PERTENGAHAN Ramadan lalu membuka satu episod manis dalam karier pendatang baru, Ramona Zam Zam apabila produser dan pengarah filem Penunggu, Aziz M Osman mengambilnya menerajui filem itu selaku heroinnya bergandingan dengan aktor hebat, Rizman Khuzaimi.
Memegang peranan sebagai isteri yang dirasuk ketika hamil amat menepati impian Ramona yang idamkan watak mencabar selain watak biasa yang pernah dipegangnya seperti perempuan cantik, isteri, adik dan pelajar kolej.
“Sudah selalu sangat bawa watak yang biasa-biasa saja dan saya perlu menguji kemampuan diri sendiri. Saya harap watak saya dalam Penunggu akan memberi ruang dan kepercayaan kepada pengarah lain untuk memberi watak yang lebih mencabar lakonan saya,” katanya.
Menurut Ramona, filem itu menjalani penggambaran pada pertengahan Ramadan lalu selama 14 hari yang dirakamkan di kawasan kelapa sawit di daerah antara Klang dan Banting, Selangor.
“Lokasinya sangat jauh dan saya memang tak berani nak memandu seorang diri ke sana. Setiap hari kru yang mengambil dan menghantar saya balik. Kalau saya perlu pergi sendiri mesti tak ‘sampai’ ke sana, apatah lagi penggambaran biasanya dimulakan selepas berbuka puasa dan tamat penggambaran jam 2 atau 3 pagi.
“Oleh itu, walaupun penggambaran dilakukan dalam bulan puasa, ia tidaklah meletihkan sangat kerana sampai saja di rumah, sebelah siangnya saya boleh berehat dan tidur. Tidaklah memenatkan untuk saya melakonkan watak isteri hamil yang dirasuk kerana sudah berbuka puasa. Cuma melakonkan watak itu memerlukan tenaga untuk menzahirkan gambaran sedang dirasuk.
“Setiap hari saya terpaksa mengeluarkan suara ‘dalam’ dan ‘kasar’, sehingga selepas tamat penggambaran, saya hilang suara seminggu dan ramai yang bertanya sebabnya. Dalam filem ini, lebih banyak aksi daripada dialog dan watak saya dirasuk itu sangat menakutkan.
“Apapun saya berpuas hati kerana tercapai hasrat untuk membawakan watak yang mencabar dan lain daripada yang saya pernah lakonkan. Aziz juga memuji lakonan saya,” katanya.
Cerita Ramona atau nama sebenarnya, Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam, misteri bermula apabila dia yang sedang hamil balik ke kampung suaminya yang terletak di ladang kelapa sawit dan di sana ada penunggu yang mahukan bayi dalam kandungannya. Sejak itu, hidup Ramona dan suaminya menjadi huru-hara kerana gangguan itu dan setiap kali dirasuk, dia akan lari ke dalam hutan.
“Alhamdulillah, walaupun keadaan sekitar menyeramkan tetapi kami semua tidak pula pernah mengalami gangguan atau bermimpi benda yang pelik. Kami sentiasa berhati-hati iaitu sebelum penggambaran dimulakan, diadakan bacaan doa agar dijauhkan daripada segala bahaya dan gangguan,” katanya yang cantik menggayakan baju rekaan O’oi Couture.
Penunggu akan ditayangkan pada penghujung tahun depan.
Rezeki Ramona tidak terhenti setakat itu saja apabila selepas ini, dia akan ke lokasi drama 26 episod untuk siaran TV9 yang bertajuk Cinta Jangan Kau Pergi. Dia akan berlakon bersama Remy Ishak dan Tiz Zaqyah. Dia membawakan watak antagonis yang cuba merebut cinta Remy daripada Tiz.
Drama arahan Kabir Bhatia itu akan turut dirakamkan di London tetapi watak Ramona tiada dalam babak yang bakal dirakamkan di kota metropolitan itu.
“Ada juga tawaran berlakon drama lain tetapi saya terpaksa menolaknya kerana mahu memberi komitmen yang sepenuhnya pada drama ini. Saya dengar Kabir sangat teliti dalam setiap pembikinan drama atau filemnya, jadi pihak produksi mahu saya tumpukan pada drama ini dulu yang mungkin penggambarannya akan berlarutan sehingga hujung tahun ini.
Imbas kembali awal Ramadan yang lalu, memandangkan aktiviti seni kurang ketika itu, Ramona lebih fokus kepada pengajiannya dalam jurusan kewangan di sebuah kolej swasta dan berbuka puasa bersama ibunya, Rusmawati Mohd Yusof, 52, di rumah.
Sejak bergelar anak seni tiga tahun lalu, ibunya yang bertugas sebagai guru sanggup berkorban minta ditukarkan mengajar di Kuala Lumpur dari Ipoh semata-mata untuk menemaninya. Sementara bapanya yang bertugas sebagai Pengurus Kem PLKN Sentosa, Tapah, Perak, menetap di sana sendirian.
“Walaupun saya tinggal dengan mama tetapi saya jarang ada di rumah kerana sibuk berlakon dan ke kolej. Jarang saya dapat menemani mama dan nak makan bersama pun tak sempat. Namun pada bulan puasa, aktiviti seni kurang. Saya cuma ke kolej dan sebaik saja habis kuliah, saya terus balik rumah,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: