Saturday, September 1, 2012

Ikan Arowana Emas Diusaha Jadi Warisan Negara

BAGAN SERAI: Ikan emas arowana Malaysia kini diusahakan untuk menjadikannya sebagai warisan negara.

Jabatan Perikanan dengan kerjasama Sirim Berhad, akan memperkenalkan Standard Spesifikasi Ikan Arowana Emas Malaysia atau DOF STAND1:2012 untuk ikan yang bernilai tinggi itu dikategorikan sebagai warisan negara.

Ketua pengarahnya, Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata, standard spesifikasi itu adalah penting untuk pertumbuhan industri ikan arowana emas bagi mengekalkannya sebagai salah satu ikan hiasan yang paling mahal di dunia.

“Pada tahun 2010, penternak di seluruh negara menghasilkan 336,000 ikan arowana atau kelisa bernilai RM151 juta,” katanya selepas pembukaan Bengkel Kualiti Standard Ikan Arowana Emas Malaysia di Bukit Merah di sini, Rabu.

Daripada jumlah ikan arowana yang dihasilkan, antara 10,000 dan 15,000 ekor adalah daripada penternak di Bukit Merah.

Ahamad Sabki berkata, dengan standard spesifikasi itu, ciri-ciri unik ikan arowana emas akan lebih mudah untuk dikenal pasti berbanding jenis arowana lain di pasaran, sekali gus mengelakkan sebarang cubaan untuk menipu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Jabatan Perikanan dan Sirim sedang membangunkan alat Pengenalan Bionsensor Arowana bagi mengenal pasti spesis arowana emas asli dengan menggunakan pendekatan saintifik berdasarkan DNA.

“Biosensor itu dijangka digunakan secara meluas pada tahun depan,” kata beliau, sambil menambah bahawa ia akan membantu merancakkan pertumbuhan industri ikan hiasan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: