Sunday, September 2, 2012

Syukur Nad Zainal




WALAUPUN lambat dikenali, pelakon bernama Nad Zainal tetap bersyukur tatkala menyelusuri hari demi hari sepanjang bergelar anak seni.

Hasil kesabaran itu lumayan, Nad Zainal kini meniti dari bibir ke bibir. Sungguhpun dia bukanlah nama besar tetapi namanya kini sudah diadili berdasarkan bakat dan bukan cerita sensasi.

“Syukur, tahun 2012 adalah tahun yang paling baik untuk saya setakat ini. Banyak tawaran kerja yang datang dan saya menjadi lebih matang berbanding tahun-tahun terdahulu,” ujar aktres dengan nama berdaftar Nadia Zainal Abidin itu.

Ujarnya titik mula namanya dikenali terjadi selepas dia berlakon drama Memberku, Hawa dan diikuti dengan Bukan Bidadari yang kini bersiaran di saluran pada setiap hari Selasa pukul 9 malam.

“Jujurnya ada tawaran yang mula ditolak kerana kesuntukan masa. Tetapi saya anggap itu semua ke arah positif dan saya gembira dengan perkembangan serius kerjaya saya,” luahnya yang sebelum ini mengaku hanya diberi karakter komedi atau cilik sahaja.

Keserasiannya mula kelihatan apabila gadis berumur 22 tahun itu digandingkan dengan pelakon Sharnaaz Ahmad. Melalui beberapa cabaran untuk melakonkan wataknya sebagai Inas dalam Bukan Bidadari, Nad mengaku Sharnaaz banyak membantunya.

“Sangat senang bekerja dengan Sharnaaz. Kalau seseorang itu sudah memang bagus, jadi dia akan sentiasa menyenangkan kerja dan itulah Sharnaaz. Saya seronok bekerja dengannya dan pengarah juga berasakan kami ikhlas dan rajin dalam memberi idea,” ujar Nad tentang watak dalam drama bersiri yang merangkumi 13 episod itu mendapat sentuhan dari pengarah Faizal Ishak serta turut dibintangi oleh Azlee Khairi, Sara Ali, Fiza Halim, Azhar Sulaiman dan ramai lagi.

Drama Bukan Bidadari menurut Nad memberi impak yang semakin ketara terhadapnya. Tertawa sebelum meneruskan kata, dia mengaku sudah nampak akan perubahan tersebut.

“Kalau keluar rumah, sudah ada mak cik - mak cik yang senyum tiba-tiba. Maksudnya sudah ada yang kenal. Ini juga perkembangan positif buat saya. Mula-mula gemuruh juga dibuatnya tetapi kini sudah biasa,” ketawanya kecil dalam nada sedikit segan.

Untuk tahun hadapan, Nad mengaku sudah menyusun perancangan. Mahu kekal dalam suasana sebegini namun dalam masa yang sama dia berniat untuk memperbaiki kekurangan yang ada dalam skil lakonannya.

“Buat tahun ini, saya baru selesai penggambaran filem Kami Histeria bersama Diana Danielle, Mila, Sara Ali dan Afdlin Shauki. Kemudian saya terlibat dengan drama Samarinda dan membawakan watak bawang yang baik,” ketawanya mengakhiri perbualan dan keliru antara bawang putih atau merah yang bersifat protagonis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: