Dia yang dimaksudkan ialah Muhamad Hamdi Razalli, 24, atau lebih dikenali sebagai Daniel Adie menerusi blog yang dibinanya sejak tiga tahun lalu. Seperti rakan karibnya itu, dia juga merupakan seorang pendidik di Politeknik Merlimau, Melaka.
Dalam banyak-banyak entri yang ditulis pemuda dari Melaka ini, penulis tertarik membaca post 'murid yang derhaka' mengenai seorang jurutera yang mempersoalkan kerjaya seorang guru.
Bagi kamu yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai entri tersebut ataupun mahu mengenali pemilik blog Daniel Adie ini, bolehlah melayari http://www.danieladie.com.
KETIKA di semester keempat barulah saya dapat menyesuaikan diri dengan jurusan TESL yang sebenarnya adalah pilihan ibu bapa saya. Kalau ikutkan hati, selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya bercadang untuk mengambil jurusan hiasan dalaman tetapi kurang dipersetujui ibu bapa saya.
Alasannya, sukar untuk mendapat pekerjaan kelak. Oleh itu, mereka cadangkan saya menjadi seorang pendidik kerana peluang pekerjaan yang lebih terjamin. Sebagai anak, saya akur dengan pilihan orang tua saya kerana mereka pasti mahukan yang terbaik untuk saya. Setelah menjadi tenaga pengajar di Politeknik Merlimau Melaka, barulah saya sedar banyak kelebihan menjadi pensyarah, walaupun suatu ketika dahulu, saya pernah beranggapan kerjaya sebagai pendidikl ini hanya remeh sahaja.
SEJAK menjadi seorang pendidik, saya mula mengubah gaya penulisan dalam blog Daniel Adie. Bukan bererti saya mahu menjadi orang lain, tetapi mengubah agar penulisan tersebut bersesuaian dengan kerjaya saya pada masa ini. Jika dahulu, mungkin pensyarah saya yang membaca blog saya tetapi hari ini telah menjadi sebaliknya, yang mana terdapat pelajar saya menjadi pengikut blog Daniel Adie. Pastinya, saya tidak mahu menjadi contoh tidak baik kepada mereka. Diharapkan blog ini mampu memberi inspirasi kepada mereka.
PERCAYA atau tidak, saya lebih rapat dengan satu-satunya adik perempuan saya iaitu Nur Hamizah atau mesra dengan panggilan Jaja berbanding adik-beradik lain sehinggakan ada antara kenalan yang tersalah sangka bahawa kami adalah pasangan kekasih. Apa tidaknya, jika mahu bersiar-siar bersama teman pun, saya tidak kisah untuk membawanya sekali dan adakalanya, dia juga begitu.
Malah, setiap kali mendapat gaji, pasti saya akan membawa dia membeli-belah dan menghulurkan duit belanja kepada dia. Setiap kemahuan dia, saya cuba memenuhinya. Ada kalanya ibu menegur sikap saya yang terlalu memanjakan Jaja.
Mungkin disebabkan dia satu-satunya perempuan tunggal dalam adik-beradik kami, menyebabkan saya sentiasa mahu melindunginya. Selain itu, saya kerap bercerita mengenai adik kesayangan saya ini dalam blog saya.
PADA abad ke-21 ini, bukan sesuatu yang pelik sekiranya seorang lelaki ringan tangan untuk membuat kerja di dapur. Jika mempunyai masa lapang, saya tidak segan membantu ibu. Malah, saya juga gemar berkongsi resipi ringkas dengan pengikut-pengikut blog Daniel Adie. Saya juga dikurniakan bakat membuat gubahan hantaran untuk majlis pertunangan mahupun perkahwinan. Selain mengisi masa lapang, dapat juga saya mencari duit lebih. Walaupun saya seorang lelaki, saya juga tahu menjahit dan membuat dekorasi bilik. Kalau nak tahu, saya juga boleh dikatakan perunding imej tidak berbayar untuk Jaja. Ini kerana saya gemar menyuruh dia mencuba menggayakan pelbagai fesyen. Hehehe...
PEJAM celik, pejam celik blog Daniel Adie kini telah berusia tiga tahun. Ketika membina blog Daniel Adie, saya masih lagi penuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Jadi, masa untuk menulis lebih banyak berbanding pada masa kini. Seperti kebanyakan blogger lain, saya membina blog ini untuk berkongsi cerita tentang kehidupan seharian dan meluahkan pendapat, selain menjadikan blog ini seperti diari. Bagi pengikut setia blog Daniel Adie, saya sangat menghargainya. Bagi pembaca .com yang baru mengetahui tentang kewujudan blog http://www.danieladie.com, jemputlah singgah ke blog ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: