Sunday, September 9, 2012

SSP Cyberjaya, SDAR Seremban juara bahas Piala Perdana Menteri


JUARA bahas kategori bahasa Melayu, dari kiri, Nur Irwani Farzana Mohd. Rosszi, Fairuz Dalijah Abdul Rashid, Edda Nadhira Hanafi dan Seri Amalina Mohd. Khair bersama juara kategori bahasa Inggeris, dari kanan, Meor Amirul Izzuddin Ruslan, Mohd. Azizulhaziq Jalil, Amirun Hamman Azram dan Abdulrazzaq Hazrin Fazail selepas selesai Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Sekolah Seri Puteri (SSP), Cyberjaya diumumkan sebagai juara Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri Ke-39 Sekolah Berasrama Penuh selepas menewaskan Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR), Seremban dalam kategori bahasa Melayu di sini semalam.

Bagaimanapun, SDAR dipilih sebagai juara bahas bagi kategori bahasa Inggeris selepas mengalahkan Kolej Tunku Kurshiah, Seremban.

Selaku juara, masing-masing membawa pulang wang tunai RM4,000, piala iringan dan sijil penyertaan.

Sementara itu, Pembahas Terbaik kategori bahasa Melayu dimenangi pelajar Sekolah Datuk Abdul Razak, Muhammad Luqman Sufyan Junaidi manakala kategori bahasa Inggeris diraih Abdulrazaq Hazrin Fazail.

Mereka membawa pulang wang tunai RM1,000 dan piala iringan.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud.

Turut hadir, Pemangku Pengurus Besar Kanan Operasi Perbankan Bank Rakyat, Mustafha Abd. Razak dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sufaat Tumin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: