Saturday, November 10, 2012

Kempen MBG Fruity Dance


ANAK-ANAK perlu dilatih untuk meminati aktiviti fizikal yang menyeronokkan. - Gambar hiasan


SEMPENA merayakan Hari Kanak-Kanak Malaysia, syarikat MBG Fruits Sdn. Bhd. (MBG) melancarkan kempen MBG Fruity Dance (Tarian Buah MBG) untuk menggalakkan kanak-kanak berasa gembira dan menjaga kesihatan menerusi penyertaan dalam aktiviti fizikal yang menyeronokkan.
Ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka ke kedai MBG di Jaya 33, Plaza Masalam, Wangsa Walk Mall, Paradigm Mall, Tropicana City Mall, The Curve dan Sunway Giza Mall pada setiap Sabtu dan Ahad, pukul 3 petang untuk menyertai Fruity Dance selama 15 minit.
Selepas menari, setiap peserta akan menerima jus buah-buahan MBG secara percuma.
Kempen MBG Fruity Dance merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat tahunan Kesihatan Adalah Kekayaan untuk menggalakkan gaya hidup sihat.
Pada tahun ini, kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak menjadi tumpuan.
Menurut Pengarah Urusan MBG, Adnan Lee, kempen tersebut bertujuan menangani isu kanak-kanak zaman sekarang yang lebih gemar menonton televisyen dan leka dengan permainan dunia siber serta alat elektronik. Tabiat itu menyebabkan mereka lebih banyak duduk dan tidak berminat dengan aktiviti luar.
Aktiviti fizikal
"Kanak-kanak perlu melakukan aktiviti fizikal yang menyeronokkan kerana kanak-kanak yang aktif kurang terlibat dalam perbuatan merokok, penyalahgunaan dadah, kegiatan jenayah atau kegiatan sosial yang meruntuhkan moral," kata Adnan.
Menurut Penguasa Malaysian Child Resource Institute dan pakar asuhan kanak-kanak, Ruth Liew, aktiviti fizikal memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menjadi aktif, merasa seronok, gembira, sihat dan memperlihatkan ekspresi diri.
Ketika merasmikan pelancaran kempen MBG Fruity Dance, Ruth menyifatkan kempen tersebut sebagai contoh yang baik kerana kanak-kanak boleh bergembira, melakukan aktiviti fizikal bersama kanak-kanak lain dan pada masa yang sama bersantai bersama ibu bapa mereka.
"Kanak-kanak yang tidak aktif boleh menjadi penakut, kurang menonjol, membosankan, kurang keupayaan untuk memperlihatkan ekspresi diri atau berkomunikasi, kurang proaktif dan kurang keyakinan diri," jelas Ruth.
Tabiat makan
Menurut Garis Panduan Aktiviti Fizikal bagi masyarakat Amerika, kanak-kanak dan remaja patut melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 60 minit setiap hari.
Garis panduan itu mencadangkan aktiviti fizikal kanak-kanak seperti aktiviti aerobik dilakukan secara sederhana hingga berat, senaman untuk menguatkan otot dan tulang seperti berjalan, menunggang basikal, berenang, berjoging, menari, berkebun dan banyak lagi aktiviti, sama ada secara berkumpulan atau individu.
Apabila digabungkan dengan tabiat makan yang sihat, aktiviti fizikal boleh membantu mencegah penyakit kronik, termasuk sakit jantung, kanser dan strok yang menjadi tiga punca utama kematian di Malaysia.
Faktor-faktor risiko bagi penyakit-penyakit itu boleh bermula awal pada usia muda tetapi boleh dielakkan dengan mengamalkan tabiat makan yang sihat dan melakukan aktiviti fizikal secara tetap.
Obesiti telah menjadi isu kesihatan yang semakin membimbangkan berpunca daripada gaya hidup tidak aktif.
Perangkaan daripada Tinjau Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Malaysia pada 2006 menunjukkan bahawa 43 peratus daripada rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan atau obes.
Bilangan orang dewasa yang obes juga didapati meningkat tiga kali ganda dalam tempoh sedekad.
Selain daripada itu, kira-kira 38 peratus remaja berumur antara 12 dan 18 tahun boleh dikatakan mempunyai berat badan berlebihan.
Hasil penyelidikan juga mendapati bahawa aktiviti fizikal dapat membantu kesihatan mental, dengan melegakan gejala tekanan dan kebimbangan serta meningkatkan keyakinan diri.
Di samping itu, beberapa kajian lain menunjukkan bahawa aktiviti fizikal berhubung kait dengan peningkatan pencapaian akademik dan membantu membaiki kemahiran untuk memberi tumpuan.
"Pengambilan buah-buahan seperti buah delima, avokado dan strawberi yang kaya dengan antioksidan dan nutrien baik untuk perkembangan otak kanak-kanak," kata Ruth.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: