KASIH sayang adalah perasaan yang lahir daripada cantuman rasa rindu
dan saling memerlukan. Ia anugerah Ilahi dan fitrah makhluk yang
bernyawa.
Tanpa kasih dan sayang, hubungan akan menjadi hambar dan tidak
bermaya, malah akan memutuskan silaturahim jika tidak kena caranya.
Dunia fana ini sememangnya harus diwarnai oleh kasih sayang sesama
insan terutama ibu bapa yang melahirkan dan membesarkan kita menjadi
manusia.
Bermacam cara dilakukan untuk meraih kasih sayang. Orang muda,
mahupun warga emas tidak boleh lari daripada menikmati kasih sayang.
Pendek kata, jangan ambil mudah soal kasih sayang kerana ia boleh
membawa bahagia dan derita seperti mana yang berlaku kepada pengirim
cerita minggu ini, Alif (bukan nama sebenar), seorang penjawat kerajaan.
Ingin tahu lebih lanjut, ikuti kisah Alif untuk iktibar kita semua. Begini kisah Alif.
"Saya berusia awal 30-an, anak bongsu daripada tiga beradik, seorang
abang dan seorang kakak yang masing-masing telah berumah tangga. Kami
mempunyai ibu yang tinggal nun jauh di utara.
"Abang sulung saya seorang pegawai kanan di sebuah bank ternama,
kakak pula seorang pensyarah. Kami tiga beradik diberi pendidikan
sempurna oleh ibu dan ayah. Tapi ayah tidak sempat melihat kejayaan
kami.
"Setelah berkahwin, kami tinggal di bandar dan sibuk dengan kerja
masing-masing. Ibu enggan ikut sebab lebih selesa tinggal di kampung.
Puas saya pujuk, tapi ibu enggan juga.
"Akhirnya ibu tinggal seorang diri di kampung. Dek kerana terlalu
mengejar duniawi, kami lupa kepada ibu. Walaupun setiap bulan ibu
mendapat habuan lumayan daripada kami, tetapi itu tidak menggembirakan
ibu.
"Jelas sekali ibu perlukan kasih sayang dan perhatian anak-anak yang semakin hari tidak mempedulikan dirinya.
"Kami lupa pada ibu yang keseorangan di kampung. Kami lupa ibu
perlukan belaian dan kasih sayang kami. Setiap kali telefon, dia akan
menangis. Katanya rindu kepada kami tiga beradik. Tapi kami tidak
menghargai kasih sayang ibu.
"Saya mengharapkan kurniaan Ilahi tetapi saya tidak pernah mensyukuri
anugerah-Nya dan membiarkan ibu dalam kesunyian. Saya menyesal kerana
membiarkan ibu seorang diri selama ini.
"Saya leka membaca kisah-kisah sensasi duniawi yang melalaikan
sehingga saya menjadi alpa dan hilang arah tuju. Saya sedih sebab ibu
menyampaikan pengajaran dalam bentuk cerita kepada kanak-kanak di
kampung untuk mengisi masanya yang terluang bagi menghilangkan kesunyian
sejak ayah meninggal dunia.
"Tapi kami anak-anak ibu tidak memberi perhatian yang sewajarnya
kepada ibu. Ibu kami biarkan menanggung rindu dan sunyi kerana sikap
kami yang tidak mengenang budi.
"Suatu hari, seorang teman saya telah kematian ibunya. Saya lihat dia
menangis dan meraung setelah mendapat berita tersebut. Setelah saya
tanya, katanya sejak kahwin dan mempunyai tiga orang anak, dia langsung
tidak pernah pulang ke kampung sebab perkahwinannya tidak direstui oleh
ibunya.
"Dia marah ibunya kerana tidak menerima isterinya. Pada hal, dia kini
hidup menderita kerana dikongkong isterinya yang mata duitan. Dia
menyesal kerana tak sempat meminta ampun daripada ibunya.
"Melihat dia berkeadaan begitu menjadikan saya insaf dan malu dengan
diri sendiri. Betapa saya anak yang kejam dan zalim terhadap ibu
sendiri. Saya bertaubat dan mengambil keputusan mahu menjaga ibu sampai
ke akhir hayat saya.
"Saya khabarkan kepada kakak dan abang tapi mereka buat selamba
sahaja, macam tidak ingat akan pengorbanan ibu. Saya tidak memaksa
mereka tetapi sekadar ingatkan sahaja sementara ibu masih ada.
"Saya ambil keputusan pulang ke kampung dan tinggal bersama ibu. Saya
berhenti kerja dan mencari kerja di tempat kelahiran saya.
Alhamdulillah, apabila niat kita baik, insya-Allah, Allah akan bagi
jalan yang mudah.
"Semuanya saya lakukan demi ibu. Syukur saya dapat kerja yang lebih
kurang baik dengan jawatan yang saya tinggalkan. Saya tidak mahu
berpisah lagi dengan ibu.
"Saya akan menjaga hati ibu dan menatangnya bagaikan minyak yang
penuh. Saya tidak akan biarkan ibu menangis dan kesepian lagi. Abang dan
kakak, terpulang kepada mereka, saya dah nasihat.
"Saya percaya seorang ibu mampu menyelami hati anak-anak walaupun
mereka tidak menzahirkan dengan kata-kata, tetapi anak tidak. Saya
berharap keputusan saya akan menggembirakan hati ibu.
"Kini saya gembira bersama ibu. Saya bangga dapat membantu ibu
membuat kerja-kerja ringan di rumah sambil menemaninya menanam
pokok-pokok bunga yang pelbagai jenis dan warna di sekitar kawasan rumah
setiap kali ada masa terluang.
"Saya dapat bersama ibu ke masjid dan menghadiri majlis serta
kenduri-kendara yang ada di kampung. Saya nampak kegembiraan ibu selepas
saya pulang dan tinggal bersamanya.
"Di wajahnya senyum selalu terukir, dia bangga bercerita pada orang
kampung yang saya pulang untuk menjaganya. Aduhai, sayunya hati saya
Allah sahaja yang tahu.
"Pada masa yang sama, saya harap abang dan kakak sedar kesilapan
mereka yang melupakan ibu dan kembali memohon maaf. Saya selalu berdoa
agar apa yang telah kami adik-beradik lakukan kepada ibu akan mendapat
keampunan Allah.
"Apa yang saya ceritakan ini adalah untuk teladan kepada masyarakat
di luar sana yang mungkin terlupa tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa
di kampung.
"Saya juga berharap apa yang berlaku ini tidak akan berlaku kepada
orang lain. Nasihat saya jika masih ada ibu, berilah perhatian penuh
kepada mereka dan curahkan kasih sayang kepada mereka. Jangan biarkan
mereka menangis,'' demikian Alif menutup cerita.
Salam
Hm.........
ReplyDelete