Saturday, November 3, 2012

Kenderaan mobiliti urban



SEPULUH tahun lalu, BMW Group memperkenalkan skuter pertamanya iaitu C1 di IMFA (International Bicycle and Motorcycle Exhibition), Jerman. Pada ketika itu, produk baharu syarikat automotif Jerman itu kelihatan berbeza dengan jentera beroda dua konvensional.
C1 memiliki beberapa ciri seperti sebuah kereta. Antaranya termasuklah bumbung, tali pinggang keledar dan pengelap cermin.
Dua varian C1 dilancarkan iaitu 125 (berkapasiti 124cc) dan 200 (bersesaran 176cc). Kedua-duanya menggunakan transmisi CVT.
Jentera automatik yang disasarkan kepada pengguna bandar itu pernah ditawarkan di beberapa negara Eropah seperti Jerman, Perancis, Sepanyol, Itali dan Switzerland.
Biarpun jualan pada tahun pertama berjaya melepasi paras 10,000 unit, jangka hayat C1 tidak bertahan lama. Produksi C1 ditamatkan pada tahun 1994.
Setelah sekian lama meninggalkan segmen skuter, BMW Group membuat kejutan sewaktu Pameran Motosikal Milan (EICMA), Itali pada 2011 apabila memperkenalkan dua taruhan terbaharunya.
Dua model skuter berkapasiti tinggi iaitu C 600 Sport dan C 650 GT berjaya mencuri perhatian umum dan pemerhati pasaran. Itulah skuter premium pertama BMW.
Untuk makluman, BMW Malaysia menerusi bahagian Motorrad ada menawarkan beberapa model motosikal dalam segmen enduro, sport, touring, roadster dan beberapa varian edisi khas untuk pengguna di Malaysia.



Ketua Motorrad BMW Malaysia, Fazli Shukor berkata, sebanyak 40 unit skuter baharu itu diperuntukkan untuk pasaran Malaysia.
Beliau juga mengesahkan bahawa bilangan tempahan yang diterima sudah mencecah 25 buah sehingga hari pelancarannya (Isnin lalu).
“Ada pelanggan sudah membuat tempahan untuk model skuter ini sejak tahun lepas lagi,” katanya yang optimis bahawa kedua-dua varian baharu itu akan semakin mudah dilihat di atas jalan di Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Menyentuh soal jumlah jualan motosikal BMW, Pengarah Urusan BMW Malaysia, Dr. Gerhard Pils menyatakan, pihaknya sudah menjual sebanyak 255 unit sehingga September lalu. Ia merupakan peningkatan sebanyak 23 peratus berbanding tahun sebelumnya.
600 Sport dan 650 GT
BMW C 600 Sport dicipta untuk penunggang yang mahukan sebuah jentera sporty. Sementara konsep keselesaan dan tunggangan jauh menjadi asas rekaan model C 650 GT. Apa pun, setiap varian itu dikhaskan untuk memenuhi keperluan dan cita rasa pelanggan urban masa kini.
Kedua-dua varian skuter tersebut menggunakan khidmat enjin petrol yang sama iaitu jenis DOHC dua silinder sebaris berkapasiti 647cc. Penyampaian kuasa disempurnakan ke aci pacu (drive shaft) skuter menerusi kotak gear CVT.

BMW FlexCase yang didatangkan bersama model C 600 Sport boleh dikembangkan kapasiti ruang simpanan barang dan berupaya menyimpan dua buah topi keledar di dalamnya. Gambar kanan menunjukkan FlexCase sudah dikembangkan manakala gambar sebelah kiri adalah keadaan asalnya.


Kombinasi enjin itu didakwa sebagai paling efisien dalam kelasnya apabila ia hanya membebaskan emisi karbon pada kadar 0.01 gram setiap kilometer (km).
Purata penggunaan bahan api pula sebanyak 4.8 liter bagi setiap 100km dengan syarat kelajuan tidak melebihi 100km sejam (km/j).
Hamburan kuasa dan tork bagi kedua-dua varian juga sama iaitu sebanyak 60hp @ 7,500rpm dan tork 66Nm @ 6,000rpm.
Perbezaannya terletak pada kepantasan pecutan dari titik pegun. C 600 Sport mengambil masa 7.1 saat untuk mencapai kelajuan 100kmj, manakala C 650 GT memerlukan masa selama 7.5 saat.
Maklumat tunggangan dipamerkan menerusi panel instrumen digital pelbagai guna LCD dan meter laju jenis analog.
Informasi yang dimaksudkan adalah status minyak enjin, jarak tunggangan, tarikh dan masa, penggunaan purata bahan api, suhu luaran serta maklumat servis jentera berkenaan.
Ciri tambahan unik adalah kemudahan mengecas telefon mudah alih menerusi soket yang ada pada ruang simpanan barang di bahagian kiri jentera.
FlexCase
C 600 Sport dan C 650 GT turut dilengkapi kemudahan sambungan Bluetooth dengan adanya sistem komunikasi BMW Motorrad yang dipasang pada topi keledar.
Bagi varian Sport, BMW Group melengkapkannya dengan ruang simpanan FlexCase. Maksudnya, ruang simpanan di bawah tempat duduk boleh dibesarkan untuk simpanan lebih banyak barang.
Operasinya harus dilakukan secara manual. Tolak sahaja butang yang ada di bawah tempat duduk dan ruang simpanan dipanjangkan ke bawah. Ia berupaya menempatkan dua buah topi keledar full-face.
Apa yang membezakan kedua-dua model adalah saiz fizikal dan konsep rekaannya.
C 600 Sport memiliki posisi kedudukan untuk tunggangan aktif. Aspek itu dibantu menerusi kedudukan hendal, tempat letak kaki dan pelana.
Penghadang angin di hadapan instrumen meternya boleh diselaras pada tiga tahap penyelarasan secara manual.
C 650 GT yang memiliki kapasiti ruang simpanan seluas 60 liter dipasang hendal yang lebih tinggi dan pelana lebih besar bersama perehat belakang.
Ruang letak tapak kaki juga kelihatan luas dan disediakan pemijak kaki berasingan untuk pembonceng.

TANGKI minyak ditempatkan di bahagian hadapan tempat duduk untuk memudahkan pengisian petrol.


Ini membolehkan postur badan penunggang lebih selesa. Penghadang angin boleh dinaik atau diturunkan secara elektrik.
Harga runcit tanpa insurans bagi BMW C 600 Sport ialah RM65,000 manakala C 650 GT boleh dimiliki dengan nilai RM68,800 seunit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: