Saturday, September 1, 2012

Unjur tumbuh 100%

TERUS BERKEMBANG...Abd Razak yakin Ar-Rahnu Express catat pertumbuhan 100 peratus.
TERUS BERKEMBANG...Abd Razak yakin Ar-Rahnu Express catat pertumbuhan 100 peratus.

TIME Zone Sdn Bhd, syarikat di bawah kumpulan Habib yang memperkenalkan Ar-Rahnu Express iaitu pajak gadai berlian pertama di Malaysia yakin untuk mencapai pertumbuhan 100 peratus pendapatannya tahun ini berbanding RM33 juta yang dicatatkan pada 2011.

Pengurus Besarnya, Abd Razak Abdul Kadir berkata, jumlah pendapatan itu disumbangkan oleh cawangan pertama Ar-Rahnu Express di Ampang Point, Selangor dan komited untuk meningkatkan prestasi kewangan syarikat terutama menerusi pembukaan cawangan baru.

Beliau berkata, setakat ini terdapat empat cawangan Ar-Rahnu Express iaitu di Ampang Point, Gombak, Kuantan serta Pulau Pinang dan pihaknya merancang membuka dua lagi cawangan menjelang akhir tahun ini.

“Cawangan kelima kami akan dibuka pada September ini di Sungai Buloh manakala yang keenam pada 31 Disember ini dengan pelaburan bagi satu cawangan dianggarkan RM2.5 juta bergantung pada lokasi, tetapi tidak termasuk modal kerja.


“Kami juga yakin dengan pembukaan lebih banyak cawangan kerana ia bukan saja dapat menyumbang kepada jumlah pendapatan syarikat, tetapi turut memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan wang ketika memerlukannya,” katanya kepada Bisnes Metro di Kuala Lumpur.


Menurutnya, tahun depan pihaknya turut menyasarkan menambah sekali ganda cawangan Ar-Rahnu Express kepada 12 di seluruh negara dan ia masih dalam proses mendapatkan lesen daripada pihak berkuasa tempatan.

Abd Razak berkata, pihaknya merancang untuk membuka enam cawangan tahun depan dengan lokasi pilihan adalah di setiap bandar raya, dewan bandaraya dan majlis perbandaran.

“Sebenarnya, permata mahupun berlian boleh menjadi cagaran terbaik jika pemiliknya menyimpan menerusi pajak gadai Islam, malah selama ini ramai yang tertanya-tanya mengapa hanya emas yang diberi tumpuan, jadi kami merintis kemungkinan ini dengan memberikan yang terbaik kepada pelanggan mengikut perkiraan yang menguntungkan.

“Nilai wang yang diterima pelanggan yang memajak barang kemas mereka adalah 75 peratus daripada nilai anggaran semasa dan upah simpan pula 1.0 peratus sebulan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: