Saturday, November 3, 2012

Sinonim dengan festival layang-layang



SUATU ketika dahulu, Pasir Gudang, Johor merupakan sebuah perkampungan nelayan dengan jumlah penduduk yang tidaklah begitu besar populasinya. Mengikut sejarah pada tahun 1918, kawasan Pasir Gudang yang sebelum itu disebut Kampung Pasir Udang telah diterokai oleh Long Abu, dipercayai berasal dari Riau, Indonesia.
Sejak itu, kawasan berkenaan terus berkembang termasuk pembukaan lebih banyak kampung dan penempatan baharu.
Secara tidak langsung nama Pasir Udang mengalami perubahan menjadi Kampung Pasir Gudang. Nama tersebut dipercayai timbul kerana wujudnya kawasan perlombongan pasir dan terdapat timbunan pasir yang banyak. Pasir itu dieksport ke Singapura.
Hari ini, Pasir Gudang terus gah menjadi sebuah kawasan perindustrian termasuk dalam industri minyak dan gas. Seiring dengan pembangunan itu, Pasir Gudang turut menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara kerana keunikannya yang tersendiri.
Mewarnai langit

PEMANDANGAN dari atas Sarang Buaya yang terletak di kawasan paya bakau di Tanjung Langsat.


Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), On Jabbar berkata, antara lokasi tumpuan pelancong di Pasir Gudang termasuklah Muzium Layang-Layang Pasir Gudang, Sarang Buaya, Masjid Jamek Pasir Gudang, Litar Pasir Gudang dan perkampungan nelayan Pasir Putih, Tanjung Langsat serta Perigi Acheh.
Selain itu, penganjuran Festival Layang-Layang Sedunia yang diadakan saban tahun juga memasyhurkan Pasir Gudang di mata dunia.
Menurutnya, Muzium Layang-Layang merupakan mercu tanda di Bukit Layang-Layang, di Taman Bandar. Bangunan muzium itu mudah dikenali kerana terdapat kincir angin di atas bumbungnya.
“Muzium yang menempatkan pelbagai saiz dan warna layang-layang itu dibina bertujuan untuk memelihara kegemilangan warisan budaya bangsa.
“Ia juga bagi meneruskan kesinambungan permainan rakyat berkenaan agar tidak dilupakan dan terus kekal diwarisi generasi akan datang,” katanya.
Diiktiraf sebagai muzium layang-layang pertama di Malaysia, ia mempunyai koleksi lebih 500 layang-layang tempatan dan luar negara. Sejak dibuka pada tahun 2002, ia turut memaparkan sejarah permainan tradisional rakyat.
Layang-layang yang ditempatkan di situ juga datang dari pelbagai negara seperti Jepun, China, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.
Pada masa-masa lain, Taman Bandar Pasir Gudang berkeluasan 60 hektar itu turut menjadi tumpuan penduduk sekitar yang melakukan pelbagai aktiviti.
Kedudukannya di tengah-tengah pusat Bandar Pasir Gudang memudahkan penduduk tempatan dan juga pengunjung beriadah pada hujung minggu.
Taman Bandar Pasir Gudang sememangnya mempunyai ciri-ciri yang unik dan menarik sebagai pusat tumpuan rekreasi keluarga dan kegiatan sukan.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan termasuk berjoging, beristirehat di pondok-pondok yang disediakan, kawasan permainan kanak-kanak atau sekadar berjalan di sekeliling kolam atau taman.

PELBAGAI koleksi layang-layang dipamerkan di Muzium Layang-Layang Pasir Gudang.


Landskap cantik
Masjid Jamek Pasir Gudang yang terletak bersebelahan Bukit Layang-Layang bukan sahaja menjadi tumpuan umat Islam beribadat, malah pelbagai aktiviti lain.
Mula digunakan pada tahun 1989, ia telah beberapa kali memenangi anugerah Landskap Peringkat Kebangsaan bagi Kategori Masjid.
Kombinasi seni bina Islam dan landskap yang cantik buatan manusia menjadi mercu tanda di tengah-tengah kepesatan pembangunan Pasir Gudang.
Ia juga dijadikan sebagai lokasi bagi penganjuran beberapa aktiviti keagamaan seperti Sambutan Maulidur Rasul serta majlis perkahwinan beramai-ramai di Pasir Gudang.
Buaya tembaga
Bagi yang meminati hidupan liar, santuari buaya tembaga dikenali Sarang Buaya yang terletak berhampiran Pelabuhan Tanjung Langsat pasti mengujakan anda.
Kawasan seluas lapan hektar itu bukan sahaja berperanan sebagai pusat perlindungan, pemeliharaan dan pemuliharaan malah pembiakan spesies buaya tembaga. Selain itu, ia juga bertujuan menangani masalah kepupusan reptilia tersebut.
Buaya tembaga dengan nama saintifiknya, Crocodylus Porosus adalah reptilia yang hidup dalam air masin dan tawar. Antara 23 spesies buaya di seluruh dunia, reptilia itu merupakan yang terbesar dan ganas. Buaya tembaga mempunyai nilai yang tinggi di pasaran terutama kulitnya.
Sarang Buaya itu beroperasi di bawah pentadbiran MPPG. Ia dibina dalam kawasan hutan paya bakau dan mempunyai sebanyak 12 kolam khas.
Ketika ini sebanyak 144 buaya tembaga pelbagai saiz dan umur ditempatkan di Sarang Buaya itu bagi dipelihara serta untuk tatapan pengunjung.
Selain menyaksikan buaya dari atas sangkarnya, pihak Sarang Buaya juga menyediakan slot khas untuk pengunjung bukan sahaja bergambar, malah memberi makan buaya tersebut.
Bagaimanapun slot tersebut diadakan pada waktu tertentu. Contohnya aktiviti memberi makanan kepada buaya hanya diadakan pada hujung minggu atau cuti am iaitu pada pukul 10.30 pagi, 12 tengah hari, 2 petang dan 4 petang.
Sementara aktiviti berfoto dengan anak-anak buaya pula diadakan pada setiap hari pada pukul 10 pagi dan 2.45 petang.
Kehidupan nelayan

MUZIUM Layang-Layang Pasir Gudang meneruskan kesinambungan permainan rakyat itu agar tidak dilupakan oleh generasi akan datang.


Meskipun dihimpit kemajuan pesat perindustrian, aktiviti penduduk sebagai nelayan masih boleh disaksikan oleh para pengunjung.
Kampung-kampung tradisional seperti Kampung Tanjung Langsat, Perigi Acheh dan Pasir Puteh menjadi tumpuan pengunjung yang meminati aktiviti memancing atau sekadar berehat.
Di beberapa kampung seperti di Kampung Tanjung Langsar dan Pasir Puteh pengunjung boleh menjamu selera terutama makanan laut.
Pengunjung juga dapat menyaksikan para nelayan mencari rezeki di laut, selain melawat kelong-kelong ikan milik persendirian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: