Wednesday, November 28, 2012

"Pelakon Tidak Sekat Rezeki Penggiat Teater" - Fizo Omar

Fizo Omar memegang watak Ali Baba bergambar selepas majlis sidang akhbar teater Ali Baba di Istana Budaya pada Selasa.
KUALA LUMPUR: Pelakon kacak Fizo Omar berharap tiada pihak memberi tanggapan negatif terhadap artis popular kononnya telah menyekat periuk nasi penggiat teater apabila mendapat sesebuah tawaran berlakon di pentas itu.
Fizo, 27, berkata, perkara itu sepatutnya dilihat secara positif apabila sesebuah produksi mengambil konsep memilih artis-artis popular sebagai peneraju utama dalam teater yang dianjurkan.
"Saya harap tiada yang memberi tanggapan pelakon-pelakon popular telah menyekat rezeki penggiat teater. Itu tidak benar.
"Kami hanya menjalankan tugas sahaja. Dan apa salahnya jika perkara ini diambil secara positif?
"Kita kena faham dalam industri hiburan tempatan, populariti amat penting dalam menarik perhatian penonton untuk datang menyaksikan pementasan yang diadakan," katanya.
Tunggak utamA teater Ali Baba dari kiri, Pengarah persembahan Lokman Ab Ghani, Fizo Omar, Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk Mohamed Juhari Shaarani, Aznil Nawawi dan Pengarah muzik Rosli Abu Bakar selain beberapa orang yang terlibat dalam pementasan itu.
Fizo ditemui pada majlis pelancaran teater muzikal Ali Baba di Istana Budaya, dekat sini, Selasa.
Tambah pelakon itu, populariti juga amat penting kerana ia lebih bersifat perniaagan dan sekiranya tiada selebriti popular membintangi teater yang dianjurkan, berkemungkinan besar ia bakal mengalami kerugian kerana ketiadaan penonton.
"Saya bukan nak bercakap besar atau merendahkan sesiapa, tetapi industri seni hiburan merupakan sebuah perniagaan yang mana ia juga mempunyai kaitan dengan populariti.
"Jika ingin kekal dalam industri mereka perlulah berusaha daripada segi menjaga kualiti lakonan dan menaikkan nama serentak," tuturnya.
Sementara itu, Fizo menggalas peranan utama sebagai Ali Baba dalam teater itu yang akan dipentaskan pada 21 hingga 29 Disember depan di Panggung Sari, Istana Budaya.
Aznil Nawawi bergandingan dengan Fizo yang memegang watak sebagai ketua penyamun untuk pementasan teater yang bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 21 hingga 29 December 2012 nanti.
Menarik lagi, teater tersebut turut menampil pengacara tersohor, Aznil Nawawi sebagai ketua penyangak dan pelakon Elfira Lo (Marjinah).
"Ini merupakan pementasan kanak-kanak pertama saya selepas teater Siti Di Alam Fantasi. Rasa tak sabar pula ingin bekerjasama dengan Aznil dan Elfira.
"Saya percaya penonton terutamanya kanak-kanak akan terhibur dengan teater ini," katanya.
Tiket pementasan teater muzikal Ali Baba yang berharga RM30, RM50, RM70 dan RM100 boleh ditempah menerusi talian box office iaitu 03-40265558 atau layari www.ticket2u.biz.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: