Wednesday, September 12, 2012

Staf wanita lebih teliti servis spa kereta



HIMPUNAN kereta mewah jenama Porsche memenuhi ruang parkir Porsche PDI Centre di Glenmarie Shah Alam, Selangor. Semuanya sedang menunggu untuk menjalani proses pemeriksaan sebelum dihantar kepada pemiliknya.

Di bahagian dalam pusat itu, sebuah kereta sport Porsche Boxster berwarna merah terang dan Porsche Cayennes rona putih sedang diperiksa oleh beberapa pekerja wanita.

Salah seorang daripadanya ialah Marinael Diaz, gadis berusia 23 tahun yang berasal dari Manila, Filipina. Riak wajahnya serius ketika melakukan tugas-tugas akhir memeriksa bahagian dalaman jentera tersebut.

Setelah hampir enam bulan bekerja di pusat berkenaan, Marinael kini semakin cekap dan mahir menjalankan tugas sebagai gadis pengilat kereta.

Walaupun pada awalnya dia langsung tiada sebarang kelulusan dalam bidang itu, namun ia bukan penghalang untuknya menguasai kerja-kerja yang diklasifikasikan sebagai tugas spa untuk kereta.

"Memang saya akui ketika mula-mula sampai di Malaysia, saya tiada sebarang pengalaman dalam bidang pekerjaan. Ini merupakan kerja pertama saya. Justeru, saya tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberi oleh majikan untuk menonjolkan potensi diri.


PORSCHE PDI Centre memberi kepercayaan kepada staf wanita untuk melakukan tugas merapi kereta kerana menyifatkan mereka lebih teliti dan kemas.


"Melalui kursus dan latihan yang disediakan, saya dapat belajar cara-cara dan teknik yang betul untuk mencuci, mengilat atau melicinkan kereta.

"Lama-kelamaan saya jatuh cinta dengan kerjaya ini. Ia sesuatu yang seronok dan mengujakan. Apatah lagi apabila dapat memeriksa kenderaan mewah sebegini," ujar Marinael sambil tangan mulusnya tekun mengelap cermin hadapan Porsche Boxster itu.

Tambah Marinael, setiap hari dia akan memeriksa, mengilat atau melicinkan antara tiga hingga empat buah kereta Porsche. Tugas itu akan dilakukan secara bersama dengan empat rakan sekerja.


TUGAS di spa kereta mewah meliputi pelbagai servis seperti mencuci, mengilat, merapi kerusi dan fogging.


Pilih staf wanita

Pengurus Besar Porsche PDI Centre, Md. Reza Ali berkata, pihaknya mengambil inisiatif menggunakan kakitangan wanita bagi menjalankan kerja-kerja kecantikan dalaman kereta.

"Ini kerana, bahagian dalaman sesebuah kenderaan mewah bersifat sensitif. Tangan lelaki biasanya agak kasar berbanding wanita. Di sinilah fungsi pekerja wanita dalam memastikan kecantikan dalaman kenderaan yang dihantar terjaga rapi.


DENGAN kemahiran yang dimiliki berdasarkan pengalaman dan kursus dihadiri, seseorang pengilat kereta boleh membina kerjaya termasuk bergelar penyelia dengan gaji pokok lebih RMM3,500.


"Setakat ini, Marinael dan seorang lagi kakitangan wanita menunjukkan prestasi kerja yang sangat baik. Mereka amat teliti dalam setiap perkara yang dilakukan. Malah, mereka tidak pernah jemu untuk mempelajari perkara baharu," jelas Md. Reza sambil memberitahu mereka menggunakan produk penjagaan kereta antarabangsa, Sonax yang merupakan jenama terkemuka dari Jerman.

Menurut Md. Reza, syarikat Automail (M) Sdn. Bhd. yang mengendalikan pusat tersebut merupakan pengedar tunggal produk Sonax di Malaysia.

"Sonax merupakan jenama produk penjagaan kereta nombor satu di Eropah. Ia mempunyai lebih 150 variasi produk dan dipasarkan di lebih 94 buah negara di seluruh dunia.

"Lantaran itu, penggunaan produk ini memberi nilai tambah kepada penjagaan kecantikan sesebuah kenderaan tidak kira sama ada ia kereta mewah atau sederhana," ungkap beliau lagi.

Perkara itu diakui oleh pemilik Muz Garage Auto Detailing, Irwan A. Rahman yang menggunakan produk tersebut dalam menawarkan perkhidmatan penjagaan kereta profesional kepada khalayak.


SPA kenderaan milik Irwan (tengah) kini menjadi persinggahan pemilik kereta mewah untuk mencantikkan jentera mereka.


Modal RM80,000

Beroperasi sejak bulan Julai 2011, Muz Garage Auto Detailing boleh dianggap antara pusat spa kecantikan kenderaan terbaik bagi mereka yang mahu memastikan jentera masing-masing berada dalam keadaan bergaya.

Apa tidaknya, Muz Garage Auto Detailing hari ini bukan sahaja dikunjungi pelanggan kereta biasa, bahkan pemilik jentera mewah.

"Di sini, kami menyediakan penjagaan kenderaan lengkap luaran dan dalaman seperti mencuci, menggilap dan melicinkan. Ini termasuklah baik pulih lampu hadapan, perapi kerusi kulit kenderaan, fogging serta cucian enjin," tegas Irwan, usahawan muda Melayu yang berkecimpung dalam perniagaan spa kenderaan kerana minatnya terhadap dunia permotoran.


MD. REZA berbangga kerana Porsche PDI Centre mendapat kepercayaan ribuan pemilik Porsche untuk servis spa.


Menurut Irwan lagi, perancangan untuk membuka sebuah spa kenderaan mewah sedemikian tercetus selepas berhenti kerja di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai pegawai media pada tahun 2010.

Tambahan pula, dia memang peminat setia dunia permotoran. Oleh itu, selepas berhenti kerja, Irwan mengambil masa selama empat bulan untuk membuat penyelidikan berkaitan bidang tersebut.

Berbekalkan modal permulaan sebanyak RM80,000 hasil wang simpanan yang dimiliki, akhirnya dia berjaya membuka Muz Garage Auto Detailing secara rasmi pada bulan Julai tahun lalu. Bagaimanapun ungkapnya, tempoh enam bulan pertama yang dilalui merupakan waktu eksperimental bagi sesebuah perniagaan baharu.

"Pada awalnya, saya berdepan banyak cabaran untuk membangunkan perniagaan ini terutama dalam aspek mendapatkan pelanggan. Maklumlah kedai baharu beroperasi memang sukar untuk meraih kedatangan pelanggan.

"Tambahan pula tidak ramai anak Melayu yang terlibat dalam perniagaan sebegini. Namun, ia bukan alasan untuk saya mengaku kalah. Rintangan yang datang saya anggap sebagai proses mematangkan diri dalam jatuh bangun dunia bisnes," jelas beliau lebih lanjut.


RUANG menunggu yang luas dan selesa disediakan di Muz Garage Auto Detailing untuk kemudahan pelanggan.


Ternyata kesusahan yang dilalui akhirnya membuahkan hasil yang boleh dibanggakan. Jika dahulu hanya kereta kecil dan sederhana yang mendapatkan servis di Muz Garage, kini situasi sudah jauh berubah.

Himpunan kereta mewah dan berprestij semakin banyak mengunjungi premis tersebut. Jenama terkemuka seperti BMW, Mercedes, Audi, atau Wolkswagen bersilih ganti menggunakan servis yang ditawarkan.

Untuk perkhidmatan spa kereta di Muz Garage Auto, pakej yang ditawarkan bermula serendah RM200 hingga RM800.

"Alhamdulillah, ia satu perkembangan yang sangat memberangsangkan. Insya-Allah, saya bercadang untuk melebarkan sayap perniagaan ini dengan membuka beberapa cawangan Muz Garage di destinasi berbeza," kata Irwan penuh harapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: