|
|
GARA-GARA terlalu sayangkan ‘kekasih’ terlarang, Firdaus sanggup berhabis ratusan ribu ringgit bagi memenuhi kehendak insan yang dicintainya.
Dia yang sudah empat tahun memegang status duda, hidup bagaikan sepasang suami isteri bersama ‘anak ikan’ yang dibelanya sejak empat tahun lalu.
Segala kemahuan kekasihnya, Amran, 28, akan dipenuhi.
Bukan sahaja diberikan duit poket dan pakaian berjenama, malah Amran dibelikan sebuah rumah dan kereta mewah.
“Saya belikan dia sebuah apartmen dan dua buah kereta, satu model BMW dan satu lagi Toyota Caldina.
“Dia tidak bekerja pun. Jika saya pergi kerja, dia duduk di rumah sahaja. Semua makan dan minum dia saya yang tanggung,” ujar Firdaus.
Lebih bertuah, lelaki berusia lewat 40-an itu turut memberikan Amran RM2,000 setiap bulan sebagai duit poket.
Amran yang dahulunya hanyalah seorang budak kampung yang berhijrah ke Kuala Lumpur demi mencari pekerjaan kini mampu bersenang-lenang tanpa perlu bekerja.
“Dalam setahun, saya mesti bawa dia pergi melancong ke luar negara antara empat hingga lima kali.
“Antara tempat yang pernah kami lawati termasuklah Bali, London, Switzerland, Paris, Bangkok, New Zealand, Hong Kong dan Sepanyol,” kata Firdaus yang pernah berkahwin tetapi bercerai pada tahun 2010. Dia tidak dikurniakan zuriat.
Ceraikan isteri
Firdaus mengakui anak ikannya itu punca dia bercerai dengan isteri yang dikahwininya pada tahun 2001.
“Saya berkahwin pun sebab terpaksa. Semuanya telah diatur oleh pihak keluarga. Lepas berkahwin, saya jarang balik ke rumah.
“Saya selalu memberikan alasan mempunyai urusan kerja hingga lewat malam dan kena pergi bertugas di luar daerah.
“Sehinggalah satu masa, isteri minta cerai apabila dapat tahu perkara sebenar,” ujar Firdaus yang enggan menceritakan lebih lanjut mengenai kisah rumah tangganya dahulu.
Bagaimanapun, kata Firdaus sebelum Amran hadir dalam hidupnya, dia juga pernah ‘membela’ seorang lelaki muda, namun hubungan mereka tidak berpanjangan.
Menceritakan semula detik perkenalan bersama Amran, Firdaus memberitahu, dia bertemu lelaki itu buat pertama kali menerusi satu program rancangan televisyen.
Pada ketika itu, dia yang terlibat dengan kerja penerbitan program salah sebuah stesen televisyen tempatan terserempak dengan Amran yang hadir sama dalam satu sesi rakaman program.
“Pada masa itu, Amran datang mengikut kenalannya yang merupakan seorang jurusolek artis untuk program kendalian saya.
“Saya yang tertarik dengan ketampanan Amran, terus ambil peluang untuk berkenalan dengannya dan bertukar-tukar nombor telefon,” kata Firdaus yang memiliki perniagaannya sendiri.
Dari saat itu hubungan Firdaus dan Amran semakin intim.
Bermula dengan ajakan keluar minum melepak, kini pasangan yang berasal dari kampung yang sama di selatan tanah air itu tinggal sebumbung.
“Keluarga saya di kampung pun sudah tahu mengenai hubungan saya dengan dia (Amran). Tapi mereka macam sudah tidak boleh nak cakap apa lagi.
“Keluarga marah dengan apa yang telah saya lakukan, tapi entahlah, saya jenis ikut kepala sendiri,” ujar Firdaus yang pernah merajuk tidak mahu balik ke kampung selama berbulan-bulan setelah ditentang oleh ahli keluarganya.
Umpan BMW
Menjalani kehidupan homoseksual lebih empat tahun memuatkan Firdaus yakin dia mampu ‘mengikat’ Amran dengan limpahan wang ringgit dan kemewahan.
Namun, nyata percaturan anak kelahiran Muar, Johor itu silap.
“Dalam enam bulan lepas, Amran semakin berubah. Dia selalu bergayut di telefon. Kalau bercakap di telefon mesti jauh-jauh seolah-olah tak mahu bagi saya dengar,” ceritanya.
Daripada insiden itu, Firdaus mula mengesyaki bahawa Amran mungkin mempunyai teman istimewa selain dirinya.
Gerak hati Firdaus itu dikuatkan lagi dengan tindakan Amran yang semakin kerap keluar rumah pada waktu malam.
“Akhirnya, saya diberitahu, dia bakal bernikah dengan gadis pilihannya bulan depan.
“Tidak tahu bagaimana nak gambarkan kekecewaan saya. Peritnya bila dapat tahu berita tersebut,” ujar Firdaus.
Walaupun tahu cinta yang tiada penghujungnya itu telah dikhianati, Firdaus tetap berharap Amran setia kepadanya.
“Sampai sekarang ini pun saya masih lagi layan dia dengan baik. Saya tolong dia edarkan kad kahwin kepada kenalannya.
“Entahlah, kalau difikirkan balik, tindakan saya ini macam tidak berbaloi. Kawan-kawan rapat saya pun pernah beri nasihat untuk tidak terlalu melebih-lebih.
“Tapi, mungkin kerana saya terlalu sayangkan dia sampai sanggup lakukan apa sahaja walaupun berhabis duit,” jelas Firdaus yang akan pergi membawa diri ke luar negara ketika majlis perkahwinan ‘kekasihnya’ itu pertengahan bulan depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: