Wednesday, September 12, 2012

Bas dua tingkat Baghdad


BAS dua tingkat berwarna merah kini kembali menjalar di jalan raya Baghdad.


KEHADIRAN semula bas-bas dua tingkat berwarna merah kembali menjamu mata penduduk ibu negara Iraq. Ini kerana sebelum ini, kebanyakan kenderaan itu punah digeledah dan diselongkar berikutan pencerobohan Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2003.

Bas-bas baharu berwarna garang dengan jalur putih dan hitam panjang di bahagian tepi mula beroperasi baru-baru ini menjadi permulaan kepada pengangkutan awam henti-henti di samping kewujudan banyak teksi di tengah kota Baghdad itu.

Bas itu lengkap dengan lantai logam dan tempat duduk plastik yang selesa, walaupun penumpang yang tinggi terpaksa membongkok jika berdiri.

Penyaman udara menyejukkan ruang dalaman bas dan memberi kelegaan daripada kepanasan Baghdad yang agak tinggi pada musim panas.

Salah sebuah bas padat dengan penumpang yang riuh-rendah, jelas menggambarkan perkhidmatan pengangkutan awam itu digemari penduduk Baghdad.

"Dengan keselesaan seperti ini, saya akan terus berada di sini menikmati udara sejuk penyaman udara dan tidak akan turun sehinggalah generator elektrik mula beroperasi di kawasan kami," kata Kadhim Karim, seorang pemuzik berusia 31 tahun.

"Bas-bas baharu ini mempunyai semua keselesaan termasuk penyaman udara dan tahap kebersihan yang baik," ujar seorang penjawat awam yang dikenali sebagai Kadhim Saba Rasan, 57.

Menurut Ketua Pengarah syarikat milik kerajaan yang menguruskan pengangkutan awam itu, Adel al-Saadi, setakat ini hanya 70 buah bas sedemikian dibeli daripada sebuah syarikat Jordan. Sebanyak 60 buah adalah bas dua tingkat, manakala bakinya bas setingkat. Namun, kira-kira 100 lagi dijangka dibeli penghujung tahun ini.


KERAJAAN tidak boleh bertolak ansur mengenai isu keselamatan penumpang lantas mengenakan pelbagai peraturan.


Murah dan selesa

Semasa zaman kegemilangannya sebelum peperangan, rangkaian bas Baghdad memiliki 300 buah bas berkenaan, walaupun kota London mempunyai 3,500 buah bas yang sama.

Syarikat yang membekal bas kepada Baghdad, Elba House yang beribu pejabat di Jordan, mencipta nama melalui pembinaan bahagian bangunan, namun sejak 1992 ia mula membina pelbagai kenderaan termasuk bas.

Setiap bas dua tingkat berharga sekitar AS$205,000 (RM648,190).

Tiket dijual pada harga 500 dinar Iraq atau bersamaan dengan RM1.36, memberikan alternatif yang lebih selesa berbanding bas mini yang padat atau teksi yang biasanya mengenakan caj penumpang setinggi 6,000 dinar (RM16.28).

Keselamatan kekal sebagai keutamaan di bandar yang menyaksikan pertumpahan berdarah berlaku saban hari.

Bas-bas ini dilengkapi dengan kamera yang membenarkan pemandu memantau lantai bas.

Malah, setiap bas mempunyai pembantu pemandu bas yang berperanan mengesan bahan letupan dan memeriksa setiap penumpang yang menaiki bas.

Pembantu pemandu bas juga perlu melarang penumpang daripada merokok.

Walaupun bukan satu tugas yang mudah, namun pihak syarikat bas tidak boleh berkompromi dengan soal keselamatan.

Ini kerana banyak rekod menunjukkan bas sememangnya kerap menjadi pilihan pengganas.

Namun, tegas Adel apa yang dilakukan kerajaan sekarang adalah memberi keselesaan kepada penduduk Baghdad dan memelihara warisan yang sekian lama menjadi simbolik kota itu.

"Bas ini merupakan pengangkutan yang cantik dan mewakili sebahagian daripada sejarah kota Baghdad," kata Adel lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: