Saturday, November 3, 2012

Audi Q5 generasi baharu kini sedia ditempah


ANDA boleh memilih pakej S Line jika mahu membuatkan Audi Q5 mempunyai penampilan berbeza.


EUROMOBIL Sdn. Bhd. (Euromobil), pengimport rasmi kenderaan jenama Audi di Malaysia baru-baru ini membuka tempahan untuk generasi terbaharu Audi Q5. Jentera dalam segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) itu diberi beberapa penambahbaikan pada aspek rekaan, prestasi, kuasa dan penggunaan bahan api.
SUV saiz sederhana yang dijangka diedarkan menjelang akhir bulan ini didakwa memberi penjimatan bahan api sehingga tujuh peratus jika dibandingkan dengan model sebelumnya. Bagaimanapun, hanya satu pilihan enjin ditawarkan kepada pengguna tempatan iaitu 2.0 TFSI.
Enjin yang diberi padanan kotak gear lapan kelajuan tiptronic itu mampu menghasilkan kuasa sehingga 225hp dan tork setinggi 350Nm. Bagi mencapai kelajuan 100 kilometer sejam dari titik pegun, SUV itu cuma perlu mengambil masa selama 7.1 saat. Kadar penggunaan petrol bagi setiap 100km pula ialah 7.9 liter.
Model Q5 yang memiliki bumbung seperti sebuah coupe kini diberi sentuhan lampu hadapan LED DRL (daytime running lights). Pembaharuan lain membabitkan penambahbaikan garis mendatar pada badan jentera, gril hitam baharu dan kemasan krom di bahagian tertentu.
Bampar juga diubah dengan peningkatan ruang kemasukan udara yang berwarna hitam. Tona gelap digunakan pada perumah lampu kabus. Bahagian belakang pula membabitkan penggunaan air diffuser dan paip ekzos rekaan baharu. Tidak lupa juga pengunaan material aluminium pada bonet kenderaan.
Perubahan pada ruang kabin Audi Q5 meliputi butang kawalan berwarna krom. Malah, butang kawalan pada stereng kelihatan lebih kemas. Tona hitam kini mendominasi bahagian konsol tengah.
Jika ada yang mahu jentera mereka kelihatan lebih sporty, pakej luaran S line yang berharga RM36,000 mungkin menjadi pilihan. Pakej tersebut merangkumi bampar hadapan dan belakang, gril radiator dan banyak lagi. Audi Q5 ditawarkan pada harga di atas jalan bermula RM328,000 seunit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: