Setiap umat Islam yang menunaikan ibadat haji atau umrah pasti akan
berdoa di dalam Masjidil Haram dan menadah tangan di hadapan Kaabah bagi
memohon hajat yang terpendam.
Bagi orang bujang, tentulah mereka akan berdoa agar bertemu jodoh yang sesuai.
Begitulah juga pensyarah kanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK),
Dr. Nawi @ Mohd Nawi Ismail, 44, seorang insan istimewa yang tidak
pernah membiarkan kekurangan diri sebagai penghalang beliau mencapai
cita-cita.
Beliau yang rabun mata kronik akibat masalah selaput mata sejak
kecil, selain cacat jari tangan dan mempunyai kaki kiri yang hanya
sampai ke paras lutut, amat berharap dikurniakan seorang wanita solehah
yang sempurna fizikal sebagai pasangan hidup.
Sebagai hamba Allah yang taat, beliau sedar bahawa doa adalah senjata
ampuh orang mukmin. Justeru, tidak hairanlah apabila beliau tekad
menunaikan haji pada April 1996 dan kemudian umrah pada Disember tahun
yang sama untuk meraih peluang berdoa di hadapan Kaabah.
"Ketika itu, saya sedang mengikuti program pengajian ijazah pertama
di Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang Usuluddin, Akidah dan
Falsafah.
"Saya berdoa kepada Allah beberapa perkara, antaranya dipermudahkan
semua urusan belajar di Mesir, yang kedua agar saya dapat sambung
pelajaran di peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) di
universiti tempatan dan ketiga, mendapat jodoh dengan wanita
berpendidikan serta normal fizikalnya.
"Syukur kerana ketiga-ketiga perkara yang saya impikan itu menjadi
kenyataan. Kesemuanya saya peroleh satu persatu dalam tempoh 15 tahun
selepas bermunajat di hadapan Kaabah," katanya kepada S2.
Anak jati kelahiran Kampung Bukit Tanah, Selising, Pasir Putih ini
tamat pengajian ijazah sarjana muda di Mesir pada 1998 serta memperoleh
ijazah sarjana dan PhD dalam bidang Usuluddin, Akidah dan Pemikiran
Islam di Universiti Malaya pada 2004 dan 2011.
Sebagaimana yang diimpikan Nawi, beliau juga telah menemui belahan
jiwa yang melengkapi hidupnya iaitu Azimah Muhamad, 35, wanita lemah
lembut berasal dari Kampung Manan, Tendong, Pasir Mas yang sah disunting
pada 15 Mac 2002.
Menggemari sup daging dan ayam masakan isterinya, beliau sangat
bersyukur kerana Azimah sanggup menerima diri beliau seadanya. Mereka
kini dikurniakan enam orang anak iaitu Uthman, 9; Siti Nur Amalin, 8;
Siti Nur Amani, 7; Siti Nur Alia, 5; Muawiyah, 3, dan Siti Nur Atikah,
satu tahun.
"Saya mula serius mahu mencari pasangan hidup pada 2000 apabila
menyedari usia semakin meningkat. Beberapa sahabat yang rapat dengan
saya turut membantu seperti mentor saya, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad
Shukri Mohamad.
"Dalam tempoh setahun, saya telah dipertemukan dengan tujuh calon
isteri, tetapi kesemuanya tidak menjadi kerana sama ada saya ditolak
atau saya menolak.
"Akhirnya calon nombor lapan yang menjadi jodoh saya. Cinta saya dan Azimah adalah cinta selepas kahwin," katanya.
Namun, ada cerita tersendiri di sebalik penyatuan dua jiwa ini.
Azimah yang berpendidikan diploma dalam bidang teknologi maklumat (IT)
pernah bertugas sebagai guru komputer di sebuah pusat IT di Pasir Mas
sekitar penghujung 1990-an.
Wanita berhati mulia ini berpeluang melihat suaminya dari jauh
apabila kebetulan bertandang ke tempat kerja Nawi yang ketika itu
berkhidmat sebagai penyelidik di sebuah syarikat perisian di Kubang
Kerian.
"Saya kagum kerana dia mampu bekerja seperti insan yang sempurna fizikalnya.
"Jadi, apabila seorang pelajar kelas komputer saya, Norhayati yang
merupakan isteri kawan baik suami, Lokman Yusuf, memberitahu bahawa
'Ustaz Nawi' mahu berkenalan, saya terus menerima pelawaan itu,"
katanya.
Nawi pula berkata, biarpun tidak pernah melihat Azimah tetapi beliau
yakin dengan 'pilihan' rakannya, Lokman yang memberitahunya bahawa
Azimah merupakan seorang wanita beragama yang sesuai dijadikan isteri.
Jelasnya lagi, hubungan mereka bukan seperti pasangan lain kerana mereka tidak pernah keluar dating dan hanya berbual melalui telefon.
"Saya beritahu Azimah, saya serius mahu mengenalinya lebih rapat dan
bukan mahu main-main, jadi selepas tiga bulan berhubung melalui telefon,
saya nyatakan hasrat mahu merisik dan meminang.
"Namun Azimah pula meminta agar diberikan masa kerana ada ahli keluarganya tidak bersedia menerima saya kerana kecacatan saya.
"Setelah beberapa ketika dan keadaan masih sama, saya beritahu Azimah
jika hubungan ini tidak ke mana, lebih baik putuskan saja hubungan dan
itulah yang berlaku," katanya.
Namun, kalau sudah jodoh tidak akan ke mana. Selepas 'putus' selama
enam bulan, Azimah menelefon semula Nawi pada penghujung Disember 2001.
"Hati saya amat berat mengatakan Ustaz Nawi adalah jodoh saya, jadi
saya memberanikan diri menelefonnya. Ketika itu beliau beritahu, beliau
juga berfikiran serupa tetapi dalam masa sama meminta saya menunaikan
solat hajat sebanyak 41 kali memohon Allah menunjukkan jalan.
"Suami juga melakukan solat hajat 41 kali dan selepas kami
benar-benar yakin, beliau datang menemui ayah saya, Muhamad Abd. Rahman,
63, dan keluarga pada akhir Januari 2002," katanya yang kini sarat
mengandung cahaya mata ketujuh.
Menurut Nawi, ibunya, Wan Som Wan Ahmad, 73, menyuruh beliau pergi
berjumpa keluarga isterinya secara sendirian bagi mendapat kepastian
bahawa mereka sudah boleh menerima keadaan dirinya.
Jelasnya, pada hari yang amat bersejarah itu, beliau membawa sekotak
susu 1.5 liter sebagai buah tangan dan berpeluang melihat wajah bakal
isteri secara dekat buat kali pertama.
"Saya masih ingat lagi pada hari berkenaan, hampir kesemua adik-beradik isteri saya ada di rumah, selain ibu bapanya.
"Pertemuan sekitar setengah jam itu berakhir dengan baik apabila ayah
Azimah menyatakan dia tidak ada masalah menerima saya dan tidak sampai
dua bulan kemudian, Azimah sah menjadi ratu hidup saya," katanya sambil
memberitahu isterinya menjadi suri rumah sepenuh masa sejak awal
perkahwinan mereka.
Nawi dan isterinya sentiasa berdoa agar kehidupan mereka sekeluarga diberkati Allah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: