PETALING JAYA: Pelakon Sharnaaz Ahmad memberitahu sering berjumpa dengan suami kepada penyanyi Noraniza Idris iaitu Jeffri Hudi untuk mendapatkan nasihat mengenai sikap panas baran yang dihadapinya.
Sharnaaz, 27, berkata, Jeffri sering memberikan tip berguna kepadanya dalam mengurangkan masalah itu.
"Kadang-kadang perkara yang kecil pun boleh membuatkan saya marah dan saya sendiri hairan dengan perangai saya itu.
"Bagaimanapun selepas bertemu abang Jeffri saya mula berubah secara perlahan-lahan," katanya kepada mStar Online.
Tambah Sharnaaz, dia kerap berjumpa dengan Jeffri kerana selesa berkawan dengannya yang juga seorang bilal dari Singapura.
Dalam pada itu, Sharnaaz turut menggunakan medium lakonan sebagai medan untuk meluahkan rasa marah apabila sering diberikan watak antagonis oleh pengarah.
"Dulu saya tidak sedar sikap panas baran saya ini sebenarnya telah banyak memberi rezeki kepada saya kerana sering diberikan watak-watak jahat.
"Malah ia juga menjadi satu terapi kepada saya apabila dapat menghilangkan sikap buruk itu dalam bentuk lakonan," ujarnya.
Sementara itu, Sharnaaz menjelaskan kekasihnya iaitu Shila Amzah turut memainkan peranan bagi memastikan masalah tersebut dapat diatasi.
"Shila banyak memberikan sokongan kepada saya walaupun dia tahu saya memang seorang yang panas baran tetapi dia sentiasa berada di sisi saya,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Sharnaaz bakal muncul dengan filem terbaru berjudul Sembunyi arahan Khabir Bhatia pada November depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: