apabila mereka berjaya meraih Best On-Screen Chemistry Awards bagi Shout Awards yang berlangsung baru-baru ini.

Menariknya, kerana keserasian dan gandingan hebat mereka, ia turut menyumbang kepada keunggulan mereka yang berjaya kekal di tangga pertama menewaskan 10 peserta lain seperti Boboi, Jambu, Saywho, Sabon, Shiro, The Bandung Jokers, Dadidu, R2, Pimai dan Balas.

Berkongsi kejayaan mereka di minggu kedua, Jozan berkata, tiada apa yang lebih menggembirakan, selain melihat penonton terhibur dengan jenaka yang dipersembahkan.

“Bukan mudah hendak memuaskan hati penonton, jadi apabila mereka ketawa dan berseronok ia adalah satu hadiah dan kepuasan buat kami.

“Apa pun, untuk mengekalkan prestasi ini, kami perlu mencari lebih banyak idea yang segar dan kreatif,” kata mereka.

Bijak main peranan

Mengimbas sejenak persembahan Jozan, keduaduanya dilihat bijak membawa watak masing-masing yang diangkat menerusi filem Anakku Sazali lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang pernah popular satu masa dahulu.

Johan yang terkenal dengan personalitinya meniru gaya seseorang, kelihatan bersahaja dan spontan memainkan peranan Sazali, manakala Zizan pula sungguh versatil menjadi ayah ketika pementasan itu.

Selain itu, mereka turut menyelitkan babak Bawang Putih dan Bawang Merah dan menariknya, ketika adegan ini dilakukan, penonton bersorak dan bertepuk tangan kerana lawak mereka begitu menyerlah dan mencuit hati.

Meski pun Johan mahupun Zizan ada tersasul di atas pentas, namun mereka bijak mengawal situasi.

Ada sahaja lawak spontan mereka terkeluar tanpa diduga.

Menyentuh mengenai perkara ini, jelas Johan dan Zizan, sebagai pelawak mereka perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.

“Adakala kami tersasul, tersalah sebut nama dan terlupa skrip. Tetapi, apabila perkara ini berlaku kami perlu bertindak pantas.

“Sebab itulah, keserasian amat perlu. Jadi apabila salah seorang melakukan kesilapan, seorang lagi akan cuba memainkan peranan sebaiknya,” kata Johan dan Zizan yang sentiasa memastikan persembahan dilakukan mereka mempunyai keunikan yang tersendiri.

Najip puji Joza n

Seperti biasa barisan juri yang didatangkan daripada tiga negara, iaitu Awie dan Lisa Surihani dari Malaysia, Najip Ali dari Singapura dan Wulan Guritno dari Indonesia dilihat memberi komen dengan jujur sekali.

Menurut pengacara yang terkenal menerusi rancangan Asia Bagus, Najip Ali, dia benar-benar terhibur dengan persembahan daripada Johan dan Zizan pada malam itu.

“Sudah lama saya berkecimpung dalam industri ini dan apa mengusik hati saya, komedi yang dibentangkan Jozan begitu mengujakan.

“Mereka berdua sangat menyengat dan berjaya memanaskan pentas MLM ini.

“Saya yakin, mereka mampu pergi lebih jauh sekiranya mampu mengekalkan komedi sebegini.

“Bagaimana pun, nasihat saya, mereka juga perlu berhati-hati supaya tidak terlalu selesa dengan kedudukan mereka kini,” katanya.

Persembaha n hambar!

Selain Jozan, antara peserta yang wajar diberikan pujian termasuklah Jambu, Boboi, Shiro, Saywho dan Sabon.

Meskipun ada di antara kumpulan ini kurang  menyengat persembahan mereka, namun masih boleh diterima kerana masing-masing menunjukkan peningkatan berbanding minggu lalu.

Pun begitu, bagi kumpulan Balas, Pimai, The Bandung Jokers, Dadidu dan R2, masing-masing hambar dan agak membosankan.

Sama ada kekeringan idea, lawak mereka juga tidak mempunyai sebarang makna.

Lebih mengecewakan, gandingan pelawak senior seperti Pimai dan Dadidu dilihat tidak menjadi dan begitu hambar.

Apa pun, diharap kumpulan-kumpulan ini berjaya melakukan perubahan yang lebih baik sebelum penyingkiran dilakukan dua minggu lagi.

Awie berpuas hati

SEMENTARA itu, penyanyi rock terkenal, Awie, secara keseluruhannya, dia amat berpuas hati dengan persembahan peserta pada minggu kedua.

“Jika minggu lalu mereka sekadar memanaskan badan masing-masing, minggu kedua ini mereka mula menunjukkan persaingan antara satu sama lain.

“Saya yakin jika diteruskan semangat dan usaha mereka, persembahan pasti menjadi lebih baik. Yang penting setiap kesalahan yang dilakukan, perlu diperbaiki pada minggu seterusnya,” katanya.

Jelas Awie lagi, sebelum proses penyingkiran bermula, dia berharap peserta dapat menjadi lebih kreatif lagi dalam membuat persembahan masing-masing.