Saturday, November 10, 2012

Beri peluang kedua insafi dosa berganda


RAMAI bayi yang dibuang dirawat oleh petugas perubatan di hospital sebelum dihantar ke rumah kebajikan. - Gambar hiasan


SEJAK akhir-akhir ini, kes pembuangan bayi luar nikah khususnya dalam kalangan remaja semakin membimbangkan, malah lebih menyedihkan apabila bayi tidak berdosa telah dibunuh dalam keadaan yang sangat menyayat hati.
Dalam kebanyakan kes yang berlaku, ia selalunya melibatkan ibu muda. Walaupun kesilapan dan dosa tersebut dilakukan bersama teman lelaki mereka, pada akhirnya ibu muda itu yang menanggung akibat. Lebih teruk apabila dia disabitkan dengan kesalahan membunuh.
Tatkala bercinta, biasanya manusia akan mengungkapkan segala kata-kata manis. Manusia sanggup berkorban apa sahaja, termasuk berenang di lautan api.
Hakikatnya, tidak semua percintaan akan berakhir dengan keadaan indah seperti yang digambarkan. Tidak ramai yang akan sanggup berkorban, khususnya apabila berdepan dengan situasi sukar yang melibatkan maruah dan harga diri.
Pada saat genting seperti ini, biasanya gadis akan ditinggalkan dan dibiarkan memikul tanggungjawab berat tersebut sendirian.
Adakah pembuangan bayi ini berlaku kerana perbezaan emosi yang terjadi antara lelaki dan wanita?
Mudah malu
Kajian-kajian secara jelas menunjukkan bahawa wanita biasanya lebih mudah mengalami kesedihan, ketakutan, malu dan rasa bersalah.
Emosi ini terjadi dalam keadaan apabila mereka menghadapi keadaan tertekan yang biasa.
Sudah pasti, apabila mereka menghadapi situasi yang lebih sukar, misalnya hamil anak luar nikah yang melibatkan maruah keluarga dan dosa di sisi agama, mereka akan menghadapi rasa bersalah yang lebih besar.
Wanita juga didapati lebih cenderung untuk mengalami kemurungan. Sebab itu, kita dapati bahawa dalam banyak keadaan, anak-anak gadis ini menjadi mangsa manipulasi teman lelaki mereka, khususnya setelah mereka didapati hamil anak luar nikah.
Emosi mereka yang cepat tertekan dan berasa bersalah itu akan cenderung untuk tindakan seterusnya iaitu menutup dosa dengan melakukan dosa yang lain.
Kejahatan zina yang sebelum ini telah dilakukan mungkin dapat dilupakan dengan bertaubat dan kembali ke pangkuan keluarga. Kini, ia ditambah dengan dosa lain yang boleh menyebabkan mereka ke tali gantung atau meringkuk di penjara.
Lebih malang, teman lelakinya pula akan mengambil jalan mudah dengan tidak mahu mengaku bahawa anak yang dikandung itu ialah anaknya. Mereka juga boleh meloloskan diri kerana mungkin mereka yang membuang bayi tersebut.
Maka pada akhirnya, apakah ini yang dikatakan percintaan? Apabila ada pasangan yang hanya sanggup berkongsi saat indah, tetapi melarikan diri apabila ditimpa musibah. Sebab itulah, anak-anak gadis kita harus berhati-hati. Jangan sesekali terpedaya dengan janji manis si teman lelaki.
Anak gadis yang melalui proses kehamilan luar nikah ini juga biasanya berdepan dengan tekanan yang lebih teruk, iaitu apabila keluarga dan masyarakat akan melakukan penolakan terhadap mereka.
Dalam konteks masyarakat kita, bahkan di kebanyakan negara Timur didapati bahawa keluarga dianggap sebagai elemen yang sangat utama.
Orang sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan maruah keluarga tidak tercalar, khususnya dalam hal yang boleh memberikan malu kepada maruah keluarga.
Buang bayi
Oleh hal yang demikian, ada yang sanggup membuang bayi mereka yang baru dilahirkan. Tatkala mereka belum sempat untuk bertaubat dari dosa yang lama, mereka telah menambah dosa yang satu lagi.
Khusus kepada keluarga dan ibu bapa yang menghadapi situasi seperti ini, kita sepatutnya dapat menerima hakikat bahawa anak remaja kita mungkin telah melakukan dosa.
Bagaimanapun, jangan sesekali menyisihkan mereka, kerana pada akhirnya ia akan hanya menyebabkan perkara yang lebih buruk terjadi.
Lebih baik sekiranya anak-anak gadis ini diberikan sokongan. Ia bukanlah bermakna kita menyokong 'aib' yang telah mereka lakukan, tetapi tindakan kita mungkin mampu menghindar aib yang lebih buruk.
Sekalipun kita mungkin terpaksa berdepan malu dan tohmahan masyarakat, pada akhirnya orang akan melupakannya selepas itu.
Ibu muda yang hamil tersebut boleh dihantar ke rumah jagaan tertentu atau diletakkan di bawah jagaan agensi tertentu.
Setelah bayi yang mereka kandung lahir, mereka boleh memilih sama ada untuk menjaga bayi itu sendiri atau diserahkan kepada keluarga angkat.
Bagaimanapun, biasanya jalan terbaik ialah dengan menyerahkan kepada pihak lain. Sekurang-kurangnya, ibu muda ini mampu menempuh hidup baharu dan melupakan kisah silam mereka.
Sekurang-kurangnya, dengan cara ini, mereka masih mempunyai ruang untuk pulang ke pangkuan agama dan tidak menghabiskan sisa hidup mereka di penjara kerana melakukan jenayah bunuh.
Percayalah, tidak ada sesiapapun antara kita yang mahu melalui jalan yang sukar seperti itu. Terus mengeji ibu muda ini mungkin tidak akan mengubah apa-apa.
Sesekali kita berkata bahawa mereka mungkin manusia yang teruk dan menjijikkan. Bagaimanapun, kita tidak tahu apa pula yang bakal terjadi kepada diri kita pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: